KUALA TERENGGANU: Kemenangan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu adalah petanda jelas anak muda, wanita, orang Melayu dan bukan Melayu kini bersama Kerajaan Perpaduan dan sekaligus menolak Gelombang Hijau pembangkang.
Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Nasional, Hasbie Muda berkata, PRK ini membuktikan Kerajaan Perpaduan bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya mengembalikan kepercayaan penjawat awam.
Menurutnya, kemenangan itu juga menjadi indikasi kerajaan hari ini berada di landasan yang tepat, di mana pertumbuhan ekonomi menjadi fokus utama dan agenda rasisme serta manipulasi agama ditolak sekeras-kerasnya.
“Di kesempatan ini, Pemuda Amanah ingin mengucapkan tahniah kepada calon Kerajaan Perpaduan, Pang Sock Tao.
“Jutaan terima kasih juga diucapkan kepada ‘wira’ yakni seluruh anggota dan petugas PRK N.06 Kuala Kubu Bharu yang memastikan urusan perjalanan pilihan raya kali ini berjalan lancar,” katanya dalam kenyataan akhbar dikeluarkan sebentar tadi.
Hasbie menambah, seluruh rakyat Malaysia telah membuktikan pada dunia bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang madani yang mempu mengekalkan keharmonian dan kestabilan politiknya demi tanpa sebarang ugutan yang akan merencatkan usaha negara.
Dalam PRK itu, calon PH daripada DAP, Sock Tao, menang dengan majoriti 3,869 undi.
Sock Tao meraih 14,000 undi menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) daripada
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Khairul Azhari Saut yang memperoleh 10,131 undi.
Sementara itu, Hafizah Zainudin daripada Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan calon Bebas, Nyau Ke Xin kehilangan wang deposit selepas masing-masing hanya memperoleh 152 dan 188 undi. – UTUSA









