fbpx

Harsha jadi usahawan pada usia 11 tahun

Harsha Ravindran bertukar daripada seorang pemalu kepada mempunyai keyakinan tinggi selepas menyertai Ascendance sebagai ketua pegawai pemasarannya.

Usia 11 hingga 17 tahun adalah zaman pelajar sibuk menghabiskan masa di peringkat sekolah rendah dan menengah.

Kejayaan pada usia itu biasanya diukur melalui penglibatan aktif dalam bidang kokurikulum serta prestasi dan keputusan cemerlang dalam kurikulum.

Namun berbeza bagi Harsha Ravindran yang menceburi bidang perniagaan sosial seawal usia 11 tahun.

Harsha adalah bukti usia muda bukanlah penghalang untuk menjadi usahawan berjaya asalkan mempunyai persekitaran yang menyokong impian itu.

“Untuk berjaya di usia muda ini tidak semudah disangka, tetapi saya bersyukur kerana persekitaran saya sangat membantu dan tidak putus asa memberi sokongan serta tunjuk ajar,” katanya.

HARSYA RAVINDRAN

PROGRAM BUAL BICARA

Menurut Harsha, segalanya bermula ketika ibu bapanya membawa dia menghadiri program bual bicara perniagaan.

Apa yang membuatkan dia semakin minat mendalami perniagaan sosial ini apabila petugas dan mentor program tersebut rajin melayani kerenah mereka dan tidak menunjukkan sifat berat sebelah meskipun mereka adalah kanak-kanak.

“Kebanyakan ibu bapa akan membawa anak mereka ke program tersebut kerana tidak ada yang menjaga di rumah.

“Disebabkan selalu menghadiri program itu, saya mula minat untuk mendalami ilmu dan selok-belok perniagaan di samping memberi inspirasi kepada pelajar untuk mencapai impian mereka,” katanya.

IBU SEBAGAI INSPIRASI

Kata Harsha, ibunya adalah sumber inspirasi untuk dia terus melangkah lebih jauh dalam kerjaya dan kehidupannya.

“Saya melihat kesungguhan ibu saya dalam membangunkan syarikat miliknya, dahulu ibu hanya bekerja sebagai ketua eksekutif modal insan di syarikat lama.

“Namun setelah merasakan ingin menceburi bidang perniagaan, ibu bekerja keras untuk berjaya. Oleh itu, saya ingin mengikut jejak langkah ibu saya,” katanya dengan nada penuh bangga ketika ditemui Utusan Malaysia.

Awal tahun ini, Harsha melancarkan buku pertamanya berjudul The making of A Teenage Entrepreneur. Buku itu menceritakan pengalamannya, tips dan peluang untuk remaja menjadi usahawan.

BAHAGI MASA

Semua orang mahu berjaya namun tidak semua memahami apa perlu dilakukan lebih-lebih lagi di usia sebelum 20 tahun.

Mempunyai impian saja tidak cukup, perlu ada tindakan untuk merealisasikan impian tersebut.

Menurut pengasas StartMyName.com ini, pada awalnya dia hanya menghabiskan masa lima minit untuk melakukan kerja.

Namun lama kelamaan dia sendiri secara natural, menghabiskan lebih banyak masa menguruskan hal kerja, dari lima minit ke 15 minit kemudian sejam dan seterusnya,

Tegas Harsha, ia tidak mengganggu pembelajarannya. Ada masa dia melakukan kerja di waktu rehat sekolah kerana menjawat jawatan sebagai ketua pegawai pemasaran Ascendance ketika itu.

Ascendance adalah organisasi yang membantu para pelajar untuk mengenal pasti minat dan cita-cita mereka di samping memberi dorongan untuk berjaya dalam pendidikan, kesihatan serta kehidupan seharian.

“Kerana saya juga merupakan ketua pegawai pemasaran, jadi saya perlu menguruskan banyak perkara melibatkan media dan menjawab pertanyaan orang ramai.

“Saya juga mendapat kebenaran pihak sekolah untuk membawa telefon bimbit kerana mereka tahu saya perlu menguruskan hal kerja.

“Bagi saya kalau kita mahu lakukan sesuatu, kita pasti akan cari masa dan cara untuk memastikan kerja itu selesai dan tidak mengganggu hal penting lain seperti belajar,” kata pemilik keputusan 8A+ dalam International General Certificate of Secondary Education (IGCSE) di International School Nilai.

SEORANG YANG PEMALU

Di sebalik karakter ramah dan lantang menyuarakan pendapat, siapa sangka rupanya sebelum ini Harsha adalah seorang pemalu dan tidak berani berhadapan dengan ramai orang.

“Saya seorang yang sangat pemalu semasa zaman sekolah rendah, untuk bercakap di hadapan ramai orang juga saya tidak berani,” kongsinya tergelak mengingati kenangan lalu.

Namun menurut Harsha, segalanya berubah apabila menyertai Ascendance, kerana dia hidup dalam persekitaran positif dan tidak jemu memberi dorongan serta tunjuk ajar.

“Apabila saya buat salah mentor tidak memarahi saya, mereka tidak putus asa dalam memberi tunjuk ajar sehingga saya mampu berdiri di atas kaki sendiri.

“Saya percaya bila kita berada dalam persekitaran membangun dan positif seperti itu, kita pasti boleh berjaya.

“Selain itu, disebabkan saya perlu berinteraksi dengan banyak syarikat korporat, lama kelamaan, perasaan malu dan takut untuk berinteraksi itu hilang,” katanya.

CABARAN

Ditanya adakah terdapat stereotaip masyarakat yang kurang mempercayai pelajar sekolah dalam mengurus syarikat, Harsha mengakui pernah berhadapan dengan situasi tersebut.

“Tidak dinafikan pada awalnya saya dan pasukan berhadapan dengan golongan yang meragui kebolehan kami, mereka dalam nada sinis berkata ‘eh boleh percaya ke budak sekolah buat kerja ni?’

“Saya tidak menghiraukan mereka, bagi saya, kita perlu fokus pada golongan yang menyokong dan berfikiran positif.

“Namun selepas Ascendance semakin berjaya, murid-murid yang datang ke program kami menunjukkan prestasi baik, kami semakin dipercayai oleh banyak pihak,” katanya tersenyum.

Harsha Ravindran adalah penulis buku The Makings of A Teenage Entrepreneur.

STARTMYNAME.COM

Kongsi Harsha, dia memulakan perniagaan startmyname.com kerana dia ingin membantu pelajar-pelajar seluruh dunia dari segi memberi inspirasi untuk berani mengejar impian dan berjaya dalam hidup.

Namun, apa yang lebih menarik menurut Harsha salah satu inspirasi menubuhkan syarikat itu adalah kerana dia ingin menyara yuran pengajian di universiti.

Menurut penuntut University of Pennsylvania, Amerika Syarikat itu tidak mahu mengambil biasiswa kerana ada orang lain lebih layak dan memerlukan.

“Setelah berbincang dengan mentor saya, dia menasihati saya tidak mengambil biasiswa dan berikan kepada yang lebih memerlukan,” katanya.

 

Biodata:
Nama: Harsha Ravindran
Umur: 19 Tahun
Pendidikan: Pelajar jurusan Sastera Ikhtisas dan Sains, University of Pennsylvania (Ivy League University), Amerika Syarikat (AS).
Asal: Johor Bahru, Johor

Pencapaian:
1. Pengasas bersama dan pemangku CEO Ascendance
2. Pengasas StartMyName.com
3. TEDx Speaker (3 times) dan International Conference Speaker
4. Penulis buku The Makings of A Teenage Entrepreneur
5. Penerima anugerah “The Diana Award”

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN