Pertandingan cipta tanglung meriah, dapat sambutan - Utusan Malaysia

Pertandingan cipta tanglung meriah, dapat sambutan

TIGA tanglung ciptaan Fadlin Fasehah Johari diumumkan sebagai pemenang pertama pertandingan cipta tanglung di UiTM, Kedah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERTANDINGAN kreativiti mencipta tanglung dengan menggunakan 80 peratus bahan-bahan di rumah sendiri secara Google Meet anjuran Kelab Mandarin Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kedah, Sungai Petani, baru-baru ini berlangsung dengan meriah.

Program pertandingan Div Creative Lantern Making National Level Competition 2021 itu mendapat kerjasama Pertubuhan Kebudayaan Cina Malaysia (Kedah).

Pengarah program, Nur Syaffiya Azni berkata, seramai 40 peserta melibatkan pelajar 13 universiti dari lapan negeri mengambil bahagian.

Tujuan program itu adalah memperkenalkan tradisi perayaan kaum Cina bersempena dengan Pesta Tanglung pada 21 September 2021 lalu.

Para pelajar Melayu yang mengambil bahagian adalah dari UiTM Kampus Kedah, Perlis, Kelantan, Puncak Alam, Terengganu dan Melaka.

Katanya, pelajar luar pula mewakili Universiti Utara Malaysia (UUM), Management and Science University (MSU), Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP), IPGK Kampus Darul Aman, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Malaysia Pahang (UMP).

“Tahniah kepada semua peserta kerana berjaya menunjuk bakat dengan kerja bersemangat mencipta pelbagai bentuk tanglung dalam program itu yang disusun sejak 17 September hingga ke malam 21 September lalu,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Nur Syaffiya berkata, juri pertandingan terdiri daripada pesara guru, Loo Siew Chin, pensyarah Bahasa Mandarin UiTM, Nur Syifaa binti Md Tahir dan Guru Sekolah Rendah Kuala Ketil, Gan Chin Choo.

Dalam pertandingan itu, Fadlin Fasehah Johari, 20, dari Universiti Utara Malaysia (UUM) Sintok, Kedah muncul sebagai johan, kedua, Azreen Delaila Ahmad, 22, dari Universiti Teknologi Mara (UITM), Kampus Kedah (kedua) dan ketiga, Farah Nasir, 20, juga dari UiTM, Kampus Kedah (ketiga).

Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar UiTM Kampus Kedah, Dr. Wan Irham Ishak ketika merasmikan pertandingan itu berkata, sambutan peserta pelajar Melayu amat menggalakkan untuk mencipta pelbagai tanglung.

“Terima kasih kepada Persatuan Kebudayaan Cina Malaysia Kedah kerana sentiasa memberi kerjasama dan sokongan kepada penganjuran aktiviti di bawah Kelab Mandarin UiTM Kedah.

“Apabila kita mengadakan program begini, kita dapat lihat banyak penyertaan dalam kalangan para pelajar Melayu dalam memahami kebudayaan kaum lain,” katanya.

Turut hadir, Ketua Pengajian Akademi Pengajian Bahasa UiTM Kedah, Azlan Abdul Rahman, Naib Pengerusi Persatuan Kebudayaan Cina Malaysia Kedah, Neoh Eng Rock, dan Penasihat Kelab Mandarin UiTM Kedah, Dr. Nor Azrina Mohd Yusof @ Ghani dan Lee Chai Chuen.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya