D’SE7EN utamakan tujuh prinsip - Utusan Malaysia

D’SE7EN utamakan tujuh prinsip

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sebagai kumpulan muzik yang baru menapak dalam industri seni tanah air, kumpulan D’SE7EN, mempunyai tujuh prinsip yang perlu dipatuhi oleh setiap ahlinya supaya tidak lalai dalam dunia hiburan selain untuk menjaga imej kumpulan.

“Antara prinsip-prinsip itu ialah menjaga adab, menepati masa, jauhi rasuah, jangan bercinta sehingga lupa diri, percaya antara satu sama lain, mempunyai pendirian, saling menghormati dan sentiasa cekal.

“Prinsip-prinsip itu kami tetapkan dengan bantuan Razif Zainuddin (Projector Band), selaras dengan nama kumpulan kami iaitu D’SE7EN,” kata Ejoy selaku vokalis kumpulan tersebut.

Menganggap ini adalah masa terbaik untuk membuat kemunculan, D’SE7EN yang dianggotai oleh Jemy (gitaris), Ayil (Basis) dan Naz (pemain drum) mengambil langkah untuk bergerak sebagai sebuah kumpulan yang memainkan muzik bergenre rock.

April lalu, D’SE7EN telah mengeluarkan single perdananya yang berjudul Sungguh Sakit, Sungguh Rindu ciptaan Shahril dan Puteri Yana.

“Lagu itu mengisahkan tentang seorang lelaki yang tersakiti dalam hubungan percintaan kerana kekasihnya memilih lelaki yang lebih kaya dan mempunyai harta.

“Lelaki itu kemudian ditinggalkan begitu sahaja walaupun dia seorang yang setia kepada kekasihnya itu. Lagu tersebut boleh didengari di semua platform digital,” jelas Ejoy yang berusia 26 tahun.

Ejoy memberitahu, kumpulan tersebut kini sedang dalam proses untuk mengeluarkan muzik video lagu itu di laman YouTube Aries Muzik tidak lama lagi.

Bagi yang mengikuti perkembangan Ejoy, pasti tahu yang dia merupakan bekas penyanyi kumpulan Dadilia pada tahun lalu.

Namun, dia telah meninggalkan kumpulan tersebut dengan alasan mahu fokus kepada pekerjaan tetapnya pada waktu itu.

Kini, Ejoy ingin mengutamakan kariernya sebagai seorang penyanyi sambil melakukan kerja sambilan sebagai penghantar makanan Foodpanda.

Bercakap mengenai cabaran yang dilalui dalam industri ini, Ejoy berkata, komen-komen negatif yang dilemparkan oleh netizen merupakan antara cabaran terbesarnya.

“Ada yang pernah mengkritik fizikal dan berkata muka saya tidak sesuai dengan suara yang dimiliki semasa menyanyi.

“Pada mulanya saya tidak pasti bagaimana untuk memberi reaksi terhadap komen seperti itu. Tetapi lama kelamaan saya buat tak tahu sahaja kerana dalam sepuluh orang pasti ada seorang yang tidak akan suka kita,” jelas anak kelahiran Selangor itu.

Dia berharap, orang ramai akan menyokong kumpulan baharunya dan memberi tunjuk ajar kepada mereka yang masih mentah dalam industri ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya