Replika imbau tragedi berdarah Bukit Kepong - Utusan Malaysia

Replika imbau tragedi berdarah Bukit Kepong

Replika Balai Polis Bukit Kepong siap dibina mengikut rupa asal struktur sama dengan balai polis yang musnah terbakar dalam serangan Peristiwa Bukit Kepong 1950. – gambar/bubreporter.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEJARAH berdarah Bukit Kepong, Muar, Johor melibatkan pahlawan Sang Saka Biru menentang komunis terpahat segar dalam ingatan rakyat di negara ini.

Di sinilah tempat berdarah pejuang anak bangsa dalam mempertahankan negara.

Sehubungan itu, bagi mengenang peristiwa bersejarah tersebut, sebuah replika Balai Polis Bukit Kepong telah dibina bagi memelihara tinggalan bersejarah itu.

Replika itu dijangka mampu menjadi tarikan unik terkini di Galeri Darurat di Bukit Kepong.

Beberapa anggota polis bergotong royong menyiapkan replika Balai Polis Bukit Kepong yang kini dipamerkan di Galeri Darurat, Bukit Kepong.

Menurut Pengarah Muzium Kepolisian, Superintendan, Selamat Sainayune, seramai 11 anggotanya berperanan dalam memastikan pembinaan galeri itu dapat direalisasikan.

“Pembinaan galeri ini bukanlah untuk dinilai daripada kesempurnaan seni binanya.

“Sebaliknya, ia sekurang-kurangnya dapat mengimbau kembali tragedi titisan darah terakhir lokasi perjuangan dan pengorbanan pahlawan tanah air serta keluarga mereka,” kepada kepada Utusan Malaysia.

Tambah Selamat, replika tersebut dibina berasaskan bahan kayu buangan kitar semula untuk menjimatkan kos sekali gus memaksimumkan penggunaan barangan buangan terpakai.

Menceritakan berkenaan idea pembinaan tersebut, Selamat berkata, ia datang secara spontan dan apa yang menggembirakannya replika tersebut berjaya disiapkan dua hari sebelum sambutan peristiwa serangan Bukit Kepong.

“Galeri tersebut dibina supaya rakyat terutama golongan muda dapat memperingati tragedi berdarah pada 23 Februari 1950,” katanya.

Dalam peristiwa bersejarah itu, seramai 25 orang terkorban, membabitkan 17 anggota polis, ahli keluarga dan penduduk kampung.

Gambar kenangan anggota polis yang terkorban di Balai Polis Bukit Kepong.

Replika seberat 10 kilogram terletak di Balai Polis Bukit Kepong itu, disiapkan dalam tempoh dua bulan. Ia melibatkan kajian dan pengumpulan maklumat data seni bina, bagi memastikan rekabentuk dan struktur yang sama.

“Dalam tragedi itu, Balai Polis Bukit Kepong musnah dibakar pengganas komunis. Kita buat ikut seni bina asal. Selain balai turut direka bentuk adalah kaunter aduan, pertanyaan dan pejabat Ketua Polis Balai (OCS) yang terlibat dalam kejadian terbabit iaitu Sarjan Jamil Mohd Shah.

“Kami mahu memastikan ia reka bentuk sama dengan balai polis yang musnah dalam tragedi itu,” katanya.

Yakin pengunjung terpegun
Menyentuh mengenai rekabentuk fizikal replika balai polis itu, Selamat yakin pengunjung terpegun melihat rupa bentuk galeri zaman kolonial yang sebelum ini hanya mampu dilihat di dalam gambar atau internet sahaja.

Selamat menjelaskan, meskipun kelihatan sangat ringkas namun penggunaan bahan kayu di setiap sudut replika berkenaan berada pada kelas tersendiri.

Dengan ukuran kurang 0.8 meter, replika itu cukup untuk mengimbau sejarah serangan Balai Polis Bukit Kepong walaupun daripada gambaran luaran sahaja.

Meskipun bukan berkelulusan arkitek, semangatnya membara untuk merealisasikan binaan replika penuh bersejarah itu menjadi penyuntik semangat anggota untuk menyiapkannya demi tatapan generasi akan datang.

“Banyak cabaran dilalui semasa pembinaan replika itu. Malah kita terpaksa membuka dan memasang semula sekurang-kurangnya lima kali replika itu sejak dua bulan lalu bagi mendapatkan hasil yang sempurna.

“Anggota polis yang terlibat turut meminta pandangan komuniti setempat berkongsi bagi mendapat hasil reka bentuk yang mirip rekabentuk sebenar Balai Polis Bukit Kepong,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×