Sulaman keringkam sentuhan lelaki - Utusan Malaysia

Sulaman keringkam sentuhan lelaki

Pemakaian selayah keringkam menaikkan pesona si pemakai pada hari istimewa.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Selayah dan selendang keringkam menjadi aksesori wajib digayakan wanita Melayu sewaktu menghadiri acara keramaian dan hari istimewa seperti majlis perkahwinan, pertunangan atau majlis tertentu di Sarawak.

Siapa sangka ada antara keindahan sulaman itu ada hasil penyulam lelaki, Amirul Shazlie Yusuf, 33.

Pemilik jenama Tampan Keringkam ini, berkata pada kebiasaannya, wanita mendominasi teknik membuat sulaman keringkam, namun itu tidak bermakna lelaki tidak boleh melakukannya.

“Di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Saya mula aktif menjadi penyulam keringkam sejak 2014,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Amirul berkata suatu waktu dahulu hanya digayakan oleh golongan bangsawan namun kini sesiapa sahaja boleh menggayakannya.

“Bukan setakat di Sarawak, hari ini ia mudah didapati di Semenanjung. Pereka, penggemar malah pengumpulnya juga sudah tersebar di setiap negeri di Malaysia,” katanya.

Pemuda asal Kuching, Sarawak ini memesrai keringkam kerana seni itu amat istimewa dan dekat di hatinya.

“Keluarga saya memiliki banyak selendang keringkam. Ada yang berusia hampir 100 tahun masih ada dalam simpanan keluarga saya di Sarawak,” katanya.

HASIL sulaman keringkam Amirul Shazlie mampu mencecah puluhan ribu sehelai.

Mahal tapi tahan lama
Amirul melakukan kerja sulaman secara sambilan kerana masih memiliki kerja tetap. Namun hasil kerjaya bukan calang-calang. Beliau antara penyulam keringkam terkenal di negara ini dek kualiti sulaman dihasilkannya.

“Saya tertarik dengan selayah keringkam sejak kecil lagi. Masa itu saya hairan kenapa harganya mahal sedangkan cara pemakaiannya senang. Bila dewasa, baru tahu betapa bernilainya sehelai selayah keringkam,” katanya.

Atas dasar minat, Amirul mengambil keputusan belajar membuat sulaman keringkam dengan penyulam veteran melalui bengkel anjuran Kraftangan Sarawak.

Proses pembelajarannya tidak terhenti di situ. Setiap kali ada masa dan ruang, Amirul akan cuba belajar teknik menyulam dengan lebih baik.

“Try and error. Itulah cara saya menguasai teknik. Hampir setahun juga, baharulah saya mampu menguasai kemahiran menyulam keringkam.

“Mulanya saya belajar menyulam sebab hendak simpan sendiri hasil sulaman keringkam itu. Tiada niat buat bisnes. Tetapi apabila orang tengok saya pandai buat, dan ada yang mula menempah, saya tidak lagi menoleh ke belakang,” katanya.

Pernah menerima tempahan sehelai selayah keringkam berharga puluhan ribu ringgit, kata Amirul, harga bergantung pada motif.

“Makin lebat dan meriah motif yang disulam semakin mahal harganya,” katanya.

PEMAKAIAN  selayah keringkam menaikkan pesona si pemakai pada hari istimewa

Teliti dan sabar
Kata Amirul beliau tidak melukis corak, sebaliknya sulaman dihasilkan menggunakan teknik sulaman tikam tembus dan mengira urat benang lalu disulam dengan keringkam emas atau perak.

Mengenai masa depan seni warisan bangsa itu, kata Amirul sulaman keringkam berpotensi pergi jauh lagi jika diusahakan sepenuh hati.

“Sekarang ini tidak mustahil untuk belajar sulaman keringkam. Soalnya, adakah individu itu hendak buat atau tidak sahaja. Saya ambil contoh diri saya. Dahulu saya menghadiri bengkel belajar sulaman keringkam. Majoriti mereka yang menghadiri bengkel tersebut adalah wanita. Tetapi setelah bengkel tamat, hanya saya yang aktif menjadi penyulam,” katanya Amirul.

Promosi di media sosial
Danny Mohamad Zulkifli, 41, menggunakan Instagram @dkeringkam bagi mempromosikan hasil sentuhan seninya terhadap aksesori wanita itu. Katanya cara itu antara kaedah paling berkesan menyemarakkan seni halus itu.

“Kebanyakan penyulam keringkam sudah berusia jadi agak sukar untuk mereka mempromosi sulam mereka di media sosial. Hasilnya saya terima banyak tempahan. Jika saya tidak mampu, saya akan berbahagi rezeki dengan penyulam lain,” katanya.

Perkongsian di media sosial turut mendapat perhatian Kerajaan Sarawak. Dengan perhatian ini kerajaan Sarawak banyak membantu mempromosi termasuk menganjurkan pameran. Malah kerajaan negeri turut mendirikan pusat kemahiran, mengajar seni sulam keringkam agar kelestariannya dapat diteruskan.

Danny membabitkan diri sebagai pembuat dan penyulam keringkam pada 2016.

“Itu pun secara tidak sengaja. Pada mulanya saya mahu menempah selendang keringkam dari Amirul. Tetapi Amirul meminta saya belajar menyulam sendiri.

“Dia letak bahan untuk menyulam depan saya. Tak sangka dalam masa dua jam saya boleh belajar teknik menyulam keringkam. Saya tidak jadi menempah sebaliknya buat sendiri selendang keringkam saya,” katanya mengimbau kenangan.

Danny yang berkhidmat sebagai guru memberitahu, ilmu menyulam amat berbaloi dikomersialkan kerana ia boleh dijadikan sebagai sumber pendapatan.

Hasil sulaman keringkam Danny banyak ditempah dan digayakan oleh orang kenamaan dan pengumpul di seluruh Malaysia. Selain selayah dan selendang, Danny turut menghasilkan inovasi baharu dengan menghasilkan sulaman keringkam sebagai hiasan tas tangan.

HARGA bergantung pada motif yang disulam. – UTUSAN/DANNY ZULKIFL

Seni bernilai tinggi
Menurut Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Fakulti Seni, Komputeran dan Industri Kreatif, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Perak, Dr. Norakmal Abdullah, kraf sulaman keringkam ini memiliki keistimewaannya tersendiri yang patut diketengahkan.

Mengibaratkan ia sebagai seni yang tidak lapuk dek hujan, tidak lekang dek panas, masa depan kraf sulaman keringkam tidak akan ditelan dek kemodenan sekiranya ia dikomersialkan secara serius.

Beliau yang juga Pensyarah Kanan Jabatan Seni dan Reka Bentuk berkata, dalam memartabatkan kraf sulaman keringkam, komuniti kraf perlu dibentuk agar rantaian ekosistem industri kraf negara sentiasa segar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.