fbpx

Pelakon ‘adik-adik’ ini terlalu ramai – Faizal Hussein

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pelakon berkredibiliti tinggi, Faizal Hussein tidak menafikan bahawa industri filem dan drama tempatan pada masa kini kekurangan pelakon lelaki yang memiliki sifat kejantanan.

Malahan kata Faizal, industri sejak akhir-akhir ini memperlihatkan kemunculan pelakon ‘adik-adik’ yang berselindung di sebalik imej lelaki perkasa.

“Zaman sekarang, pelakon ‘adik-adik’ ini terlalu ramai. Berbeza dengan ketika zaman saya atau sebelumnya yang mana pelakon lelaki dinilai dengan pakej lengkap, memiliki rupa, bakat dan kejantanan.

“Dari segi penampilan, pelakon ‘lembik’ ini menampakkan ciri kelelakian dengan janggut, misai dan berbadan sasa. Tetapi apabila berada dalam keadaan selesa, mereka mula menyerlahkan sisi ‘lembut’ yang menjadi karakter semula jadi mereka,” katanya.

Kata Faizal lagi, kebanyakan artis lama hadir dengan ‘kejantanan’ yang lahir dari hati dan tidak dibuat-dibuat.

“Ini kerana ramai pelakon lelaki pada masa dahulu dibekalkan dengan asas seni mempertahankan diri yang mereka pelajari sebelum menjadi pelakon lagi.

“Saya semasa muda telah dihantar oleh ayah untuk menghadiri kelas karate, kung fu dan silat. Begitu juga dengan ramai pelakon lama, yang ada ilmu-ilmu tersebut.

“Disebabkan itu, bagi kebanyakan pelakon lelaki dahulu, kejantanan mereka bukan datang dari badan yang sasa, sebaliknya datang dari hati.

“Kalau jiwa adik-adik, letaklah janggut, misai atau badan sasa sekalipun, orang tetap akan nampak mereka sebagai adik-adik,” ujarnya.

Dalam pada itu, penerima anugerah Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-25 ini berharap agar lebih ramai pelakon lelaki yang mempunyai ciri-ciri kejantanan sebenar diberi peluang untuk menggalas watak hero dalam sebuah drama atau filem.

Katanya, pemilihan pelakon lelaki perlu dinilai bukan pada rupa paras semata-mata, tetapi juga dari segi bakat dan kelelakiannya.

“Stesen penyiaran mempunyai kuasa untuk tetapkan siapa pelakon yang mereka kehendaki. Tapi malangnya bukan semua yang kenal dengan pelakon yang mereka pilih. Yang lebih kenal latar belakang pelakon Itu adalah penerbit dan pengarah.

“Oleh demikian, diharapkan kita dapat merujuk semula bagaimana cara penggiat filem dan drama dahulu menilai pelakon lelaki, yang mana pakej lengkap berserta rupa dan kejantanan itu amat mereka titik beratkan,” jelasnya.

POPULAR

KOSMO! TERKINI