Fibroid rahim dan adenomiosis adalah dua ketumbuhan ginekologi jinak yang biasa tetapi boleh memudaratkan kualiti hidup wanita dalam tempoh kesuburan.
Pakar Obstetrik & Ginekologi dan Perubatan Reproduktif, Pusat Perubatan Mahkota, Melaka, (MMC), Dr. S. Selva berkata, walaupun kedua-dua ketumbuhan ini terjadi dalam rahim, ia membabitkan masalah ginekologi berbeza.

“Fibroid adalah ketumbuhan benign yang tumbuh pada dinding rahim, manakala adenomiosis ialah keadaan di mana lapisan dalam rahim (endometrium) dijumpai di dinding otot rahim (miometrium).
“Bagaimanapun kedua-dua itu boleh menimbulkan gejala sama antaranya pendarahan haid yang banyak dan kekejangan menyakitkan ketika haid, ketidakselesaan pada bahagian perut bawah, sakit belakang, sakit di bahagian pelvis, perut kembung serta sakit ketika melakukan hubungan kelamin,” katanya dalam majlis pelancaran teknologi Ultrabunyi Berkeamatan Tinggi (HIFU) di MMC secara maya baru-baru ini.
Rawatan biasa untuk fibroid dan adenomiosis adalah histerektomi dan penyingkiran adenomiosis namun ramai wanita enggan menjalaninya berikutan ia boleh mempengaruhi kesuburan.
HIFU
Sementara itu, Dr. S. Selva berkata, HIFU adalah pengubah keadaan di mana ia mengurangkan ketakutan dan kesan kesuburan yang mungkin dihadapi pesakit dalam penyingkiran fibroid dan adenomiosis.
“Rawatan berdasarkan ultrabunyi adalah antara satu hingga empat jam. Dalam kebanyakan kes, rawatan dapat dilakukan dalam satu sesi sahaja. Hanya pesakit dengan fibroid yang besar atau dalam bilangan yang banyak, memerlukan beberapa sesi,” katanya.
HIFU berlangsung dengan bimbingan Magnetic Resonance Imaging (MRgFUS) sebagai modaliti pengimejan atau Ultrabunyi (USgHIFU).
Imbasan ultrabunyi adalah sebagai modaliti pengimejan untuk menumpukan rawatan ke kawasan tersasar dalam tisu sambil mengelakkan kerosakan pada tisu yang lain. MMC adalah hospital pertama di negara ini memperkenalkan rawatan berkenaan.
Teknologi canggih yang tidak invasif itu tidak memerlukan pesakit mendapatkan ubat bius semasa prosedur dan bebas luka.

Justeru tempoh pemulihan lebih pantas malah pesakit tidak mengalami pendarahan semasa prosedur berlangsung, sekali gus pemindahan darah adalah tidak diperlukan.
Rawatan itu turut mengurangkan risiko komplikasi yang mungkin timbul akibat pembedahan penyingkiran adenomioma atau fibroid rahim.
Paling penting, bagi pesakit yang ingin hamil mereka tidak perlu menunggu rahim sembuh sepenuhnya.
“Hubungan seksual boleh dijalankan setelah kitaran haid selepas prosedur. Kajian turut menunjukkan pesakit dengan fibroid, boleh hamil beberapa bulan selepas rawatan dilakukan. Sama ada kehamilan semula jadi atau rawatan reproduktif,” katanya.
FIBROID & ADENOMIOSIS
» Fibroid adalah ketumbuhan otot jinak yang tumbuh pada dinding rahim.
» Adenomiosis adalah keadaan di mana lapisan dalam rahim (endometrium) dijumpai di dinding otot rahim (miometrium).
» Bagaimanapun kedua-dua jenis ketumbuhan itu boleh mengakibatkan gejala seperti pendarahan haid yang banyak dan menyakitkan, tidak selesa pada bahagian perut bawah, sakit belakang, sensasi kenyang atau tekanan di kawasan pelvis, kembung dan sakit semasa melakukan hubungan kelamin.










