Tadarus al-Quran: Dalam talian atau luar talian? - Utusan Malaysia

Tadarus al-Quran: Dalam talian atau luar talian?

UMAT Islam boleh memiliih tadarus secara dalam talian atau luar talian bagi menyemarakkan Ramadan dengan bacaan al-Quran.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Ramadan tiba lagi. Kemeriahan bulan Ramadan pastinya akan berbeza pada setiap tahun berdasarkan suasana dan keadaan semasa. Ramadan dirasai kemeriahannya di setiap negara termasuklah negara kita Malaysia.

Cuma pada tahun lepas suasana sangat berbeza dengan penularan virus Covid-19 di seluruh dunia. Tahun lepas kita menjalani ibadah puasa Ramadan dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula di seluruh negara pada 18 Mac 2020.

Pada tahun ini suasana yang hampir sama juga berlaku, namun dengan sedikit kelonggaran. Beberapa negeri masih dalam status Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Bermakna, beberapa peraturan sebagaimana pada tahun lepas akan tetap dilaksanakan pada Ramadan kali ini seperti kawalan perkumpulan dalam skala yang tertentu serta penjarakan sosial dan prosedur operasi standard (SOP) lain yang mesti dipatuhi.

Selain menjalani ibadah puasa yang diwajibkan pada siang hari Ramadan, amalan tadarus al-Quran juga menjadi amalan penting bagi umat Islam setiap kali tibanya bulan yang mulia ini. Secara mudahnya, tadarus bermaksud kegiatan pembacaan al-Quran oleh peserta dengan diselia oleh guru sambil membetulkan lafaz dan tajwidnya di samping mengungkap makna dan pentafsirannya.

Dengan dengan menyertai kumpulan tadarus al-Quran, sekurang-kurangnya ada orang yang kurang mahir membaca al-Quran akan dapat belajar daripada mereka yang sudah mahir.

Ini kerana pada kebiasaannya majlis tadarus akan diketua oleh seorang yang mahir al-Quran agar dapat membantu yang lain. Bagi orang yang kurang mahir, tetap ada ganjarannya. Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa yang mendengar dengan teliti satu ayat dari kitab Allah (al-Quran), ditulis baginya dengan kebaikan yang berganda-ganda dan sesiapa yang membacanya maka ia akan menjadi cahaya untuknya di hari kiamat. (Riwayat Ahmad).

Bagi orang yang sudah mahir membaca al-Quran ada kelebihan yang sangat tinggi di sisi Allah SWT. Rasulullah SAW juga bersabda: Orang yang mahir membaca al-Quran dia akan bersama dengan malaikat safarah (pembawa wahyu) yang mulia dan taat serta sentiasa berbuat kebajikan. Manakala seorang yang membaca al-Quran dalam keadaan tergagap-gagap (yakni tidak lancar) di mana dia menghadapi kesukaran dan kepayahan ketika membacanya, maka dia akan memperolehi dua ganjaran. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Lazimnya aktiviti ini diamalkan dalam Ramadan. Ia menjadi fenomena yang sangat membanggakan dengan munculnya pelbagai pendekatan dalam kaedah tadarus al-Quran dengan matlamat untuk khatam (habiskan bacaan) al-Quran sekurang-kurangnya satu kali khatam sepanjang bulan ini.

Asasnya, amalan tadarus al-Quran ini termasuk dalam perkara yang digalakkan dan dijanjikan Allah SWT dengan ganjaran pahala yang besar dalam Ramadan.

Rasulullah SAW bersabda: Tidaklah suatu kaum berkumpul di dalam rumah-rumah Allah sambil membaca Kitabullah, dan saling mempelajari di antara mereka (tadarus) kecuali akan turun kepada mereka ketenangan, diberikan rahmat serta Malaikat akan menaunginya. Dan mereka akan diingat di sisi Allah. (Riwayat Muslim).

Di samping itu, ganjaran pahala membaca al-Quran dapat dilihat dalam hadis Nabi SAW: Bacalah oleh kamu al-Quran kerana sesungguhnya al-Quran akan datang menjadi syafa’at (penolong) kepada pembacanya pada hari kiamat. (Riwayat Muslim).

MOTIVASI PAHALA

Motivasi mendapatkan ganjaran pahala inilah yang mendorong umat Islam memperbanyakkan bacaan al-Quran khasnya bulan Ramadan.

Malah, bukan bukan setakat membaca secara individu, malah dibaca secara beramai-ramai mengambil pedoman daripada amalan Nabi SAW. Jibril akan turun setiap kali Ramadan untuk bertadarus al-Quran dengan Nabi Muhammad SAW. Baginda akan membacakan al-Quran kepada Jibril (as) sehingga khatam.

Namun begitu, dalam pelbagai kekangan yang ada ketika tempoh kawalan pergerakan ini, timbul persoalan bagaimana program tadarus secara berkumpulan ini dapat diteruskan?

Adakah dijalankan seperti biasa dengan pertemuan di lokasi tertentu seperti di masjid-masjid selepas setiap kali solat?

Pastinya ia memerlukan kepatuhan yang tinggi terhadap SOP yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa. Atau, amalan ini dibolehkan atau diharuskan untuk diadakan secara dalam talian (online) yang mana setiap ahli tadarus berada di lokasi masing-masing dan membaca sebagaimana mereka berada bersama dengan menggunakan medium media atau aplikasi dalam talian seperti ‘google meet’, ‘zoom’ dan lain-lain yang biasa digunakan dalam banyak aktiviti lain seperti pembelajaran, mesyuarat dan pelbagai komunikasi masa kini.

Perkembangan teknologi ini boleh dimanfaatkan oleh umat Islam bagi menyemarakkan pengisian Ramadan. Walaupun tidak dapat hadir tadarus secara bersemuka, kita masih punya pilihan membaca dan memperbetulkan bacaan al-Quran secara dalam talian.

Tegasnya, umat Islam di seluruh dunia perlu bersungguh-sungguh mengejar kelebihan membaca al-Quran dan menghabiskan bacaannya (khatam) sekurang-kurangnya sekali sepanjang Ramadan.

Justeru, dalam kesempatan mengharungi bulan Ramadan khususnya ketika pandemik Covid-19, kita wajar memanfaatkan ruang beribadah dengan bertadarus al-Quran sama ada secara dalam talian atau luar talian agar kita dapat mencapai tahap ketakwaan kepada Allah SWT.

  • Dr. Nor Hazrul Mohd. Salleh, Pensyarah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Pusat Pendidikan Universiti Malaya, Bachok, Kelantan
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN