Masjid Aqsa: Bumi yang diberkati - Utusan Malaysia

Masjid Aqsa: Bumi yang diberkati

ALLAH SWT menyebut tentang keberkatan Masjid Aqsa sebagaimana dalam ayat 1 surah al-Israk.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Perjalanan Nabi SAW dalam peristiwa Israk bermula dari Masjid Haram di Mekah dan berakhir di Masjid Aqsa di Palestin. Seterusnya Nabi SAW diangkat ke langit yang dikenali sebagai mikraj.

Jarak antara dua masjid tersebut kira-kira 1,250 kilometer (km). Ketika itu, perjalanan perniagaan kaum Quraisy Mekah mengambil masa sebulan untuk sampai ke Masjid Aqsa.

Masjid Aqsa mempunyai sejarah yang panjang. Ia adalah bumi para Nabi dan Rasul. Apabila Allah SWT menyatakan dalam ayat pertama surah al-Israk berkaitan perjalanan Nabi SAW dari Masjid Haram ke Masjid Aqsa, Allah SWT menyatakan: Yang Kami berkati di sekelilingnya. Bumi di sekeliling Masjid Aqsa adalah bumi yang diberkati Allah dan dinyatakan dalam al-Quran di beberapa tempat.

Dalam kisah Nabi Ibrahim bersama Nabi Lut yang berdakwah di bumi Iraq, kedua-duanya menghadapi ujian yang besar daripada kaum mereka lantas Allah SWT selamatkan mereka sebagaimana ayat 71 Surah Anbiya yang bermaksud, Dan Kami selamatkan Nabi Ibrahim dan Nabi Lut ke bumi Syam yang Kami limpahkan berkat padanya untuk umat manusia.

Begitu juga dengan kisah Nabi Sulaiman, Dan Kami mudahkan bagi Nabi Sulaiman angin yang kencang tiupannya, bertiup menurut kehendaknya ke negeri yang Kami limpahi berkat padanya. (al-Anbiya: 81)

Selain disebut bumi yang berkat, bumi Syam juga disebut sebagai bumi yang suci. Firman Allah yang bermaksud: Nabi Musa berkata, “wahai kaumku masuklah ke Tanah Suci (Palestin) yang telah diperintahkan Allah untuk kamu memasukinya”. (al-Maidah: 21)

Menurut Sheikh Sya’rawi, makna berkat adalah dianugerahkan sesuatu mengatasi apa yang dijangkakan. Seumpama makanan untuk dua orang tetapi mencukupi untuk dimakan lima orang. Makanan tersebut kita nyatakan makanan yang berkat.

Dan makna firman Allah, Kami telah berkati sekelilingnya menunjukkan banyak keberkatan. Jika sekeliling Masjid Aqsa diberi keberkatan maka sudah tentu Masjid Aqsa itu sendiri lebih banyak keberkatan. Seumpama kamu berkata sesiapa yang berkawan dengan si pulan ini akan peroleh nikmat, maka sudah tentu si pulan itu sendiri ada banyak kelebihan.

Persoalannya, apakah jenis keberkatan yang Allah SWT jadikan di sekelilingnya?

Pertama, keberkatan duniawi di mana Allah SWT jadikan bumi di sekitar kawasan Masjid Aqsa sangat subur dengan kebun yang menghijau dengan hasil buah-buahan. Anugerah ini boleh dinikmati semua orang termasuk yang bukan Islam.

Kedua, keberkatan dari sudut agama. Keberkatan agama ini dikhususkan kepada orang beriman sahaja. Masjid Aqsa dan bumi sekitarnya adalah tempat turunnya wahyu kepada para nabi dan rasul terdahulu. Buminya harum dengan telapak kaki para Nabi seumpama Nabi Ibrahim, Nabi Ishak, Nabi Ya’qub, Nabi Isa, Nabi Musa, Nabi Zakaria dan Nabi Yahya.

Semasa Nabi SAW sampai ke Masjid Aqsa menaiki buraq, Nabi SAW diberi penghormatan menjadi imam solat kepada para Nabi. Anas Ibn Malik meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda: Didatangkan kepada ku Buraq. Dan aku menaikinya sehingga sampai ke Baitulmaqdis. Kemudian aku ikat buraq di tempat yang mana para nabi mengikat tunggangan mereka. Sesudah itu aku masuk ke dalam Masjid Aqsa dan solat dua rakaat. Kemudian aku dimikrajkan ke langit. (riwayat Muslim)

Nabi SAW sebagai imam solat bersama para nabi di Masjid Aqsa menunjukkan bahawa betapa Masjid Aqsa lambang kesinambungan syiar Islam. Kelebihan Masjid Aqsa ini amat tinggi sehingga menjadikannya sebagai tempat nabi dimikrajkan.

Masjid Aqsa adalah kiblat kepada para Nabi terdahulu dan kiblat pertama umat Islam. Hadis al-Barra Ibn Azib r.a yang bermaksud, Bahawa Nabi SAW bersolat ke arah Baitul Maqdis selama 16 atau 17 bulan, tetapi Nabi SAW mahukan kiblatnya diubah ke arah Kaabah. Semasa dia bersolat asar bersama kaumnya tiba-tiba seorang lelaki datang semasa mereka sedang rukuk lalu berkata, “Aku bersaksi dengan Allah, sesungguhnya aku telah bersolat bersama Nabi SAW mengadap ke arah Mekah lantas mereka bertukar arah menghadap ke Mekah..(riwayat Bukhari)

BERKAT BAITULMAQDIS

Ramai yang keliru dan mempersoalkan antara keberkatan yang Allah SWT berikan kepada bumi Baitulmaqdis dengan realiti yang berlaku di Masjid Aqsa di mana ia dijajah oleh bangsa Yahudi.

Mereka lakukan pelbagai kezaliman dengan membunuh rakyat Palestin atau merampas tanah umat Islam di sana. Sebahagian yang keliru ini bertanya pula soalan kepada ustaz yang berceramah Israk Mikraj, mana berkat yang dijanjikan jika Yahudi bermaharajalela di Baitulmaqdis?

Perkara ini perlu difahami dengan baik. Semua ayat al-Quran dan hadis berkaitan keberkatan Masjid Aqsa dan kelebihannya perlu diimani tanpa ragu. Ini kerana ia adalah wahyu Allah SWT dan sabda Rasulullah SAW.

Apa yang berlaku di Masjid Aqsa pada masa ini mempunyai hikmah yang Allah lebih mengetahuinya. Sebagai membuka kefahaman, Syeikh al-Turaifi cuba menyatakan analogi tentang Rasulullah SAW yang sifatnya maksum terpelihara daripada dosa dan terpelihara semasa menyampaikan dakwah.

Namun Nabi SAW seperti manusia biasa mengalami sakit demam, perasaannya disakiti dan lain-lain. Dan ini tidak mengurang walaupun sedikit kemuliaan Nabi SAW.

Kita juga perlu faham berkaitan banyak hadis yang menerangkan bahawa tidak berlaku kiamat sehinggalah orang Islam memerangi Yahudi dan golongan Islam akan menang sehinggalah batu dan pokok akan berkata kepada orang Islam, “wahai Abdullah, di sini Yahudi datang bunuhlah mereka”. (riwayat Bukhari)

Perkara yang amat penting dalam isu ini ialah memahami nas al-Quran dan semua hadis Nabi SAW berkaitan dengan kaedah yang betul dan tidak menyimpang daripada kehendaknya yang asal.

Semoga Masjid al-Aqsa kembali kepada umat Islam dan kita dapat menunaikan solat di Masjid Aqsa.

INFO BAITULMAQDIS

* Bumi yang diberkati Allah dengan pengutusan para Nabi dan Rasul dan malaikat membawa wahyu kepada mereka.

* Destinasi Israk Nabi SAW. Nabi diberi penghormatan menjadi Imam kepada seluruh para Nabi di Masjid Aqsa dan kemudian Nabi SAW dimikrajkan ke langit.

* Pada tarikh 13 Ramadan tahun 15 hijrah, Umar Ibn al-Khattab sampai ke Baitulmaqdis untuk menerima kunci kotanya yang ketika itu adalah bandar utama kerajaan Byzantine yang mana agama mereka adalah nasrani.

* Selama 400 tahun kota Baitulmaqdis di bawah pemerintahan Islam kemudian datang tentera solib melakukan serangan ke atas Baitulmaqdis dan menguasainya pada tahun 491 hijrah.

* Pada 27 Rejab 583 hijrah, panglima Islam, Solahuddin al-Ayyubi dan tetnteranya memasuki Baitulmaqdis. Kemenangan yang disambut umat Islam dengan syukur kepada Allah SWT.Info BaitulMaqdis

* Bumi yang diberkati Allah dengan pengutusan para Nabi dan Rasul dan malaikat membawa wahyu kepada mereka.

* Destinasi Israk Nabi SAW. Nabi diberi penghormatan menjadi Imam kepada seluruh para Nabi di Masjid Aqsa dan kemudian Nabi SAW dimikrajkan ke langit.

* Pada tarikh 13 Ramadan tahun 15 hijrah, Umar Ibn al-Khattab sampai ke Baitulmaqdis untuk menerima kunci kotanya yang ketika itu adalah bandar utama kerajaan Byzantine yang mana agama mereka adalah nasrani.

* Selama 400 tahun kota Baitulmaqdis di bawah pemerintahan Islam kemudian datang tentera solib melakukan serangan ke atas Baitulmaqdis dan menguasainya pada tahun 491 hijrah.

* Pada 27 Rejab 583 hijrah, panglima Islam, Solahuddin al-Ayyubi dan tetnteranya memasuki Baitulmaqdis. Kemenangan yang disambut umat Islam dengan syukur kepada Allah SWT.

  • PM Dr. Khairul Anuar Mohamad, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, USIM.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN