WoShiJay... mahu jadi sumber inspirasi, putuskan sempadan bahasa - Utusan Malaysia

WoShiJay… mahu jadi sumber inspirasi, putuskan sempadan bahasa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sememangnya, populariti mempunyai kelebihan yang tersendiri, namun Ponmugilan Sekaran atau lebih dikenali sebagai WoShiJay hanya ingin menjadi sumber inspirasi kepada orang ramai.

Seperti namanya WoShiJay, yang bermaksud saya seorang pemenang, dia percaya, dengan usaha tanpa henti pasti mampu mencapai segalanya.

Selain itu, kelebihannya menyanyikan lagu rap dalam bahasa Tamil dan Mandarin mampu menempatkan dirinya dalam industri seni tanah air.

“Sejak tadika sehingga berumur 15 tahun saya belajar di sekolah Cina, jadi saya memang fasih dalam bahasa tersebut.

“Saya mula minat menyanyi sejak umur 15 tahun kerana ayah juga seorang penyanyi yang membuat persembahan klasik Tamil,” katanya yang berusia 32 tahun itu.

Berkongsi tentang pengalamannya sebelum menapak dalam bidang ini, WoShiJay memberitahu, sewaktu cikgu di sekolah memberi tugasan untuk membaca sajak, dia menggunakan kreativitinya untuk menyanyi rap dan berjaya meraih markah penuh untuk tugasannya itu. Sejak itu, dia sedar akan potensi diri untuk menjadi seseorang dalam industri hip hop negara.

Perjalanan anak kelahiran Selangor itu dalam industri bermula pada 2009, yang mana dia menubuhkan kumpulan Aathitiyanz bersama abang dan sepupunya.

“Kerana kefasihan saya dalam bahasa Mandarin, saya telah berkolaborasi dengan pelbagai pemuzik tempatan lain.

“Antara projek yang saya terlibat adalah Negaraku, I Love You, Ritma Merdeka, The Cypher Anthem, dan Prepaid Kadhali, ” jelas anak kedua daripada tiga beradik itu.

Bercerita mengenai pengalaman manisnya, WoShiJay berkata, momen yang tidak dapat dilupakan adalah semasa dia membuat persembahan menyanyi dalam bahasa Tamil di hadapan penonton Melayu dan mereka turut menyanyi bersama.

Muzik yang berkualiti, katanya boleh didengar dan diterima oleh semua orang tanpa mengira bahasa dan warna kulit. Jadi, jelasnya, kewujudannya adalah untuk menjadi penyanyi rap yang unik dengan memutuskan sempadan bahasa.

WoShiJay dan Aathitiyanz kini berada di bawah label rakaman Madrush Recordsand serta bakal mengeluarkan album solo dan kolaboratifnya.

Pada tahun depan, WoShiJay merancang untuk membuat rancangan rap di laman YouTubenya sendiri.

Dia turut menekankan, orang ramai agar menyokong artis Malaysia terutamanya semasa dunia sedang dilanda pandemik Covid-19.

“Keadaan sudah berubah, persembahan kini hanya boleh dilakukan secara dalam talian. Jadi, pastikan anda semua tonton dan menyokong kami di laman YouTube Madrush Records,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya