Bittersweet: Belasungkawa buat legenda - Utusan Malaysia

Bittersweet: Belasungkawa buat legenda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADA 28 Disember tahun lalu, saya memberanikan diri menghubungi Fizan melalui DM Twitter. Tujuan saya mahu melamar Bittersweet untuk sesi temu bual. Tuhan saja tahu berapa tebal semangat yang perlu saya kumpul untuk menaip beberapa perkataan di situ. Saya memang selalu rasa rendah diri dan takut menghubungi orang lama muzik independen.

Mesej saya dibalas keesokannya dan Fizan agak mesra. Saya terus kepada tujuan. Siapa sangka, hanya dalam tempoh lima minit, Fizan sudah keluarkan ayat “ini off record”. Apa yang diberitahu selepas itu mengubah rasa teruja saya kepada sedih dan tidak percaya.

Fizan memberi gambaran usia Bittersweet sudah tidak panjang. Dia minta saya tidak memberitahu sesiapa lagi ketika itu. Selepas hampir setahun menyimpan rahsia, Bittersweet akhirnya secara rasmi bubar pada 24 Oktober lalu.

Jumpa sesuatu dalam Hilang
Saya tidak akan pernah berani mengaku peminat setia Bittersweet. Ketika gelombang indie menyerang industri muzik Malaysia kira-kira 15 tahun lalu, saya lebih tersangkut dengan Hujan, Meet Uncle Hussein, Pesawat dan pastinya, Komplot. Lagu Bittersweet saya dengar kadang-kadang saja. Itu pun yang sangkut hanya Next Aidilfitri dan Burn Berlin Down.

Namun, di peringkat akhir pengajian ijazah, saya murung teruk. Ketika itu lagu Hilang hadir sebagai teman. Kemalangan yang menimpa Herri tak lama selepas itu memberi lebih makna kepada Hilang.

Saya bikin satu poster ketika itu. Dengan gambar saya melompat sebagai latar, digelapkan dengan saduran warna biru gelap bersama efek angkasa, lirik Hilang ditulis dengan warna putih. Saya jadikan ia cover photo untuk akaun Facebook sebagai pembakar semangat supaya terus berani menempuh hidup.

Sentuhan Bittersweet dalam Hilang membantu saya menempuhi tempoh tersukar dalam hidup.

Bagi saya, mereka legenda
Usia Bittersweet 17 tahun sehingga ke tempoh pembubarannya. Bertahan selama ini sahaja sudah sukar, terutamanya dalam persekitaran muzik Malaysia.

Namun, itu tidak cukup untuk saya meletakkan mereka sebagai kugiran legenda. Saya lebih tertarik dengan kejayaan Bittersweet melaksanakan beberapa perkara yang sukar dibuat kugiran lain, termasuk di peringkat antarabangsa.

Salah satunya, mereka menukar vokalis tanpa menghadapi masalah besar. Betul, pada awalnya ada kecaman. Fizan pernah bercerita juga. Peminat masih mahukan Pijie. Namun, Bittersweet masih diraikan dengan baik selepas itu.

Kedua-dua vokalis, baik Fizan mahupun Pijie, disayangi peminat Bitter­sweet. Kedua-dua mereka diterima sebagai wajah hadapan Bittersweet.

Satu lagi kejayaan mereka, mengubah bunyian tanpa kecaman tegar juga. Cuba dengar Biarlah Mentari dan bandingkan dengan Capital E atau A Perfect Match. Mereka berevolusi dan peminat gembira dengan revolusi itu.

Lagu paling popular mereka di Spotify juga, setakat artikel ini ditulis, ialah Hilang. Lagu yang diterbitkan ketika kugiran ini berusia 12 tahun.

Kugiran sezaman mereka bergelut untuk membawa bunyian baharu. Butterfingers dahulu, menurut Loque, dikecam ketika mula menghasilkan lagu dalam bahasa Melayu. Hujan juga, bunyian baharu mereka dalam album Pelangi Dan Kau tidak begitu mendapat sambutan. Orang masih tergilakan Pagi Yang Gelap dan Kotak Hati. Dalam gig baru-baru ini, reaksi peminat Couple untuk lagu baharu agak suam berbanding lagu-lagu yang mereka hasilkan hampir dua dekad lalu. Belum kita buka cerita Bunkface.

Mungkin Racun Dunia dan Biarlah Mentari kurang popular berbanding lagu-lagu di awal kemunculan Bittersweet tetapi kejayaan Hilang bagi saya luar biasa. Sudahlah lagu itu dinyanyikan Herri, bukan Fizan.

Kerja mereka sudah selesai
Sebagai penyokong lapangan muzik independen, saya perlu berterima kasih kepada Bittersweet. Mereka antara yang berada di barisan hadapan mengangkat lapangan independen sehingga ke tahap ini.

Bersenjatakan muzik segar, mereka bersama mengepalai usaha memerdekakan muzik tempatan dari jajahan indo-rock suatu masa dahulu. Mereka menjadi inspirasi kepada kugiran-kugiran baharu.

Saya tidak ralat dengan pembubaran ini kerana dalam ucapan Herri mahupun Fizan, tidak nampak mereka akan keluar terus dari dunia muzik. Anak seni dilahirkan untuk melahirkan seni, kata kawan saya Noh Zulazfar. Mereka ini anak seni tulen.

Mungkin Bittersweet akan tinggal nama untuk dikenang selepas ini tetapi Fizan dan Herri akan terus berkarya, saya percaya.

Bittersweet atau BTSWT, kerja mereka sudah selesai. Kita ucap terima kasih, ambil semangat dan inspirasi kemudian kita sambung kerja kita: bangunkan muzik tempatan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya