Berkuda, berbudi kepada tanah, ini cara saya cari ketenangan - Faizal Tahir - Utusan Malaysia

Berkuda, berbudi kepada tanah, ini cara saya cari ketenangan – Faizal Tahir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUA dekad bergelumang dalam industri hiburan yang berpusat di tengah hiruk-pikuk kota raya membuatkan penyanyi dan komposer terkenal, Faizal Tahir semakin menghargai ketenangan yang ditawarkan alam semula jadi.

Bukan sekadar mahu melarikan diri daripada kesibukan kerjaya seni, Faizal melihat aktiviti bercucuk tanam dan berkuda sebagai satu keperluan dalam kehidupannya.

Bagi bapa kepada tujuh orang anak itu, mendekatkan diri dengan alam memberikan ruang untuknya bermuhasabah, merendahkan diri dan memahami hakikat kehidupan manusia.

Malah, Faizal percaya hubungan manusia dengan tanah mempunyai pengertian yang cukup besar kerana manusia berasal daripada tanah dan akhirnya akan kembali kepadanya.

“Saya sangat percaya dengan konsep berbudi kepada tanah. Sebagai orang Islam, kita percaya manusia dijadikan daripada tanah dan perkara itu turut disebut dalam al-Quran. Jadi, saya merasakan memang ada hubungan yang sangat kuat antara manusia dengan tanah. Salah satu cara untuk saya belajar merendahkan diri dan tidak merasakan diri lebih baik daripada orang lain adalah dengan berbudi kepada tanah.

“Suatu hari nanti kita akan meninggal dunia, jasad kita akan hancur dan kembali menjadi sebahagian daripada tanah. Daripada tanah itu, tumbuh pokok yang mengeluarkan buah-buahan untuk dimakan manusia dan haiwan.

“Apabila memikirkan perkara tersebut, saya semakin sedar tentang hubungan manusia dengan alam semula jadi. Manusia pertama, Nabi Adam juga bertani dan bercucuk tanam selepas turun ke bumi. Dalam al-Quran juga banyak disebut mengenai tanah yang menjadi sumber rezeki kepada manusia,” katanya.

Berkongsi mengenai aktiviti bercucuk tanam, Faizal mengakui dia belum mengusahakan pertanian secara besar-besaran.Namun, setiap kali mempunyai peluang, dia akan menanam pokok sama ada di rumah sendiri mahupun di tanah milik rakannya.

Menariknya, Faizal tidak malu mengakui banyak tanaman yang dijaganya pernah mati.

Baginya, kegagalan tersebut menjadi sebahagian daripada proses pembelajaran yang mengajarnya bahawa minat sahaja tidak mencukupi tanpa ilmu dan kesungguhan.
Berkuda

Selain bercucuk tanam, aktiviti berkuda turut menjadi sebahagian penting dalam kehidupan Faizal. Namun, katanya, dia kurang bersetuju sekiranya aktiviti tersebut sekadar dianggap sebagai hobi.

      

Sebaliknya, Faizal menganggap hubungan dengan alam semula jadi dan haiwan sebagai satu keperluan yang perlu diberikan ruang dalam kehidupan setiap manusia.

“Saya lebih gemar menggunakan perkataan keperluan berbanding hobi. Bercucuk tanam dan bersama haiwan adalah satu keperluan kepada saya. Saya percaya setiap manusia sebenarnya memerlukan hubungan dengan alam semula jadi. Sebab itu, saya boleh mencari keseimbangan dalam kehidupan kerana saya tidak menganggap perkara tersebut sekadar hobi.

“Kalau sesuatu itu hanya hobi, apabila sibuk dengan pekerjaan kita boleh meninggalkannya. Tetapi apabila saya menganggapnya sebagai satu keperluan, saya tahu saya memerlukannya dan tidak boleh mencari alasan untuk meninggalkannya. Saya berkuda setiap minggu. Malah, sebelum datang ke sini pagi tadi pun saya berkuda. Dalam seminggu mungkin tiga atau empat kali saya akan berkuda,” katanya.

Dalam masa sama, Faizal kini mula mempelajari selok-belok berkaitan tanah dan pertanian dengan lebih serius.

Dia turut mencari peluang mendapatkan tanah yang boleh digunakan untuk menanam durian serta beberapa jenis tanaman lain.

“Alhamdulillah, sekarang saya baru hendak mula belajar dan mencari tanah yang sesuai untuk menanam pokok durian serta tanaman lain. Bagi saya, kalau kita mahu mengimbangi kehidupan, perkara pertama adalah jangan memberikan alasan kepada diri sendiri.

“Apabila saya sudah memilih untuk memberikan komitmen terhadap sesuatu perkara, saya akan berusaha melakukannya dengan bersungguh-sungguh,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN