Aidilfitri perayaan ditunggu-tunggu buat pasangan pengantin baharu kerana pertama kali beraya sebagai pasangan suami isteri.
Jika dahulu, setiap kali menjelang lebaran, pengantin baharu pasti mengalami situasi ‘perang balik raya’ untuk pulang beraya di kampung suami atau isteri terlebih dahulu.
Namun, raya tahun ini sangat berbeza. Jiwa berkobar-kobar ingin merasa pengalaman giliran pulang ke kampung menyambut raya bersama suami atau isteri tercinta terkubur begitu sahaja.
Ini kerana kerajaan umumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan tidak membenarkan aktiviti merentas negeri dan daerah susulan pandemik Covid-19 yang belum reda.
Hati bertambah sayu apabila mendengar lagu raya zaman dahulu yang berkumandang di radio boleh mengalir air mata terkenangkan kemeriahan beraya di kampung ketika zaman sebelum wujudnya Covid-19.
Itu yang dirasai oleh Nur Syazwani Mohd. Sufian, 32, yang baharu bergelar isteri kepada Shahrul Azroy Samsor Kamal, 30, yang selamat diijab kabul pada 27 Mac lalu.
Ujar Nur Syazwani, dia dan suami sudah merancang untuk beraya di Perak kerana kedua-dua mereka berasal dari sana.
“Kami sudah memilih tarikh cuti raya dan tidak sabar untuk pulang ke kampung memandangkan ini merupakan tahun pertama bergelar suami isteri. Kami merancangnya sejak awal April lalu untuk pulang ke Perak. Tapi, apakan daya, kami terpaksa akur dengan arahan kerajaan. Maka, kami akan menyambut raya berdua sahaja di Shah Alam,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
MASAK JUADAH RAYA

Nur Syazwani berkata, walaupun hanya beraya berdua tetapi mereka menyambutnya secara meriah dengan menyediakan beberapa juadah hari raya yang biasa disediakan di kampung.
“Saya masak beberapa juadah hari raya seperti ayam masak rendang, daging dendeng, kambing masak kuzi, nasi impit dan kuah kacang kerana ini adalah menu yang selalu emak akan sediakan di kampung.
“Saya masak hidangan yang sama untuk melepaskan rasa rindu di kampung manakala suami membeli lemang dan ketupat palas. Ada juga juadah saya kongsi dengan jiran tetangga yang senasib tidak dapat pulang beraya di kampung.
“Malah sejak sebelum raya lagi saya membuat beberapa jenis kuih raya yang mudah antaranya biskut Almond London, Chocolate Chip dan Cornflakes Madu untuk dimakan bersama nanti,” katanya.
KEKALKAN MOOD RAYA
Nur Syazwani yang bekerja sebagai setiausaha di sebuah syarikat swasta di Shah Alam, Selangor menambah, dia dan suami beraya secara bersederhana dan cuba mengekalkan mood raya dengan memenuhkan aktiviti bersama supaya kemeriahan hari raya tetap dirasai.
“Sedih tidak dapat pulang ke kampung. Kalau di kampung lebih meriah dapat masak bersama dan kalau di malam raya pula dapat bermain bunga api bersama sanak saudara. Tetapi bila berdua sahaja, agak sunyi. Bagaimanapun, saya tetap teruja kerana buat pertama kalinya dapat beraya dengan pasangan.
“Kami berdua juga membuat panggilan video di awal pagi raya dengan semua ahli keluarga bagi melepaskan rindu dan menyambutnya bersama-sama walaupun secara dalam talian,” katanya.
Pasangan ini cantik menggayakan sepasang baju raya bertema merah jambu.

TERKENANG KEMERIAHAN SAMBUTAN AIDILFITRI
Bagi Shahrul Azroy pula, beraya bersama isteri tercinta sudah pasti menggembirakan dan bersyukur diberi peluang itu berbanding mereka yang tidak berpeluang beraya bersama pasangan masing-masing.
“Tidak dapat dinafikan kesedihan yang kami rasai apabila tidak dapat menyambut Hari Raya Aidilfitri di kampung bersama keluarga dan sanak saudara.
“Bertambah sayu apabila mendengar lagu raya zaman dahulu yang berkumandang di radio boleh mengalir air mata terkenangkan kemeriahan beraya di kampung ketika zaman sebelum wujudnya Covid-19.
“Walaupun PKP dilanjutkan sehingga 9 Jun ini, kita tetap boleh menyambut dan meraikannya seperti biasa bersama jiran tetangga, rakan-rakan mahupun sanak saudara yang tinggal dalam satu daerah.
“Apa yang kita boleh lakukan adalah perlu bersabar dan patut pada arahan kerajaan supaya bersama-sama dapat memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 dalam tempoh terdekat ini,” katanya.










