KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengacara, Nabila Huda meluahkan rasa pedih di hati apabila kehilangan sahabat baiknya, Siti Sarah Raissuddin, awal pagi tadi.
Menurut Nabila yang mesra di sapa Abil, berkata, dia mengambil masa untuk berkongsi kenangan bersama Allahyarham kerana terlalu sebak dan hilang kata-kata untuk menulis.
“Kehilangan memang menyakitkan. Nak dijadikan cerita, sudah bertahun kenal, membesar bersama dalam industri ini. Baru tahun ini kita selalu berkomunikasi.
“Kita dapat buka puasa bersama, Abil masak untuk lewat makan malam, makan sama-sama. Selepas itu kita kongsi pelbagai cerita dan rancang masa depan bisnes bersama. Mu bagitahu apa yang mu bayangkan nak buat,” luah Abil.
Tambah Abil, lebih ralat apabila dia tidak tahu satu keluarga penyanyi itu positif Covid-19. Katanya, dia hanya memerhati begitu saja kerana tidak sanggup melihat anak-anak semua menjalani ujian calitan.
“Selepas itu Abil tengok video kucup anak-anak atas kerusi roda. Terus mesej abang Shuib (suami arwah), dia maklumkan apa yang terjadi.
“Hanya Tuhan saja tahu macam mana risaunya Abil selepas tahu berita itu. Sebab kita pernah bincang fasal betapa takutnya dengan keadaan Covid ini.
“Hari ini kita semua kehilangan sahabat, seorang mak dan isteri yang sangat penyayang. Seorang bintang yang paling besar. Terima kasih sahabatku. Tenanglah kau di sana,” akhirinya memanjatkan doa.
Pada perkongsian sama, Abil turut memuat naik perbualan suara mereka sebelum ini mengenai perancangan untuk bertemu.










