JOHOR BAHRU: Ketua Jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz tetap mempertahankan persembahan anak buahnya meskipun berdepan kekecewaan gagal meraih tiga mata penuh dalam aksi pembukaan Zon Timur Liga Juara-juara Asia Elit (ACLE) yang berkesudahan 1-1 menentang Buriram United.
Munoz menegaskan, skuad Harimau Selatan menampilkan aksi bertenaga, menguasai perlawanan serta mencipta deretan peluang keemasan, namun ketajaman jentera serangan menjadi pemisah.
“Bagi kejohanan peringkat tertinggi seperti ini, anda perlu menyempurnakan setiap peluang yang ada. Dalam kejohanan berprestin ini, anda sukar dapat peluang kedua jika gagal menyempurnakannya,” katanya.
Dalam aksi tersebut, JDT berdepan nasib malang apabila satu gol dibatalkan, selain kegagalan menyempurnakan sepakan penalti oleh penyerang, Bergson da Silva serta beberapa percubaan yang sekadar menggegar tiang gol skuad Thunder Castle itu.
Dalam pada itu, Munoz turut meluahkan rasa kurang senangnya terhadap tindakan pasukan lawan yang didakwanya kerap melengahkan permainan dengan berpura-pura cedera sehingga menjejaskan tempo permainan.
“Taktik seperti ini tidak bagus untuk sukan bola sepak kerana penyokong membayar wang untuk hadir menyaksikan perlawanan. Masa permainan efektif amat penting untuk memberi tontonan berkualiti.
“Kadang kala kita ingat pemain itu ‘hampir mati’ kerana semua terkejut, tetapi selang seminit dua kemudian, dia sudah boleh berlari semula di dalam padang. Bagi saya, ini bukan satu persembahan yang baik untuk masa depan bola sepak,” katanya. – UTUSAN










