Natasha Charmaine mula sekali lagi - Utusan Malaysia

Natasha Charmaine mula sekali lagi

Minat membawa Natasha meneroka bidang seni lakon dengan lebih baik dengan menyertai kelas lakonan di Akademi Enfiniti di bawah kendalian Tiara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TERPAKSA memulakan segala-galanya dari bawah walau sudah berada dalam industri sejak 10 tahun lalu.

Ternyata, semua itu menyimpan banyak kisah belakang tabir yang menjadikan Natasha Charmaine Rickson tidak malu untuk mengaku bahawa dirinya masih ‘budak baharu’ dalam dunia seni hiburan.

Dalam kerendahan hati, cerita pelakon ini, dia sedar bukan mudah bersaing dalam bidang ini sementelah ketika dia bernaung di bawah syarikat pengurusan artis terkemuka, MIG pun, langkah bagaikan terlalu sesak dalam keramaian bakat seni.

“Setahun bernaung sebagai artis MIG pada tahun 2015, tetapi mungkin mereka tidak nampak ruang untuk saya selain faktor ulang-alik dari Sarawak ke Semenanjung, maka sesuatu harus dilakukan.

“Iyalah, membazir rasanya menyewa di Kuala Lumpur (KL) dan berulang-alik sedangkan tawaran berlakon bukannya ada selalu. Jadi, saya buat keputusan pulang sahajalah ke Sarawak dan cuba bina nama di sana,” katanya.

Menyedari hakikatnya peluang untuk menjadi bintang lebih besar potensinya di ibu kota, Natasha tetap bersandar pada nasib dengan mengambil apa sahaja tawaran seni di sana sementara menunggu peluang untuk ke KL semula.

“Macam-macam saya cuba, jadi pengacara, berlakon, semuanya demi peluang. Tetapi, akhirnya saya sedar, tidak semestinya saya kena berada dalam bidang ini untuk posisi itu semata.

“Kemudian, timbul idea untuk membuka syarikat produksi sendiri, Bloombordia Sdn. Bhd. Itu pun selepas tiga tahun menyambung pengajian, barulah saya berani realisasikannya pada September tahun lalu,” katanya.

DIKUTIK TIADA ILMU
Menurut Natasha, walaupun lewat memulakan langkah bergelar seorang pelajar, dia tidak mahu menjadikan faktor usia sebagai penghalang untuknya mengejar ilmu.

Memilih untuk menyambung pengajian demi sasaran untuk meraih Ijazah Sarjana Muda Sains Komunikasi Psikologi di Kolej Segi, Natasha percaya tiada limitasi dalam usaha mengejar sesuatu ilmu.

“Usia 30 tahun barulah nak sambung belajar. Sebenarnya, saya lakukan ini sebagai hadiah buat bapa. Selama ini dia benar-benar berharap agar saya dapat memiliki segulung ijazah dan mahu tengok anak dia pakai jubah konvokesyen.

“Dia tak mahu duit atau apa melainkan saya sambung pengajian kerana katanya hanya dengan adanya ilmu, maka orang tidak boleh memperlekehkan saya.

“Sebab itulah saya tangguh dahulu hasrat dalam bidang seni sebab mahu fokus dengan pengajian selain susun strategi terbaik untuk kerjaya pada masa akan datang,” katanya.

Menurut Natasha, semasa di awal pembabitannya dalam bidang hiburan, pernah dia dikutuk dan dipandang lekeh kerana hanya memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) namun mampu bergelar seorang pengacara.

Meski terguris hati, wanita ini bagaimanapun menjadikannya sebagai satu motivasi hidup.

“Kalau ikutkan hati, saya nak jadi peguam atau cikgu. Saya sendiri tak sangka akhirnya ini laluan kerjaya kerana menjadi seorang pelakon atau artis, tak pernah ada dalam kamus hidup.

PENTING DIKENALI
“Tapi entah kenapa, setelah beberapa kali mohon untuk jadi guru, tetap tak dapat. Agaknya memang sudah tertulis rezeki saya di sini,” katanya.

Menangguh pengajiannya buat masa ini walau sudah berada dalam semester terakhir, Natasha merancang untuk terbang ke Amerika Syarikat (AS) bagi menghabiskan baki pengajian selama enam bulan di bumi Uncle Sam itu.

“Jika pandemik ini sudah berakhir dan semuanya selamat, saya nak ke sana sebab nak belajar dengan lebih fokus. Sekarang semuanya belajar secara virtual tapi alangkah baik jika saya boleh masuk kelas sebenar,” katanya.

Pentingkah dikenali?
Panjang lebar berkongsi kisah, sempat juga melayangkan pertanyaan pada empunya diri, adakah dia masih merasa penting untuk dikenali pada waktu ini?

Mengatur butir bicaranya dengan tenang, wanita berketurunan Iban-Bidayuh ini tidak menolak semua itu penting atas nama sebuah perniagaan.

“Kalau orang tak kenal kita, orang itu tak akan mahu jalankan bisnes dengan kita, betul tak? Jadi, tak boleh nak semudahnya menghukum seseorang itu dengan dakwaan oh, dia sengaja nak cari populariti.

“Hakikatnya, anda memerlukannya. Ia juga satu bentuk pelaburan. Komunikasi yang baik, cara anda membawa diri dalam industri, itu semuanya memainkan peranan kerana pelaburan ini, bukan dalam bentuk duit semata-mata,” katanya.

Menurut Natasha, untuk dikenali, usaha juga perlu ada dalam merangka kerjaya ke tahap yang dimahukan.

Malah, mengaku dirinya sekarang bukan lagi seorang wanita yang naif seperti 10 tahun lalu. Sebaliknya Natasha mahu dikenali dengan cara yang lebih berkarisma dan profesional.

“Tak mengapalah segalanya nampak lewat di mata orang lain, tetapi saya tak segan silu untuk mula dari bawah semula sebab saya percaya, setiap perkara dalam hidup kita ini ada garis masa yang diaturkan Tuhan.

“Asalkan saya ada sasaran, lambat atau cepat bukan soalnya. Yang penting, saya sudah tahu corak permainannya bagaimana,” katanya.

Tiara Jacquelina, idola
Bercerita lanjut, rupa-rupanya, Natasha sedari dahulu menjadikan Tiara Jacquelina sebagai seorang daripada idola atau sumber inspirasinya dalam bidang seni.

Katanya, Tiara bukan sekadar dilihat hebat sebagai seorang pelakon dan aktivis teater, sebaliknya figura itu berada dalam posisi seorang penerbit dan usahawan yang banyak mengukir kejayaan.

Malah turut membanggakan nama negara hingga ke luar negara.

“Mungkin juga kerana ayah saya begitu sukakan filem-filem bercorak sejarah dan Puteri Gunung Ledang (PGL) adakah satu daripada naskhah kegemarannya, maka secara tak langsung saya pun jadi minat dengan Tiara.

“Tak dinafikan, kerana PGL maka saya mula mahu mengenali siapakah Tiara. Jatuh cinta rasanya dengan profil kerjayanya sendiri sampai saya sentiasa rasa nak tahu macam mana dia boleh ada idea yang menarik? Apa agaknya formula yang dia pakai?” katanya teruja.

Menurut Natasha, minat juga telah membawanya untuk meneroka bidang seni lakon dengan lebih baik dengan mengambil inisiatif menyertai kelas lakonan di Akademi Enfiniti di bawah kendalian Tiara.

“Walaupun pernah berlakon sebelum ini, tetapi saya tak pernah merasa ia sudah cukup dan bagus. Satu cara, jangan malu untuk belajar. Sebab itulah saya ambil juga kelas lakonan di Enfiniti selain mendapat tahu ramai artis lain juga menyertainya.

“Bagi saya, Enfiniti bukan sahaja mencipta seorang pelakon, tetapi mereka juga berupaya menggilap seorang pelakon sedia ada menjadi lebih bagus. Contohnya, Jasmine Suraya dan Tiz Zaqyah.

“Setiap seni lakon itu berbeza di mana pentasnya. Di depan kamera lain, di pementasan teater lain, bukan cuma di kaca televisyen sahaja.

“Peluang-peluang lain inilah yang saya mahu terokai, rasa dan buat. Bukan untuk sekadar memeriahkan industri, tetapi sekurang-kurangnya saya mahu menyumbang bakat yang ada ke saluran yang tepat,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×