Pas hairan 'pihak minoriti serah nama'

Pas hairan ‘pihak minoriti serah nama’

AHMAD FADHLI SHAARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pas menyatakan rasa hairan berhubung kemelut politik melanda Perlis apabila pihak yang disifatkan sebagai golongan minoriti menyerahkan nama calon Menteri Besar kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.

Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari dalam satu hantaran di Facebook menzahirkan penghargaan kepada Pakatan Harapan (PH) Perlis susulan sokongannya terhadap Pas untuk terus mentadbir negeri tersebut.

Namun, beliau hairan apabila ada pihak lain yang dilaporkan menyerahkan nama calon Menteri Besar walaupun mereka dianggap minoriti.

“Terima kasih PH Perlis. Hairannya ada pihak yang serah nama walaupun minoriti,” katanya hari ini.

Walaupun tidak menamakan mana-mana pihak namun kenyataan itu dipercayai ditujukan kepada sekutunya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) susulan ura-ura mengenai kedudukan Menteri Besar Perlis, Mohd. Shukri Ramli kini tergugat selepas didakwa hilang kepercayaan sebahagian besar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Kedudukan Mohd. Shukri dikatakan goyah apabila lapan daripada 14 ADUN Perikatan Nasional (PN) dikatakan menarik sokongan terhadap ADUN Sanglang itu.

Berdasarkan laporan Utusan Malaysia, semua ADUN terlibat didakwa telah menyerahkan akuan bersumpah (SD) kepada Tuanku Syed Sirajuddin bagi menyatakan bahawa mereka sudah hilang kepercayaan terhadap Menteri Besar.

Dikatakan semua yang terbabit adalah lima ADUN Bersatu dan tiga ADUN Pas. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN