PETALING JAYA: Penyanyi tersohor tanah air, Datuk Seri Siti Nurhaliza menzahirkan sebuah ucapan indah buat kakak kesayangannya, Siti Saida Tarudin yang baru sahaja selamat diijab kabulkan, semalam.
Menerusi entri Instagram, penyanyi lagu popular Wajah Kekasih itu memuat naik satu perkongsian video bersama suami tercintanya ketika menghadiri majlis tersebut.
Melayangkan coretan ringkas, Siti menitipkan doa agar kedua pasangan mempelai itu sentiasa berbahagia hingga ke syurga Allah.
“Alhamdulillah, selesai sudah majlis pernikahan kakak kesayangan saya Siti Saida bersama pasangannya. Doa adikmu agar bahagia hingga ke Jannah. Amin.
“Terima kasih suami ku hadir bersama walaupun subuh tadi (semalam) sudah keluar menyertai pertandingan kayuhan lasak Mountain Bike (MTB) di Putrajaya. Sayang awak!” katanya di Instagram.
Bagaimanapun, Saida tidak memuat naik sebarang perkongsian mengenai majlis perkahwinannya itu di entri Instagram.
Malah, penyanyi lagu Sedalamnya Cinta itu hanya berkongsi satu gambar bersama anak lelakinya bersempena dengan ulang tahun anakandanya tersebut.
Difahamkan, Saida sah bergelar isteri buat kali ketiga kepada pilihan hatinya yang dikenali sebagai Aizal.
Menerusi ruangan komen, rata-rata warganet mezahirkan ucapan tahniah selain mendoakan agar buat pasangan berkenaan agar bahagia dan berkekalan selamanya.