"Yang menaikkan kemarahan adalah apabila dia ungkit pasal anak saya" - Dr. Say - Utusan Malaysia

“Yang menaikkan kemarahan adalah apabila dia ungkit pasal anak saya” – Dr. Say

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Personaliti media sosial, Dr. Say Shazril kesal dengan tindakan seorang pengguna Twitter yang melayangkan tuduhan dan fitnah terhadapnya di media sosial.

Kata Dr. Say, dia terkesan dan marah dengan tindakan biadab individu yang membuat kenyataan tidak benar tentang dia dan anaknya hanya berdasarkan tajuk utama sebuah artikel yang diterbitkan sebuah agensi berita baru-baru ini.

“Saya dapat tahu tentang perkara ini apabila pengikut saya kongsikannya di Instagram.

“Apabila individu tersebut sentuh pasal orientasi, saya okay sebab tuduhan macam ini sering saya terima sejak dahulu lagi.

“Tetapi, apa yang menaikkan kemarahan adalah apabila dia ungkit pasal anak saya. Saya kecewa, kerana tuduhan dilemparkan individu tersebut hanyalah berdasarkan tajuk artikel agensi berita berkenaan yang bagi saya, menyimpang,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Dr. Say mengulas tentang kenyataan biadab seorang pengguna Twitter yang membuat fitnah dengan menuduhnya seorang homoseksual.

Lebih melampau lagi apabila individu tersebut juga secara terbuka mengungkit soal keadaan anak Dr. Say yang menghidap autisme tahap sederhana.

Mengulas lanjut, Dr. Say berkata dia tidak menyalahkan sepenuhnya individu berkenaan atas tindakan biadabnya itu.

Katanya, tajuk utama artikel yang diterbitkan agensi berita tersebut juga menjadi punca kepada salah faham ramai orang tentang keadaan sebenar.

“Apabila difikir semula, tajuk yang ditulis itu sangat misleading (menyimpang). Jadi, saya juga merasakan agensi berita tersebut perlu bertanggungjawab dengan setiap artikel atau laporan yang mereka terbitkan, lebih-lebih lagi pada tajuk utama.

“Kalau nak tulis tajuk, tak perlulah yang mengundang fitnah,” tegurnya.

Disoal sama ada dia akan mengambil tindakan undang-undang atau membuat laporan polis berkenaan isu tersebut, Dr. Say memberitahu dia enggan mengambil pusing dan menyerahkan sahaja kepada netizen untuk menilai.

“Kenapa perlu saya bazirkan masa untuk hal-hal seperti ini. Mereka yang kenal saya, kenallah.

“Saya tidak kisah kalau ada yang terikut-ikut atau percaya dengan dakwaan individu tak dikenali itu. Cakap-cakap buruk orang tidak mengganggu saya. Sekarang tumpuan saya terhadap anak, itu sahaja,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya