Buatlah persediaan dahulu – Karl Syafek - Utusan Malaysia

Buatlah persediaan dahulu – Karl Syafek

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGI pengacara dan pelakon, Karl Syafek, 41, seseorang pengacara itu seharusnya memasang inisiatif untuk membuat persediaan diri sekiranya memandang serius untuk menggalas tanggungjawab tersebut.

Ini kerana, kata Karl, tentunya bidang ini tidak boleh dipandang mudah meskipun terdapat ramai pihak beranggapan, apalah sangat menjadi pengacara. Sekadar berdiri di pentas dan membaca skrip yang disediakan.

“Jika ada yang fikir begitu, anda silap. Nak jadi pengacara yang betul perlu ada persediaan contohnya pergi kelas atau datang dari latar belakang bidang penyiaran. Tapi, perkara begitu ambil masauntuk dipelajari dari aspek kemahiran.

“Saya pun tak nafikan, senario industri sekarang suka ambil orang yang tak ada latar belakang begitu, tanpa ada pengalaman. Jadi, bila berlakunya keadaan yang tidak sepatutnya, mereka yang terbabit tidak tahu nak buat apa untuk selesaikan masalah itu,” katanya.

Selain itu, kata bekas pengacara bualpagi Nasi Lemak Kopi O (NLKO) TV9 dan program On Air ini, pengacara atau hos juga perlu menitikberatkan usaha untuk menambah ilmu dengan membaca.

“Selain itu kena juga ambil tahu topik semasa dan isu-isu tertentu. Kena ada pengetahuan yang banyak. Bukan hanya berkata-kata sahaja. Sebabnya, semua orang boleh bercakap. Kalau macam itu,
sesiapa sajalah boleh jadi pengacara. Tetapi dari segi teknikal tak tahu, susah juga.

“Itu sebab saya kata kena ambil tahu dan cakna dengan situasi termasuk kenal pasti siapa tetamu jemputan program. Satu lagi, fahami apakah pengacaraan. Pengacara itu adalah seseorang yang
menyampaikan informasi.

“Bukan masuk set, sekadar gelak-gelak, ketawa tak tentu hala yang mana itu sekadar mengisi kekosongan waktu dalam setiap program,”katanya.

Mendedahkan bahawa sebelum ini dia juga belajar dari bawah, Karl, mula mengenal pasti selok belok dunia pengacaraan dengan membiasakan diri melakukan kerja-kerja bawahan.

“Bukan senang. Saya dulu pun tiga tahun belajar di belakang tabir buat kerja dari bawah sebelum dilepaskan ke depan kamera.

“Saya buat skrip, buat bahan kandungan. sayalah juga uruskan tetamu jemputan ke program, dan banyak lagi,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN