PETALING JAYA: Penyanyi bersuara emas, Syamel meluahkan rasa rindu buat arwah ibu tercintanya, Allahyarhamah Wan Faaizah Karim yang telah kembali ke Rahmatullah baru-baru ini.
Menurut penyanyi lagu Lebih Sempurna itu, Allahyarham ibunya gemar memberi nasihat serta mengambil berat terhadap anak-anaknya ketika masih dalam keadaan sihat.
Tambahnya, walaupun dipinjamkan ibunya begitu singkat untuk melayari kehidupan bersama, namun dia terpaksa reda dengan ketentuan Ilahi.
“Saya berharap anda semua yang pernah berjumpa dan kenal umi, pasti akan menyayanginya. Sangat berkarisma dan setiap tutur kata penuh dengan perasaan serta peringatan.
“Kadang kala membuat panggilan tidak kira masa jika teringat sesuatu nak pesan, masa itu kita terfikir kenapa tidak tunggu sampai rumah. Boleh berborak panjang, rupanya terlalu singkat masa yang kita ada untuk menunggu,” katanya.
Mengulas lanjut, dia sempat memberi nasihat buat orang di luar sana agar menghargai orang tua sementara mereka masih ada serta sentiasa merakam detik-detik bersamanya sebagai kenanga di kemudian hari.
“Buat yang masih ada ibu bapa, curahkanlah kasih sayang, berikan perhatian serta merayu doa daripada mereka. Mungkin doa dari seorang ibu buat Bangmel sudah terputus di dunia ini.
“Namun, segala perasan dan ilmu yang diberikan akan diamalkan serta diingati sampai akhir usia. Rakamlah detik-detik manis bersama sebanyak mungkin.
“Walaupun tak mungkin dapat lepaskan rindu tetapi percayalah, mencukupi untuk menemani kita di saat angin rindu datang singgah,” kongsinya di Instagram
Menerusi entri Instagram, Syamel memuat naik satu hantaran video yang memaparkan rakaman suara sewaktu ibunya memberi nasihat.