SPRM siasat bekas menteri terbabit penyelewengan

SPRM siasat bekas menteri terbabit penyelewengan

AZAM BAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menjalankan siasatan ke atas seorang bekas menteri dalam kerajaan sebelum era Covid-19 atas dakwaan penyelewengan.

Sumber berkata, selain siasatan terhadap proses pemindahan sebidang tanah milik kerajaan, SPRM juga menyiasat projek pembinaan papan pengiklanan yang dilakukan kementerian berkenaan.

Katanya, siasatan masih dijalankan bagi meneliti hubungan antara bekas menteri berkenaan dengan syarikat-syarikat yang terlibat.

Tambahnya, siasatan awal mendapati kes ini mencecah “jutaan ringgit.”

“Sebagai sebahagian daripada siasatan, SPRM dalam proses mendapatkan dokumen-dokumen berkaitan. Ia juga akan memanggil beberapa individu untuk membantu siasatan.

“Siasatan membabitkan kepentingan awam dan menjadi punca SPRM meneruskan siasatan terhadap kes berkenaan.

“SPRM juga percaya kes itu berpotensi membawa kepada pemulihan kerugian yang berkaitan dengan ketirisan aset dan dana awam,” katanya.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, mengesahkan pihaknya sudah membuka kertas siasatan terbaharu mengenai kes itu.

Beliau turut mengesahkan, beberapa individu penting akan dipanggil untuk membantu siasatan.

“Ya saya sahkan dan akan memanggil beberapa individu dalam siasatan itu,” katanya, hari ini.

Difahamkan, bekas menteri itu pernah didakwa di mahkamah atas beberapa kes rasuah beberapa tahun lalu dan siasatan kini menjurus kepada dakwaan penyelewengan sewaktu beliau berkhidmat dalam sebuah kementerian.

Siasatan dilakukan SPRM membabitkan pemindahan sebidang tanah milik kerajaan yang bernilai tinggi kepada seorang pemaju hartanah terkemuka.

Tindakan itu mempunyai unsur-unsur rasuah dan penyelewengan, malah melalui maklumat terbaharu yang dilaporkan oleh orang awam itu, menyebabkan SPRM membuka kertas siasatan, biarpun bekas pemimpin itu sudah lama tidak berkhidmat dalam kerajaan.

Sebelum ini,  sebuah akhbar berbahasa Inggeris melaporkan, SPRM memperoleh maklumat baharu pada penghujung bulan lalu, iaitu hampir sedekad selepas penyelewengan itu berlaku. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN