BAGI peminat muzik rock, pastinya ramai mengetahui konflik yang melanda kumpulan sohor tanah air, Search yang mana persengketaan melibatkan anggotanya masih belum memperlihatkan tanda reda dan bernoktah. Mereka dilihat saling menuding jari antara satu sama lain sehinggakan isu tersebut terpaksa dibawa ke muka pengadilan.
Khabar Legenda meminta pandangan pemain gitar bass Search, Nasir Daud, 61, untuk merungkai masalah yang belum terlerai ini memandangkan dia ialah salah seorang anggota asal yang telah bersama kumpulan ini hampir 40 tahun lamanya.
“Saya tidak boleh keluarkan sebarang komen kerana semuanya masih dalam proses mahkamah.” – Itu jawapan awal dari mulutnya ketika saya menghubunginya baru-baru ini.
Sebagai pengamal media saya hormati keputusannya, jadi saya cuba mencari sisi
terbaik untuk menemu bualnya. “Baiklah, apa kata kalau abang ceritakan serba sedikit tentang penubuhan kumpulan ‘Search baru’ yang tular baru-baru
ini,” ujar saya kepadanya.
Dia bersetuju, namun tidak mahu menyentuh individu lain, terutamanya pihak ketiga yang sebelum ini mencetuskan pelbagai isu dan konflik sehingga membelakangkan dirinya, Amy dan arwah Yazit. Katanya, ada perkara utama yang belum sedia dikongsi bersama peminat kerana masih menunggu waktu yang sesuai.
“Search telah berjuang hampir 40 tahun dan kami bukan satu jenama kecil. Saya dan Amy sekadar ingin pastikan legasi, maruah, dan hak Search terpelihara agar tidak dimanipulasi oleh pihak lain yang ingin mengambil kesempatan. Kami sangat berhati-hati dengan setiap keputusan yang dibuat.
“Saya dan Amy bincang dan ambil keputusan untuk bawa Search kembali ke pangkal jalan. Seperti pepatah orang tua-tua dahulu, jika sudah tersesat jalan baliklah semula ke pangkal jalan. Dengan erti kata lain, kita undur semula di mana Search bermula,” katanya.
Menurutnya, Amy secara peribadi menghubungi bekas anggota Hillary Ang dan Man Kidal untuk membincangkan hala tuju kumpulan ini pada masa akan datang. Tujuan utama adalah untuk membersihkan semula jenama Search yang kini terpalit dengan pelbagai kontroversi.
Menurutnya dua figura ini ialah individu penting yang bertanggungjawab meletakkan batu asas penubuhan Search pada awal 80-an sehingga ke tahap dikenali hari ini. Malah nama Search itu sendiri lahir daripada idea Hillary. Man Kidal pula pengganti Hillary sewaktu proses rakaman dan persembahan selepas dia mengundurkan diri untuk menyambung pelajaran dalam bidang muzik.
“Kami cukup hargai dan pandang tinggi kepada mereka berdua. Budi dan jasa mereka terhadap Search sejak awal penubuhan tidak perlu disangkal lagi,” katanya.
Pertukaran anggota dalam sesebuah kumpulan bukanlah isu besar yang perlu diperdebatkan. Katanya, sebagai pemuzik perkara tersebut adalah lumrah yang tidak boleh dielakkan.
Mengambil contoh kumpulan ternama Barat, Black Sabbath yang pernah menggunakan khidmat penyanyi bersilih ganti, namun legasi tetap diteruskan.
Bukan bermaksud ingin menegakkan benang basah, tetapi itulah hakikat yang perlu diberitahu kepada peminat. Katanya, apa yang dilakukan ketika ini semata-mata bertujuan tidak mahu melihat jenama Search itu rosak, kerana untuk menjadi sebahagian daripada keluarga ini perlu ada aura dan kelayakan.
“Bagi saya Amy itu sendiri adalah Search, dan Search itu adalah Amy. Dia membawa suara Search, walaupun satu ketika dia pernah keluar untuk buat album solo. Biarpun
ada beberapa penyanyi yang menggantikan tempatnya, tetapi itu lebih bersifat ‘projek khas’ untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan.
“Apa yang saya dan Amy buat hari ini bukannya mudah, tetapi demi perjuangan Search. Kami takut jenama Search ini dibawa ke tempat salah. Search masih punya core player dan bukan buat sebarang pertukaran yang merapu. Saya faham ada peminat yang berdebat dan berbahas mengenainya, tetapi mereka kena faham apa yang kami buat ini ada sebab-sebab tertentu,” jelasnya.
Menurutnya, kekuatan Search bukan terletak kepada individu, tetapi pada karya, disiplin dan pengurusan yang merupakan keutamaan. Tidak bergantung kepada perkara yang rumit dan menimbulkan masalah, dia menganggap setiap individu perlu bersikap rasional dan berlapang dada.
Akui tidak layak bercakap bagi pihak Search, anak kelahiran Mersing, Johor ini berkata dia hanya boleh berkongsi informasi untuk rujukan peminat supaya mereka faham dengan situasi yang melanda.
“Saya tidak nampak relevannya jika ada yang kata Search ini mereka punya. Kalau mereka yang tubuhkan mungkin ada logiknya. Tak kena rasanya bila masuk kemudian lepas tu buat tuntutan dan claim kata dia punya. Saya pun tak faham kenapa mereka boleh claim begitu.
“Saya tak kisah kerana itu hak mereka untuk berkata. Tetapi bahasa mudahnya, tak malu ke? Saya, Amy dan Hillary masih ada lagi, dan ‘mereka’ ini adalah anggota yang masuk kemudian,” tegas Nasir.
Karya ‘diliwat’ tanpa pembelaan
PERJUANGAN anggota Search ini tidak sekadar terhenti di sini, malah dia bersama rakan penggiat seni lain membawa obor perjuangan bagi membantu arah tuju dan masa depan golongan artis. Pada mesyuarat Kabinet, 19 Julai lalu kerajaan bersetuju menubuhkan Perbadanan Industri Muzik Malaysia (PIMM) bagi memperkasa
penggiat seni hiburan.
“Kita mulakan langkah membentuk PIMM ini sama seperti FINAS yang membela nasib penggiat fifilem. Badan ini bertujuan menjaga kepentingan industri muzik. Bila kerajaan tidak campur tangan maka akan dikawal oleh kartel-kartel yang tidak
sepatutnya.
“Saya dan rakan-rakan ambil berat kerana ini keringat dan titik peluh anak melayu tempatan. Selama ini banyak berlaku ketirisan sehinggakan puluhan tahun karya-karya kita ‘diliwat’ tanpa pembelaan. Kita perlu ada satu badan dari kerajaan yang memantau, khususnya untuk memberi khidmat nasihat, melindung hak dan kebajikan artis,”katanya.
Katanya, Kabinet sebelum ini bersetuju meluluskan penubuhan Perbadanan Industri Muzik Malaysia (PIMM), sebagai badan khusus yang merangka dan memastikan pembangunan industri muzik tanah air dapat diselaraskan secara holistik dan dilaksanakan dengan sinergi oleh pelbagai pihak.
“Sebagai artis kiita perlu ada ekosistem teratur agar rekod pencapaian pemain industri itu boleh dilipat gandakan lagi. Badan ini bukan sahaja berperanan merangka hala tuju tiga ekosistem muzik negara seperti penghasilan produk, persembahan pengkarya dan proses pendidikan seni, malah lebih kepada tempat artis berpayung.
“Memang selama ini ada persatuan yang prihatin, tetapi itu lebih bersifat kebajikan dan bukannya keseluruhan terutamanya hak cipta. Hari ini ada artis kita dah bergelar asnaf, dan jangan terkejut akan datang lebih ramai lagi menjadi asnaf kerana kealpaan kita sendiri,” katanya mengakhiri perbualan.










