Persatuan Pelajar Islam Selangor Darul Ehsan (Pepias) menyampaikan 40 tab kepada 40 murid dan pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) sebagai inisiatif membantu golongan memerlukan mendapatkan peranti pembelajaran bagi membolehkan golongan sasaran tidak ketinggalan dalam pendidikan.
Setiausaha Agungnya, Muhammad Zakir Abdul Razak berkata, inisiatif itu dilaksanakan di bawah Projek Agihan Tab yang antara lain bertujuan mengurangkan kos pembelian gajet untuk mengikuti pembelajaran dari rumah.
“Jutaan terima kasih kepada semua penyumbang kerana turut mengambil peranan dalam memastikan kelangsungan pendidikan yang baik bagi generasi kini.
“Pepias turut memuji sikap masyarakat Malaysia yang cakna dan segera mengambil tindakan bagi membantu pelajar-pelajar yang ketinggalan pelajaran,” katanya.
Terdahulu, projek itu berjaya mengumpulkan sebanyak RM10,000, hasil keprihatinan dan sumbangan orang ramai. Agihan tab meliputi beberapa kawasan mengikut cawangan Pepias seperti Ampang, Kuala Selangor, Shah Alam, Kuala Langat, Bangi, Petaling Jaya dan Gombak.
Sementara itu, Pepias turut menyeru agar masyarakat meneruskan keprihatinan sebegini agar tiada pihak yang akan ketinggalan dalam perubahan norma yang semakin pesat ketika pandemik Covid-19.










