Jepun kenakan bayaran operasi menyelamat di Gunung Fuji ketika luar musim

Jepun kenakan bayaran operasi menyelamat di Gunung Fuji ketika luar musim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TOKYO: Mulai tahun depan, individu yang cuba mendaki Gunung Fuji di luar musim pendakian dan kemudian memerlukan bantuan menyelamat menggunakan helikopter perlu membayar kos perkhidmatan itu, menurut pihak berkuasa yang mentadbir bahagian utara gunung berkenaan.

Bayaran itu adalah antara beberapa langkah yang diperkenalkan oleh wilayah Yamanashi bagi menghalang pendaki daripada melakukan pendakian secara berbahaya dan tanpa persediaan mencukupi.

Bayaran serupa sebanyak 8,000 yen (RM208.95) bagi setiap lima minit sudah dikenakan di wilayah Saitama berdekatan bagi kawasan pergunungan lain dan akan dijadikan rujukan.

Pihak berkuasa Yamanashi turut mewajibkan mereka yang ingin mendaki Gunung Fuji di luar musim, iaitu dari awal September hingga Julai tahun berikutnya, mengemukakan pelan pendakian terperinci.

“Kami meminta orang ramai supaya tidak mendaki di luar musim. Kami berharap langkah-langkah ini akan menyebabkan orang ramai berfikir semula mengenai keadaan sebenar mendaki Gunung Fuji pada musim sejuk,” kata Gabenor Yamanashi, Kotaro Nagasaki.

Pihak berkuasa Yamanashi dan wilayah jiran, Shizuoka yang mentadbir bahagian selatan Gunung Fuji, menyaksikan peningkatan dalam aktiviti pendakian di luar musim serta pendakian tanpa perancangan, dengan sebahagiannya menyebabkan pendaki terkandas.

Pihak berkuasa Shizuoka berkata, mereka akan mengenakan penalti terhadap individu yang gagal mendaftarkan aktiviti pendakian di luar musim dan memperketatkan usaha bagi menghalang pendaki daripada memasuki kawasan larangan.

Bagaimanapun, pihak berkuasa itu tidak mengumumkan bayaran bagi operasi menyelamat menggunakan helikopter. Musim pendakian rasmi Gunung Fuji berlangsung dari Julai hingga awal September, dengan kira-kira 200,000 pendaki cuba menawan puncak itu setiap tahun.

Pendakian di luar tempoh berkenaan amat tidak digalakkan walaupun masih dibenarkan sehingga stesen kelima daripada keseluruhan 10 stesen di gunung itu.

Bagaimanapun, kebanyakan pondok gunung dan kemudahan tandas ditutup di luar musim pendakian. Keadaan cuaca dan laluan pendakian juga lazimnya lebih mencabar.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×