Tumbesaran anak terbantut boleh dicegah - Utusan Malaysia

Tumbesaran anak terbantut boleh dicegah

Banyak tips keibubapaan di kongsi di media sosial, berapa banyak yang kita praktikkan? Adakah kita baca, share dan praktik atau sekadar memenuhi wall sahaja? - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“DOKTOR, kenapa anak saya tidak tinggi, kurang berat dan saiz badannya juga kecil berbanding kanak-kanak yang sebaya dengannya?”

Pertanyaan seperti inilah selalu ditujukan kepada pakar pediatrik oleh ibu bapa yang bimbang akan tumbesaran anak membantut.

Menurut Pakar Perunding Pediatrik dan Endokrinologi, Prof. Madya Dr. Azriyanti Anuar Zaini, masalah tumbesaran boleh dikategori kepada tiga iaitu kekurangan berat badan, kesusutan berat badan dan kebantutan.

“Ketiga-tiga kategori ini amat membimbangkan dan sekiranya masalah kekurangan berat badan tidak dikenal pasti lebih awal, ia akan membawa kepada masalah kebantutan.

DR. AZRIYANTI ANUAR ZAINI

“Bantut dalam kalangan kanak-kanak berkait rapat dengan tahap sistem imun badan yang rendah, penyakit kronik, masalah kognitif dan kebantutan di usia remaja dan dewasa kelak,” katanya.

Tambah Dr. Azriyanti, selain potensi genetik dan masalah hormon dalam badan, masalah kekurangan zat makanan adalah punca utama kanak-kanak terbantut.

Kesannya lebih teruk dengan adanya faktor-faktor lain seperti masalah sistem imun badan yang lemah dan penyakit kronik.

“Kanak-kanak yang kekurangan zat makanan juga akan lebih mudah mendapat penyakit. Kebanyakan kanak-kanak mungkin alami kekurangan zat makanan kerana pengambilan makanan yang tidak mencukupi, kurang selera makan, cerewet tentang makanan atau masalah lain seperti tabiat pemakanan yang tidak sihat.

“Pemakanan dan sistem imun badan saling berkait. Amalan pemakanan yang tidak sihat akan mengganggu keseimbangan mikroorganisma.

“Kesannya boleh meningkatkan risiko ketahanan badan yang lemah dan kanak-kanak lebih mudah mendapat jangkitan kuman. Kerap jatuh sakit boleh mengganggu proses tumbesaran mereka,” katanya.

Bagaimanapun, salah satu cara untuk memantau pertumbuhan kanak-kanak adalah dengan mencatat ukuran ketinggian mereka pada Carta Piawaian dan Carta Rujukan Pertumbuhan yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) setiap tiga hingga enam bulan sekali. Ukuran ketinggian di bawah -3 sisihan piawai menunjukkan kanak-kanak tersebut mengalami masalah kebantutan yang teruk.

Sementara itu, Pakar Diet Klinikal, Siti Hawa Mohd. Taib berkata, kebantutan pada usia lima tahun dan ke bawah masih boleh diperbaiki namun intervensi pemakanan harus dimulakan seawal yang mungkin atau dengan pengambilan suplemen yang disarankan.

 

SITI HAWA MOHD. TAIB

“Kanak-kanak memerlukan pemakanan yang lengkap dan seimbang untuk mengejar semula tahap tumbesaran mereka. Bagi kanak-kanak yang mengalami masalah tumbesaran, peningkatan pengambilan kalori haruslah diutamakan.

“Antara petua boleh diamalkan adalah pengambilan makanan seperti roti atau biskut yang disapu dengan lapisan tebal mentega, mentega kacang, sapuan coklat atau kaya ke atasnya.

“Juga boleh pertimbangkan pengambilan makanan tambahan secara oral atau Oral Nutrition Supplement (ONS). Pakar mengesyorkan pemberian ONS kepada kanak-kanak yang bantut dan mempunyai risiko kebantutan supaya masalah ini dapat dicegah dan ditangani.

“Selain itu juga, ibu bapa perlu berjumpa pakar pediatrik bagi mendapatkan kaunseling dan bimbingan untuk memastikan tumbesaran anak-anak yang sihat,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menjadi ahli panel Pakar Program Pertumbuhan, Tabiat Makan dan Pemakanan Kanak-kanak (IMFeD) For Growth dilancarkan oleh Persatuan Pediatrik Malaysia (MPA).

Ia sebagai platform kerjasama antara pakar penjagaan kesihatan dan ibu bapa untuk mengoptimumkan tumbesaran anak-anak secara efektif.

 

INFO

Kadar kebantutan dalam kalangan kanak-kanak telah meningkat sejak sedekad yang lalu dan kini satu daripada lima kanak-kanak di bawah usia lima tahun di Malaysia didapati terbantut.

Masalah tumbesaran boleh dikategorikan kepada;
1) Kekurangan berat badan (underweight) – berat yang rendah untuk usia
2) Kesusutan berat badan (wasting) – berat yang rendah untuk ketinggian
3) Kebantutan (stunting) – ketinggian yang rendah untuk usia

Tingkatkan kualiti diet dan tahap pemakanan yang mencukupi. Sediakan makanan sihat dan berkhasiat yang mengandungi kelima-lima kumpulan makanan iaitu sayur-sayuran; buah-buahan; nasi, mi, bijirin dan sumber karbohidrat yang lain seperti ikan, ayam, telur, daging dan kekacang serta susu dan produk tenusu.

Kanak-kanak memerlukan pemakanan yang lengkap dan seimbang untuk mengejar semula tahap tumbesaran mereka. Protein memainkan peranan yang penting dalam pembinaan otot manakala nutrien seperti kalsium, arginin, vitamin D dan K membantu pertumbuhan tulang.

Nutrien lain seperti besi, zink dan vitamin C membantu menguatkan sistem ketahanan badan. Kesemua nutrien ini bekerjasama dalam membantu kanak-kanak untuk mencapai potensi tumbesaran mereka yang optimum.

Kajian mendapati Oral Nutrition Supplement (ONS) amat berkesan meningkatkan kadar tumbesaran pada kanak-kanak yang tidak dapat memenuhi keperluan pemakanan, sama ada disebabkan oleh cerewet makan atau isu-isu lain.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya