Wajar beri pilihan genre baharu buat penonton - Adrian Teh - Utusan Malaysia

Wajar beri pilihan genre baharu buat penonton – Adrian Teh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Pengarah terkenal, Adrian Teh, 37, berpendapat, sudah tiba masanya penonton diberi pilihan dengan pelbagai naskah filem atau drama genre baru agar tidak lagi wujud isu lambakan naskah berintipati sama sahaja.

Menurut pengarah filem Paskal dan Wira ini, selama ini perkara itu sering terjadi dan memperlihatkan seolah-olah penonton kita ini terlalu sering ‘disuap’ dengan cerita-cerita lazim, contohnya berkisarkan cinta.

“Berikutan itulah saya cuba menyuntik kelainan menerusi gaya pengarahan dan naskah yang dihasilkan. Contohnyam menerusi apa yang saya cuba tawarkan dalam drama bersiri baru yang akan menjalani penggambaran tidak lama lagi, I Am Vash.

“Ia bukan sebuah drama yang tipikal, yang kita selalu dapat menonton dalam drama tempatan. Ia merupakan sebuah drama berbeza yang bagi saya, segar untuk dihasilkan kepada bahan kandungan tempatan. Secara peribadi, cerita ini bagi saya menarik.

“Saya percaya, penonton Malaysia perlu diberi pilihan untuk menonton genre baru. Bukannya selalu disuap dengan genre yang popular sahaja,”katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi baru-baru ini.

Berkongsi mengenai I Am Vash, kata Adrian, dia juga sangat teruja untuk menggerakkan drama tersebut yang diterbitkan oleh syarikat 108 Media selain turut membariskan pelakon-pelakon yang bermutu seperti Bront Palarae dan Sangeeta Krishnasamy yang memainkan watak utama.

Difahamkan, penggambaran drama tersebut akan dijalankan pada Mei 2022 dan siap untuk tontonan pada tahun 2023.

Ia berkisarkan tentang bandar Pelabuhan Kelang di Malaysia yang dipenuhi jenayah sekitar tahun 1970-an dengan watak utamanya, Vash, seorang pegawai polis wanita yang sentiasa menghadapi tekanan masyarakat dan politik sambil cuba menyelesaikan kes terbesar sepanjang kerjayanya.

Kes itu membabitkan ketua geng penjenayah yang membuat onar di seluruh negara untuk memenuhi impiannya menguasai dunia kongsi gelap Asia Tenggara.

Dalam pada itu, menurut penerbit Eksekutif projek global seperti Dirk Gently dan The Ghost Briden, Zainir Aminullah berpendapat, I Am Vash adalah sebuah kisah yang bakal menjadi fenomena dan disulami dengan adegan-adegan yang pernah berlaku.

“Malaysia sekitar 1970-an merupakan era dengan pelbagai detik penuh sensasi.Diilhamkan oleh peristiwa bersejarah, watak-watak ikonik dan wira-wira nyata, siri penuh aksi ini digarap dengan panel penulis lintas-sempadan buat tontonan penduduk tempatan serta antarabangsa dengan menggunakan Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia di samping Bahasa Tamil dan juga dialek dialek Bahasa Cina.

“Ia pastinya mampu menyuntik semangat muhibah buat kita sebagai rakyat Malaysia,”katanya.

Pengedaran I Am Vash akan dilakukan oleh 108 Media di peringkat antarabangsa bersama Revolution Media untuk rantau ini dan Malaysia.

Berpangkalan di London dan Singapura dengan pejabat jualan serta penerbitan utama di Toronto, Los Angeles, Tokyo, Kuala Lumpur, serta Manila, 108 Media akan menanggung kos kewangan serta menerbitkan projek ini melalui bahagian penjanaan kewangannya ke arah pasaran antarabangsa berlandaskan fokus utama untuk memperkasakan para pencipta baharu dengan harta intelek yang merentas budaya.

Revolution Media yang merupakan penerbit bersama siri ini adalah sebuah syarikat pembangunan dan penerbitan yang berpusat di Malaysia dengan rangkaian projek bersiri dan filem di Amerika Utara, Australia, Indonesia serta Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya