PETALING JAYA: Giliran penyanyi popular, Iman Troye pula mengharumkan nama negara di persada antarabangsa apabila muncul di papan iklan digital tersohor New York Times Square, Amerika Syarikat.
Menurut kenyataan, penyanyi lagu Nang itu menjadi artis Malaysia berhijab ketiga muncul di papan iklan digital tersebut.
Kongsi Iman, sebagai bintang baharu dalam industri muzik tanah air, dia menitipkan rasa syukur dan terharu dengan kejayaan besar yang diperoleh ini.
“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur atas penghormatan ini. Ia satu kejayaan yang besar buat saya yang masih agak baru dalam industri muzik tempatan.
“Apatah lagi sebagai seorang penyanyi wanita Malaysia yang berhijab. Saya berharap akan dapat terus memenuhi harapan para peminat.
“Selain itu, saya turut berterima kasih atas segala doa dan sokongan yang tidak pernah padam daripada keluarga, rakan-rakan serta peminat saya,” ujarnya.
Sekadar informasi, penampilan Iman yang mewakili negara Malaysia pada papan iklan terkenal tersebut adalah sebahagian daripada kempen Equal oleh wadah penstriman digital tersohor dunia, Spotify.
Tambahan pula, penyanyi lagu terkenal Teman itu juga merupakan wakil bagi senarai lagu Equal Malaysia dan Singapura.
Iman Troye merupakan artis Malaysia keempat yang ditampilkan di papan iklan New York Times Square selepas Yuna, Layla Sania, serta kumpulan Dolla, September lalu.










