Achey lancar single Sembuh - Utusan Malaysia

Achey lancar single Sembuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sebut saja nama Achey, siapa tidak kenal bukan? Meskipun karier seninya lebih menyerlah sebagai pelawak, namun siapa sangka Achey juga mempunyai bakat menyanyi.

Terdahulu, single Sakit yang dilancarkan tahun lalu mencatat 34 juta tontonan di laman YouTube Seventeen Eleven Music.

Malah, sebelumnya lagu itu berjaya meraih satu juta tontonan dalam masa sehari dan berlanjutan sepanjang seminggu selepas ia dilancarkan.

Kejayaan itu tidak terhenti setakat itu apabila Achey melancarkan lagu Sembuh iaitu yang kesinambungan lagu Sakit. Masih mengekalkan genre sama, Achey memberitahu Sembuh mempunyai sedikit kelainan dari segi bunyi dan penghayatan lagu itu.

“Komposer dan lirik lagu ini daripada saya sepenuhnya. Cuma gubahan muzik oleh Baby Majistret bersama pasukannya. Syarikat rakaman 17 Eleven menggalakkan saya cipta dan buat lirik.

“Dalam masa sama, saya sebenarnya suka pada sentuhan sendiri. Sebab kalau menjadi dan diterima baik, ia adalah hasil kerja saya Seperti satu rahmat. Kalau sebaliknya, ia tetap hasil kerja saya dan tidak membabitkan orang lain.

“Genre lagu ini balada, sama macam lagu Yang Terindah dan Sakit. Tapi, warna dalam lagu ini adalah kesinam­bungan daripada lagu Sakit. Penghayatan juga berbeza daripada lagu sebelum ini,” katanya.

Lagu Sembuh dilancarkan secara rasmi 5 Jun lalu di saluran YouTube Seventeen Eleven Music. Selepas lima hari dilancarkan, video muzik rasmi Sembuh mencecah hampir 400,000 tontonan dan kekal berada di kedudukan carta trending.

KESINAMBUNGAN

Mengenai lagu Sembuh, Achey berkata, ia menceritakan bagaimana kisah selepas lelaki itu meninggalkan wanita terbabit menerusi lagu Sakit. Lagu ini memaparkan yang mana dia sebenarnya masih terkesan.

“Dalam pada terluka, dia tidak sedar ada seseorang yang sanggup menerima dirinya seadanya dan sanggup berkorban dalam apa cara sekali pun. Luka yang masih ada itu memberi kesan kepada kerjaya dan orang sekeliling.

“Jadi, kehadiran wanita itu adalah untuk menyelamatkan diri lelaki terbabit dan orang sekeliling supaya tidak terus terjejas. Pendek kata, luka lama sembuh disebabkan wanita ini yang mana tanpa disedari pun,” katanya.

Sama seperti lagu lain, Achey meletakkan diri dalam Sembuh agar penghayatan dan jalan cerita lagu itu lebih dirasai.

“Lagu ini berkaitan kehidupan saya. Saya suka meletakkan diri dalam lagu. Macam lagu Sakit, saya dapat rasakan pengalaman orang lain yang diceritakan pada saya.

“Dari situ saya cuba selami perkara itu dan terhasillah lagu Sakit. Apabila ia berkaitan kisah diri sendiri, maka ada penjiwaan dan mudah diselami apabila menyanyikan lagu ini. Itu yang saya praktikkan dalam setiap lagu saya,” katanya.

PENTAS AJL

Dalam masa sama, Achey tetap menyimpan hasrat agar suatu hari nanti dapat beraksi di pentas pertandingan nyanyian seperti Anugerah Juara Lagu (AJL).

“Saya sebenarnya menyimpan hasrat dari lagu pertama lagi. Sudah masuk pencalonan Muzik-Muzik, tapi tak lepas. Saya beranggapan mungkin saya bukan penyanyi profesional. Tapi apabila diterima dalam media sosial dan YouTube ia sudah cukup baik.

“Tontonan sehari satu juta untuk setiap lagu sangat memberangsangkan. Syarikat rakaman pun agak terkejut sebab sambutan sangat bagus dan kekal selama seminggu.

“Harapan untuk lagu ini tak banyak, cuma lebih kepada ia mendapat sambutan baik dan tontonan yang tinggi. Malah, paling penting nak orang faham lagu ini adalah kesinambungan daripada Sakit. Sembuh adalah penutup cerita itu,” katanya.

KARIER

Mengenai kerjaya nyanyiannya, Achey berkata, gelaran pelawak membuka ruang baginya meneroka cabang seni lain.

“Saya pada mulanya nak hasilkan karya atau lagu ini sebagai satu lagi cabang lain dalam diri. Jadi, bidang nyanyian ini adalah sesuatu yang saya suka.

“Mungkin juga disebabkan kisah hidup saya dan keluarga atau suara saya ketika membuat komedi, saya diterima ramai. Alhamdulillah, bermula dengan lagu pertama sampai sekarang, masih diterima. Sangat positif perkembangan.

“Tapi saya rasa belum layak untuk menjadi penyanyi profesional. Sebab mungkin dari sudut pandangan orang, saya asal pelawak. Tapi kalau diterima, mungkin ia boleh. Macam Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, dia juga pelawak dalam setiap filem lakonannya dan juga penyanyi profesional.

“Jadi, tak salah jika saya mengambil inisiatif sama dan mengambil konsep itu. Walaupun saya pelawak, mungkin boleh menjadi penyanyi profesional,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN