TFC bermandi peluh sebelum tundukkan Perak - Utusan Malaysia

TFC bermandi peluh sebelum tundukkan Perak

Kapten TFC, Safawi Rasid (tengah) dikawal ketat pemain Perak FC dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus, malam ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Terengganu FC (TFC) dipaksa bekerja keras sebelum menang 3-1 ke atas Perak untuk memulakan kempen Liga Super dengan langkah kanan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus, sebentar tadi.

Kemenangan itu dibantu jaringan berkelas dunia oleh Nurillo Tukhtasinov seawal minit keenam yang melepaskan rembatan kencang dari luar kotak penalti hasil umpanan Faris Rifqi Abdul Rashid.

Gol awal itu gagal dimanfaatkan TFC yang membenarkan pelawat kembali dalam permainan mujur tandukan Luiz Henrique berpunca hantaran Luciano Guaycochea menggegar palang minit ke-38.

Seminit kemudian Perak memiliki satu lagi peluang keemasan setelah hantaran Aiman Khairul Yusni berjaya disambar Kanybekov Adilet namun percubaannya tersasar ke sebelah tepi.

Ketika permainan masuk masa tambahan babak pertama, TFC hampir menggandakan kedudukan malangnya bola tolakan Manuel Ott yang menerima umpanan Marin Pilj terkena tiang.

Bersambung babak kedua TFC bagai hilang punca apabila pemain Perak, Lee Tae Min merampas bola dari kawalan Manuel Ott sebelum dia dijatuhkan dalam kotak penalti minit ke-61.

Kesempatan itu dimanfaatkan Luciano yang mudah menyamakan kedudukan dari jarak 12 ela sekaligus menceriakan penyokong The Bos Gaurus.

Lima minit kemudian TFC menarik nafas lega setelah bola hantaran pemain gantian, Nik Sharif Haseey Mohd. Lazim dari sebelah kanan tertolak masuk ke gawang sendiri oleh Shivan Pillay untuk mendahului 2-1.

Skuad The Bos Gaurus ditimpa nasib malang apabila terpaksa bermain dengan 10 pemain gara-gara layangan kad kuning ke atas Henrique pada minit ke-76.

Pemain gantian, Chukwu Chijioke, yang dinaikkan ‘pangkat’ dari TFC II melengkapkan kemenangan 3-1 tuan rumah selepas bijak menyudahkan hantaran Engku Nur Shakir Engku Yacob pada minit ke-81. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN