KUALA LUMPUR : Bukan mudah untuk membuatkan artis kesayangan apatah lagi bertaraf ikonik dalam industri muzik antarabangsa menyedari bakat anak tempatan namun penyanyi Aina Abdul berjaya membuktikan ia bukan sesuatu yang mustahil.
Berjaya meraih perhatian penyanyi hebat, Adele, di media sosial, Aina baru-baru ini terkejut namun berbangga apabila penyanyi terkenal itu memuat naik dan berkongsi video rakaman lagu Easy On Me yang dinyanyikan semula oleh Aina di Instagramnya.
Video tersebut telah dikongsikan oleh Adele menerusi paparan di ruangan Instagram Story (igs) dan meski cuma berlangsung selama 24 jam sahaja, perkara itu sudah mampu membuatkan Aina tersenyum lebar dalam keharuan.
“Alhamdulillah, saya tak sangka lagu cover berjudul Easy On Me yang dinyanyikan semula telah dikongsikan di laman rasmi Adele.
“Saya tahu ramai menyanyikan semula lagu ini. Malah ada yang menyanyi lebih bagus daripada saya, tetapi rezeki saya apabila video nyanyian jadi pilihan.
“Walaupun hanya dikongsikan di Igs sehari sahaja, tetapi saya sangat terharu dan tetap bersyukur. Semasa mendapat tahu, saya sedang bersiap untuk menjayakan Konsert Patriotik Tanah Airku di Istana Budaya, minggu lalu. Hanya Allah tahu perasaan saya,” katanya.
Terdahulu, Adele Access yang menjadi akaun rasmi kerjaya Adele berkongsi beberapa video nyanyian semula lagu Easy On Me.
Difahamkan, Ia dipilih secara rawak daripada video nyanyian daripada mana-mana individu di seluruh dunia.
Video nyanyian lagu Easy On Me yang dikongsikan Aina di Instagram berjaya meraih lebih 150,000 tontonan dan mendapat lebih 20,000 tanda suka.
Menurut Aina, lantaran itu dia sentiasa akan memastikan rakaman nyanyian semulanya untuk mana-mana lagu dilakukan dengan bersungguh-sungguh dengan harapan usahanya itu mendapat perhatian penyanyi asal.
“Setiap kali merakamkan lagu cover, saya berhasrat agar penyanyi asal dapat mendengarnya. Sebab itu, saya akan menyanyikannya dengan sebaik mungkin.Tak salah menaruh harapan bukan?
“Kalau keadaan itu tidak berlaku pun tidak mengapa. Asalkan peminat nampak.Selain itu, ia juga merupakan strategi saya untuk memikat hati peminat mereka untuk menerima saya.
“Siapa tahu, mungkin perlahan-lahan saya boleh mendekati peminat antarabangsa pula,”katanya.
Sebelum ini, video nyanyian Aina pernah mendapat perhatian penyanyi dari seberang, Melly Goeslow.
Malah, Aina pernah ditemubual stesen televisyen Korea Selatan iaitu Arirang TV bagi mempromosikan lagu Sepi yang dinyanyikan dalam versi Korea.
habis