Nasi hujan panas adalah satu menu yang sememangnya digemari masyarakat Malaysia sejak dahulu. Ia sesuai dihidangkan pada bila-bila masa, bukan hanya ketika makan beradab, majlis keraian, sambutan Aidilfitri atau perayaan lain.
Malah, ia enak dimakan dengan apa juga lauk-pauk, antaranya ayam bakar dan daging dimasak kerutuk.
Sebenarnya hidangan ini sama seperti nasi minyak. Cuma bezanya, nasi hujan panas berwarna-warni, ada kuning, hijau dan merah yang membuatkan nasi ini nampak lebih menarik.
Mewarisi ilmu memasak daripada ibunya, guru Sekolah Kebangsaan Seri Pristana, Saujana Utama, Sungai Buloh, Khairizan Sabtu, 55, berkata, nasi hujan panas sebenarnya mudah dimasak kerana ia hanya disediakan dengan menggunakan minyak sapi dan susu cair.
Katanya, hidangan ini lazimnya digandingkan dengan gulai/kari ayam atau kurma daging dan kurma ayam.
Jom bersama Cikgu Khairizan yang sedia berkongsi satu lagi resipi yang memikat selera iaitu nasi hujan panas kerutuk udang, untuk juadah di Aidilfitri.
NASI HUJAN PANAS
Bahan-bahan
1 kg beras beriani
6 ulas bawang putih (ditumbuk)
5 cm halia (ditumbuk)
300 gram bawang besar (dihiris)
200 gram minyak sapi
1 tin kecil susu cair
4 kuntum bunga cengkih
3 biji buah pelaga
1 keping kulit kayu manis
4 helai daun pandan
Pewarna masakan kuning, hijau dan merah
Cara penyediaan:
1. Panaskan minyak sapi, tumis bunga cengkih, buah pelaga, kulit kayu manis dan bawang hiris.
2. Apabila wangi, masukkan bahan yang ditumbuk dan biarkan sebentar.
3. Masukkan air (sama banyak dengan beras) dan biarkan mendidih.
4. Masukkan susu, garam dan beras.
5. Apabila hampir kering, masukkan pewarna makanan ke dalam nasi.
Nota:
Masa penyediaan: 20 minit
Masa memasak: 30 minit
Hidangan: 10/12 orang
KERUTUK UDANG
Bahan-bahan
1.5 kg udang bersaiz besar
100 gm rempah kerutuk
8 ulas bawang, 2 ulas bawang putih dan 1 inci halia dikisar.
2 senduk kecil lada kering yang dikisar
2 batang serai diketuk
3 sekawan (bunga lawang, buah pelaga, kayu manis)
200 ml santan
3 sudu besar kerisik
1 sudu kecil garam
1 sudu kecil gula (mengikut kesesuaian)
Gula melaka
1 keping asam keping

Cara penyediaan:
1. Cuci bersih udang dan toskan.
2. Panaskan minyak. Masukkan 3 sekawan.
3. Tumis bahan-bahan yang dikisar dan serai yang diketuk sehingga naik bau wangi.
4. Masukkan rempah kerutuk sehingga naik minyak dengan api perlahan.
5. Masukkan udang dan kacau rata,
6. Masukkan santan dan biarkan mendidih dengan api perlahan.
7. Masukkan garam, gula, gula melaka dan asam keping.
8. Tunggu sehingga masak.
9. Siap untuk dihidang bersama nasi hujan panas.










