Dulu tiga kotak rokok, laju saja - Rahim Maarof - Utusan Malaysia

Dulu tiga kotak rokok, laju saja – Rahim Maarof

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Penyanyi rock bertaraf legenda hidup, Rahim Maarof mengaku sejak empat tahun lalu dia sudah bebas daripada bergelar perokok tegar atas kesedaran mahu memiliki gaya hidup yang lebih sihat.

Menurut Rahim, ia juga termasuk bebas daripada sebarang penggunaan rokok elektronik, vape dan sebagainya yang biasanya digunakan oleh perokok untuk menukar tabiat tidak sihat tersebut.

“Tak dinafikan, memang susah nak tinggalkan sesuatu yang sudah menjadi tabiat selama usia hidup. Tapi saya cuba juga buat dan syukur, sudah berhenti merokok sepenuhnya.

“Dulu, kalau nak tahu, memang kuat merokok, sampaikan tiga kotak rokok boleh saya habiskan sambil main permainan Playstation,”katanya.

Rahim berkata demikian semasa ditemui pada sidang media Konsert Rockestra Nostalgia di Mayor’s Courtyard, Biro Pelancongan DBKL, di sini, kelmarin.

Berkongsi mengenai perubahannya itu, menurut penyanyi yang popular dengan lagu Cinta Kristal dan Jangan Kau Rayu ini, dia mula mengambil inisiatif itu setelah mengalami batuk yang sangat teruk sekitar tahun 2018.

“Saya berhenti merokok akibat batuk teruk selepas menjayakan sebuah konsert dengan Man Bai dan beberapa artis lain pada tahun 2018. Masih saya ingat, ketika itu saya minta sebatang rokok daripada Allahyarham Kelly.

“Nak dijadikan cerita, itu adalah rokok yang terakhir yang saya hisap, kemudiannya saya terus berhenti lepas batuk yang teramat teruk,” katanya.

Tambah Rahim, kini menjalani kehidupan di tangga usia 66 tahun, dia dapat merasai perubahan gaya hidup yang lebih baik dengan mengamalkan rutin penjagaan kesihatan mengikut kemampuannya.

“Dulu saya suka berbasikal tapi sekarang tidak lagi selepas mengalami peristiwa terjatuh ketika mendaki sebuah gunung sebelum ini. Jadi, sekarang saya hanya buat senaman biasa.

“Alhamdulillah, saya sihat dan okey. Kalau nak sentuh pasal soal stres, itu biasalah semua orang akan tempuh dalam hidup ini tapi kita kena pandai uruskannya dengan baik,” katanya.

Bakal menyertai rakan-rakan lain seperti Ito Blues Gang, Man Bai, Ruhil Amani, Rahmat Mega dan Asheed Def Gab C di Panggung Anniversari, Taman Botani Perdana sempena Konsert Rockestra Nostalgia pada 30 Oktober ini, Rahim akan menyajikan persembahan terbaik buat penonton dan peminat yang datang.

Bermula pada pukul 9 malam,konsert percuma yang bakal diiringi 45 Pemuzik Orkestra Kuala Lumpur DBKL ini hanya dibuka kepada 250 penonton terawal.

Mereka yang berminat perlu melayari pautan rockestra.wasap.my atau menghubungi talian 018-245 4612.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya