TEMERLOH: Hasrat Sri Pahang untuk memulakan saingan Liga Super musim ini dengan kemenangan tercapai apabila menewaskan Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) 1-0 di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) malam ini.
Gol tunggal Sri Pahang dijaringkan oleh pemain import, Manuel Hidalgo, minit ke-63.
Bermula separuh masa pertama, skuad Tok Gajah terus melakukan asakan bertali arus ke kubu lawan sehingga memperoleh lima sepakan sudut namun tiada jaringan berjaya dicipta pemain serangan Sri Pahang.
Percubaan terbaik menerusi Stefano Brundo pada minit-minit akhir separuh masa pertama tetapi pemain pertahanan KDN FC berada di posisi tepat untuk menafikan usaha pemain import terbabit.
Pada separuh masa kedua, anak buah Fandi mengekalkan momentum menguasai perlawanan dan akhirnya berjaya memperoleh jaringan pertama menerusi Hidalgo pada minit ke-63.
Gol berpunca apabila pengadil menghadiahkan sepakan percuma kepada Sri Pahang selepas Kpah Sherman dijatuhkan dan Hidalgo tidak mensia-siakan peluang keemasan tersebut.
KDN FC tidak patah semangat dengan gol bekas pemain Kedah Darul Aman itu apabila berjaya memperolehi sepakan sudut pertama mereka dan beberapa percubaan ke arah gol tetapi tidak mengancam kubu Sri Pahang.
Pertahanan Sri Pahang, Fadli Shas terpaksa berkerja keras dibenteng akhir yang menyaksikan lima sepakan penjuru di miliki KDN FC dalam usaha menyamakan jaringan.
Empat minit masa tambahan tetapi keputusan tidak berubah untuk Sri Pahang meraikan kemenangan pertama di hadapan kira-kira 6,000 penyokong. – UTUSAN










