Wajah baharu Dewataraya - Utusan Malaysia

Wajah baharu Dewataraya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KETIKA menemu bual Dewataraya lebih setahun dahulu untuk kolum ini, mereka tampil sederhana dan agak mentah. Ketika itu, kembara muzik mereka boleh dikatakan baru bermula walaupun sudah tertubuh hampir dua tahun.

Dari enam anggota, ia menyusut kepada lima. Bual mereka juga lebih mesra dan mendalam. Wawasan muzik semakin berkembang. Yang kekal ialah sikap malu-malu ketika bergambar.

Membaca semula artikel ke-10 Rondivu itu, saya perasan yang Dewataraya pernah mengimpikan sesuatu untuk album pertama mereka. Kata mereka ketika itu, album itu mahu ditambah dengan instrumen baharu seperti piano dan synthesizer. Siapa sangka, wawasan itu semakin berkembang dalam tempoh pandemik dan Dewataraya akan muncul dengan album yang lebih epik dan kompleks dari segi muzik.

Mereka baru sahaja melancarkan lagu Demimu, Untukmu, Buatmu di platform digital dan muzik mereka ternyata berkembang pesat. Dengan lebih penekanan kepada elemen rock progresif, Dewataraya hari ini boleh dikatakan Dewataraya yang baharu.

Biarkan Masa
Pada 3 dan 4 Disember ini, mereka bakal tampil dengan buah tangan baharu. Biarkan Masa merupakan lagu kedua dari album terbaharu mereka yang akan dilancarkan tahun hadapan. Pada 3 Disember, lagu ini bakal menemui pendengar melalui platform digital dan keesokan harinya, sebuah acara istimewa dianjurkan bagi meraikan pelancaran video muziknya pula.

Video muzik Biarkan Masa mendapat sentuhan produksi Juicy Brain yang diterajui pengarah dan penerbit, Jefrey Adam. Jefrey sebelum ini turut mengarahkan video muzik Fun Lust Love oleh Late Night Frequency di bawah produksi sama.

Menurut Jefrey, ilham video muzik ini diperoleh dalam masa singkat selepas mendengarkan lagu Biarkan Masa. Menyentuh soal pencarian diri dan kekalutan minda, Jefrey mendapatkan khidmat SR sebagai penari dan pelakon dalam video muzik itu.

“Yang paling istimewa dalam video muzik ini ialah rekaan set. Kami buat rakaman di sebuah bangunan terbengkalai dan menggunakan elemen seperti cahaya lilin dan warna merah untuk menyampaikan perasaan dalam lagu itu,” katanya.

Duet pertama
Biarkan Masa merupakan lagu pertama Dewataraya dalam bentuk duet. Kali ini, mereka mendapatkan sentuhan vokal Heidi Moru. Menurut Najmi Aiman (gitar), kerjasama Heidi sangat baik, terutamanya pada bahagian ad lib yang ditambah pada bahagian vokalnya.

“Kami cuba beritahu Heidi mana bahagiannya dan dia sendiri tambah ad lib di beberapa bahagian,” katanya.

Mengimbas proses rakaman, Nawi Zharif (vokal) memberitahu banyak dugaan yang dihadapi ketika itu disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan yang sedang berlangsung.

“Mula-mula Heidi beritahu dia tak ada barang untuk buat rakaman. Kami terpaksa upah Grab untuk hantar barang-barang ke rumahnya. Alhamdulillah hasilnya sangat baik,” jelas Nawi.

Seluruh proses rakaman album baharu mereka juga dilakukan secara berjauhan. Dengan bantuan teknologi seperti aplikasi Discord, Dewataraya berjaya membuktikan album boleh dirakam dengan baik walaupun tidak bersemuka di studio.

Aqmal Shah (gitar) melihat lagu Biarkan Masa sebagai sebuah karya duet yang unik apabila kolaborasi vokal antara Nawi dengan Heidi menggambarkan situasi perbualan yang ditutup dengan ungkapan perkataan sama.

“Berbeza dengan lagu duet lain, kebiasaannya penyanyi menyanyi bersa­ma untuk melengkapi (ungkapan) satu sama lain tetapi dalam lagu ini, ia seakan dialog,” jelasnya.

Idea besar
Selain Nawi, Aqmal dan Najmi, Dewataraya turut dianggotai Hakim Hisham (bass) dan pemain dram baharu, Emeirul Ashraf. Kugiran ini turut membaharukan penjenamaan mereka dengan logo baharu.

Pada 4 Disember ini, tayangan perdana video muzik Biarkan Masa akan diadakan secara maya dan fizikal. Acara fizikal diadakan di Stesen Seni, Damansara Perdana dengan penampilan Motherwit sebagai kugiran pembuka.

Dalam acara tersebut, Dewataraya akan mempersembahkan Biarkan Masa secara langsung buat pertama kali bersama beberapa lagu lain. Tayangan secara maya pula akan diadakan secara langsung di Instagram Alam Bunyian.

Pada 22 Januari nanti pula, album pertama Dewataraya akan dilancarkan dengan konsep yang setakat saya dengar, sangat menarik. Menurut Nawi, mereka rancang mahu gabungkan elemen teater dengan persembahan muzik.

Perjalanan baharu buat Dewataraya dan pastinya, pengalaman baharu juga buat pendengarnya. Ikuti rapat kugiran ini dan dengarkan karya mereka. Maju terus, Dewataraya!

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya