Sabun mandian ‘bom’ menceriakan kanak-kanak - Utusan Malaysia

Sabun mandian ‘bom’ menceriakan kanak-kanak

Aksesori 'bathbomb' menggembirakan waktu mandi kanak-kanak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sabun mandian bom atau bathbomb, bukan sabun biasa-biasa. Bila dimasukkan ke dalam tab mandi, ia berpusing-pusing mengeluarkan asap, saling tidak tumpah bagai ais kering yang bertindak balas dengan air. Mana-mana kanak-kanak yang liat mandi, sudah pasti ralit bila mandi dengan mandian ini.

Idea mengkomersialkan penghasilan kreatif ini datang daripada, Sabatini Mohd. Dzuehairullah Duno, 29.

Katanya, invasi sabun ditampilkan itu bertujuan memberi pengalaman mandi yang menyeronokkan.

“Mandi bagi orang dewasa bagaikan terapi minda menghilangkan stres. Mandi pada kanak-kanak pula adalah waktu bermain yang meriangkan. Lagi banyak buih, lagi seronok,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui berbicara mengenai produk bathbomb jenama Qowiy keluarannya baru-baru ini.

Sabun berbentuk bulat itu, terhasil daripada campuran beberapa bahan. Tindak balasnya dengan air menyebabkannya berbuih dan larut dalam tempoh tertentu. Malah boleh bertukar warna serta menghasilkan aroma menyenangkan.

“Ia dikategorikan sebagai aksesori mandian. Mula berada di pasaran sejak pertengahan Ogos tahun lepas. Hingga kini lebih 10,000 terjual. Selain Malaysia, ia turut menerjah pasaran Brunei, Singapura dan Indonesia,” katanya.

Idea daripada melancong

Pengarah Qowiy Bathbomb ini berkata, idea menghasilkan sabun itu tercetus selepas kembaranya ke San Francisco, California di Amerika Syarikat (AS).

“Bagi orang yang biasa mandi dengan berendam dalam tab mandi, sabun ini bukanlah asing. Saya pernah membeli sabun ini dan mahu bawa pulang ke Malaysia namun ia tidak memberikan prestasi baik di negara kita sebab faktor suhu dan musim berbeza,” katanya.

Contoh set hadiah bathbomb Qowiy.

Bertitik tolak daripada itulah Sabatini mengambil keputusan menghasilkan sendiri bathbomb yang tahan dengan cuaca tempatan iaitu tidak mudah rosak dek cuaca.

Memang benar, jauh berjalan luas pandangan. Ibu kepada tiga cahaya mata ini membuktikan melancong bukan sahaja membuka minda sebaliknya membuka mata mencuba sesuatu yang baharu.

“Kita tidak harus ragu-ragu membawa idea dari luar ke dalam negara. Memang ia asing tetapi bukanlah mustahil untuk kita bangunkan di negara kita,” katanya.

Sabatini lantas menyuarakan hasrat hati memperkenalkan produk seumpama itu ke Malaysia. Tanpa banyak soal, suaminya, Azlan Shah Andi, memberikan lampu hijau.

Meskipun tahu bathbomb bukanlah kelaziman di Malaysia namun keberanian pasangan dari negeri Borneo ini membawakan sesuatu lain daripada biasa, bukan sahaja berjaya memancing selera penggemar sabun, tetapi peminat baharu yang ingin menikmati pengalaman bersama sabun comel itu.

Cabaran menghasilkan sesuatu berbeza

Jarang-jarang usahawan muda berani membawa idea produk luar ke dalam negara.

Kalau ada pun mungkin menjadi sebagai pengedar tunggal sesuatu jenama. Faktor budaya, geografi dan bekalan bahan mentah antara yang selalu menjadi halangan.

Sabatini mengakui pada mulanya rasa takut namun bila difikirkan semula ini adalah cabaran yang perlu dia lalui.

Justeru rasa takut itu berubah menjadi teruja untuk tampil bersama bersama sesuatu yang lain dari yang lain.

Dalam usaha mencari formula terbaik, katanya, lebih 50 biji dihasilkan tak menjadi.

“Selepas melakukan banyak kali kajian dan penyelidikan, saya gembira kerana akhirnya usaha itu membuahkan hasil,” kongsinya gembira kerana yakin produk itu diterima ramai.

Mengenai rangka promosi, katanya, dia menggunakan media sosial Instagram.

Setelah mendapat sambutan memberangsangkan barulah suaminya mula mempromosi di laman TikTok.

Bahagi masa bersama keluarga

Menjayakan perniagaan bersama suami, bunyinya menyeronokkan kerana pasangan ada depan mata.

Namun ia bukanlah semudah disangka kerana perlu profesional apabila melibatkan hal kerja.

“Kalau nak kerja dengan suami ni, jangan campur aduk dengan perkara di rumah. Kita kena profesional,” katanya yang bekerjasama membangunkan perniagaan sejak tahun lepas.

Pasangan borneo, Sabatini dari Sarawak dan suami, Azlan dari Sabah.

Mengulas mengenai pengalaman tidak dapat dilupakan bekerja dengan suami ialah apabila diberi cabaran untuk meneroka perniagaan di platform dalam talian.

“Azlan mencabar saya untuk mempromosi sendiri produk itu. Dia tidak masuk campur.

“Mula-mula saya teragak-agak namun lama kelamaan semakin mahir. Saya jadikan mempelajari benda baru, sebagai cabaran.

“Bila difikirkan semula, sebenarnya ia bukanlah cabaran, sebaliknya suami saya nampak kebolehan yang ada pada diri saya, sebab itulah dia meminta saya buat sendiri,” katanya.

Setelah beberapa hari mempelajari selok-belok berniaga di platform Shoppe itu, dia kian mampu mengendalikannya dengan baik.

Menurut Sabatini, ada ketika mereka juga berselisih pendapat, namun atas dasar toleransi dan kerjasama, masalah itu dapat ditangani dengan baik.

“Bukan mudah kerja dengan pasangan namun disebabkan kami mempunyai tanggungjawab dalam perniagaan, masing-masing faham kerja sendiri ” katanya mengakhiri bicara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×