Usah abai faktor selamat demi cepat cantik - Utusan Malaysia

Usah abai faktor selamat demi cepat cantik

Dr. Ainna.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Kecantikan dan wanita begitu sinonim sehinggakan sejak dari dahulu sudah ada pelbagai tata cara atau rutin tertentu yang dicipta demi memastikan penampilan dan tubuh badan terjaga rapi.

Perawatan pada wajah juga menjadi titik tumpu pada setiap golongan wanita kerana ia ibarat jendela kepada personaliti diri kerana tatapan mata biasanya akan terpaku kepada pesona pada cerminan wajah seseorang.

Namun, dalam keghairahan memastikan wajah sentiasa kelihatan awet muda dan cantik, terdapat sesetengah kaum wanita sehingga terlupa untuk mengambil peduli akan ketulenan dan paling utama, penekanan faktor selamat atau tidak sesebuah rutin kecantikan tersebut.

Ini kerana di zaman moden, teknologi juga menjadi satu daripada ‘alat’ yang mampu menukar sudut pandang seseorang pengguna dalam meninggalkan rawatan secara tradisional kepada rutin rawatan yang lebih kekinian.

Pun begitu, adakah prosedur yang dilakukan itu benar-benar terjamin selamat?

Pandangan mengenai hal ini diutarakan oleh pengasas dan konsultan kesihatan Aestetik M.A.D. Wellness, Dr Ainna,34, yang banyak menerima kes kerosakan kulit wajah gara-gara pengguna tersilap memilih jenis perawatan yang tidak bersesuaian.

Menurut Ainna, keadaan ini lazimnya berlaku akibat keghairahan pengguna yang terlalu ingin cepat mendapatkan hasil untuk kelihatan cantik tanpa memikirkan soal keselamatan.

“Wanita atau lelaki yang ingin menjaga kulit wajah ini adakalanya sanggup buat apa sahaja demi tampil cantik dan rapi. Tetapi, kena berhati-hati apabila buat pilihan dan biasanya mereka ini tidak buat penelitian terperinci kerana mahu cepat dapat hasil.

“Bagi saya, kalau sekali kulit wajah sudah rosak, memang sukar untuk dibaik pulih.

“Saya bercakap berdasarkan pengalaman mengendalikan banyak kes seperti ini di mana pengguna sudah melakukan kesilapan dalam memilih rutin perawatan berteknologi namun akhirnya situasi jadi lebih buruk kerana kesilapan sendiri,”katanya.

Keghairahan untuk mendapatkan hasil cepat untuk kelihatan cantik akhirnya akan membawa padah jika mudah terpengaruh pada perkhidmatan rawatan yang mencurigakan.

Menurut Ainna, seseorang pengguna bertanggungjawab untuk mendapatkan kefahaman dan penerangan terperinci sebelum membuat keputusan untuk menjalani sesebuah prosedur kecantikan bagi rawatan aestetik.

“Betul, sekarang banyak pusat aestetik tumbuh bagai cendawan dan ia memberikan banyak pilihan kepada pengguna yang ingin mendapatkan rawatan. Matlamatnya sama, tapi pengguna juga kena ikut kesesuaian.

“Pengguna kena cakna dan bertanggungawab untuk berhati-hati dalam memilih kerana ada banyak yang menawarkan rawatan aestetik tetapi tidak bertauliah. Harga yang ditawarkan adakala membuat pengguna terpengaruh kerana terlalu murah namun tiada jaminan ia selamat digunakan.

“Elak mendapatkan rawatan asal boleh kerana anda hanya akan membazirkan masa apalagi wang ringgit apabila hasilnya tidak seperti apa yang anda inginkan,”katanya.

Ainna juga menekankan aspek kesabaran pada setiap wanita atau lelaki yang ingin membaik pulih cela dan segala masalah berkaitan kulit wajah kerana proses mahu cepat, akan membawa kepada rasa kesal.

Ini kerana, kata Ainna, jika mahu mendapatkan hasil yang benar-benar berkesan dan memuaskan hati, ia memerlukan satu komitmen dan disiplin yang tinggi.

“Bukan satu prosedur anda buat, maka terus dapat hasil yang terbaik. Nak cantik kena sabar dan disiplin. Selain itu, jangan abaikan juga faktor perubahan gaya hidup dan pemakanan. Ia seiring. Kena fahami proses itu,”katanya.

Dalam pada itu, tambah Ainna yang berkelulusan daripada Universiti Perubatan Ukraine ini, setiap pengguna yang hadir mendapatkan konsultansi dan rawatan di medispa M.A.D Wellness akan diberikan penerangan terperinci sebelum dirawat.

Malah, sejak memulakan operasi pada tahun 2016 di Petaling Jaya, Selangor, rata-rata mereka yang ingin mendapatkan rawatan kecantikan meletakkan kepercayaan pada mutu perkhidmatan yang disediakan.

“Bagi kami, kepercayaan yang diberikan oleh pengguna kepada perkhidmatan yang disediakan adalah satu penghargaan yang mahal buat kami. Di sini juga kami memang mengutamakan pelanggan.

“Satu yang istimewa di sini, pelanggan akan ‘dimanjakan’ dengan tangan pemilik medispa sendiri yang terdiri daripada saya dan seorang lagi rakan setugas, Dr. Davina.

“Ini adalah antara ciri eksklusiviti yang disediakan di sini selain pakej pelbagai rawatan kulit wajah dan tubuh badan yang ditawarkan pada harga yang sangat berpatutan dan terjamin,”katanya.

Antara rawatan yang disediakan termasuk rawatan menangani masalah jeragat, masalah jerawat dan parut wajah.

Selain itu, rawatan sel stem juga menjadi antara pakej yang mendapat sambutan tinggi daripada kalangan pengguna di M.A.D Wellness.

Untuk maklumat lanjut dan sebarang pertanyaan, boleh layari akaun Instagram @drmad.wellness dan di Facebook M.A.D Wellness.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN