Sambut ulang tahun ke tiga, semangat juang Ainul Mardiah jadi inspirasi bapa - Utusan Malaysia

Sambut ulang tahun ke tiga, semangat juang Ainul Mardiah jadi inspirasi bapa

Ahmad Safiuddin mendukung Ainul Mardhiah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kuasa Allah tidak ada siapa dapat menidaknya. Hari ini Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin mampu hidup ceria dan melalui hari dengan bahagia bersama rakan sebaya dan adiknya, Umar Abdurrahman.

Bapanya Ainul Mardiah, Ahmad Safiuddin, berkata memperlihatkan kegembiraan Ainul Mardiah meninggalkan rasa bahagia dalam hatinya yang sukar diluahkan dalam bentuk kata-kata.

Pengalaman melalui peristiwa pembedahan tiga tahun lalu, adalah perjalanan dan pengalaman yang mematangkan dirinya dan isteri, Nurul Erwani Zaidi kerana dirinya pernah rasa berputus asa dalam mengharungi ujian itu.

“Tarikh 13 Ogos telah mengubah banyak perkara dalam hidup saya dan isteri. Maaf Ainul jika dahulu Walid pernah berputus asa. Walid terlalu memandang rendah terhadap Ainul yang sangat kecil ketika itu. Walid rasa ainul terlalu kecil dan lemah untuk harungi ujian tersebut. Rupanya bukan Ainul yang Allah nak uji. Tetapi Allah nak uji walid dan mama.

“Sebenarnya yang paling lemah ketika itu adalah walid. Ainul sangat kuat. Walid yakin, walaupun Ainul sakit ketika itu, Allah swt dah angkat rasa sakit tu sejak Ainul keluar lihat dunia. Cuma Allah swt tinggalkan kebesarannya untuk walid melihat keadaan anak walid ni untuk meminta pertolonganNya. Alhamdulillah. Saya lebih bersyukur pada hari ini,” katanya dalam Facebook sempena ulang tahun kelahiran Ainul.

Ainul Mardhiah menghidap Germ Cell Tumour berjaya menjalani pembedahan membuang ketumbuhan di mulutnya dalam pembedahan berlangsung selama lima jam di di Hospital Great Ormond Street, London.

Pembedahan itu dilakukan oleh sekumpulan doktor pakar pelbagai bidang bersama pelatih pakar bedah Malaysia, Dr Nur Amalina Che Bakri, yang bertanggungjawab membawa bayi itu serta ibu bapanya ke London bagi mendapatkan rawatan.

Kisah penderitaan Ainul Mardhiah mendapat perhatian umum apabila rakaman video bayi terbabit yang mengalami ketumbuhan pada bahagian mulut, tular dalam laman sosial.

Dalam dedikasi sempena ulangtahun kelahiran Ainul Mardhiah, itu Ahmad Safiuddin turut mengimbau memori bahawa ketangkasan para doktor di Hospital Besar Melaka, memberi peluang Ainul Mardhiah bernafas dengan menebuk lehernya (Trachea).

“Sepanjang tiga bulan kami hanya mampu tengok daripada luar inkubator saja. Tiga bulan Ainul Mardhiah dalam NICU. Tiub-tiub sangat banyak waktu itu. Hampir keseluruhan tubuh badannya dipenuhi tiub dan wayar,” katanya.

Tambah Ahmad, Ainul Mardhiah kini bukan saja aktif dan semakin sihat tetapi sudah banyak belajar semua perkara. Walaupun perkembangan anak sulung daripada dua beradik ini tak sama seperti kanak-kanak seusianya, tapi perubahan yang ditunjukkan benar-benar membuatkan Ahmad dan isteri bersyukur.

“Daripada seorang anak yang terlantar dengan ketumbuhan yang besar dalam mulut, berkat doa orang ramai, Ainul Mardhiah selamat menjalani pembedahan di London dan kini dia begitu lincah sekali. Cukup cerita sampai sini sahaja. Banyak lagi “peperangan” lain yang Ainul Mardhiah lalui selepas itu,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×