KUALA TERENGGANU : Polis merakam keterangan tiga individu termasuk pemandu bot dan mangsa yang terselamat bagi membantu siasatan kes bot pelancong terbalik di Pulau Perhentian, Besut, dekat sini yang mengorbankan tiga individu termasuk dua kanak-kanak, Sabtu lalu.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Khairi Khairuddin berkata, setakat ini pihaknya memanggil pemandu bot yang berusia 22 tahun dan abangnya yang berusia 32 tahun serta seorang wanita yang terselamat berusia 39 tahun.
“Setakat ini, kita baru sahaja mengambil keterangan tiga individu dan masih ada lagi keterangan yang perlu diambil untuk lengkapkan siasatan,” katanya selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Terengganu di Ibu pejabat Kontinjen Terengganu, di sini hari ini.
Mohd. Khairi berkata, pihaknya akan menyiasat secara terperinci berhubung kejadian termasuk jika wujudnya kecuaian dan jenayah dalam insiden itu.
“Kita akan memanggil mangsa yang selamat sebab kita nak tahu apa sebenarnya yang berlaku. Kita tak nak hanya dengar rumors tetapi dalam siasatan kita tak tahu mungkin ada benda lain yang kita boleh rekodkan sebagai bukti.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 malam pada Sabtu lalu, S. Arumugam,40, dan anaknya, A.Sarrvihka, 3, serta seorang lagi saudara perempuan mereka , V.Vennpani, 10, maut manakala dua mangsa cedera termasuk seorang kritikal, selain 10 lagi mangsa terselamat.
Bot yang membawa 15 penumpang berusia antara tiga hingga 40 tahun yang mempunyai pertalian persaudaraan itu terbalik selepas dipukul ombak besar ketika dalam perjalanan dari Pulau Perhentian Kecil ke Pulau Perhentian Besar selepas selesai makan malam.
Pada majlis tersebut, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, ACP Arsad Kamaruddin dilantik memangku tugas Timbalan Ketua Polis Terengganu, menggantikanDatuk Wan Rukman Wan Hassan yang bersara selepas 31 tahun berkhidmat dengan Polis DiRaja Malaysia (PDRM).
Sementara itu, beliau berkata, kurang perhatian ibu bapa dan ahli keluarga hingga menyebabkan kanak-kanak takut menceritakan sesuatu perkara yang berlaku, menjadi antara faktor peningkatan jenayah rogol dan sumbang mahram di negeri ini.
Katanya, berdasarkan kajian yang dilakukan, kes seksual di negeri ini mencatatkan peningkatan sebanyak 3.8 peratus dari Januari hingga Jun tahun ini, berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu.
“Pada tahun lalu, sebanyak 104 kes seksual dicatatkan dalam tempoh enam bulan pertama dan kes itu meningkat kepada 108 kes bagi tempoh sama pada tahun ini. Kes rogol pada tahun lalu adalah sebanyak 37 kes meningkat kepada 41 kes pada tahun ini manakala bagi kes sumbang mahram pula meningkat kepada sembilan kes, berbanding hanya lima kes pada tahun lalu,” katanya. – UTUSAN









