PETALING JAYA: Polis sedang mengesan sebuah kenderaan yang melanggar Perodua Bezza selepas kereta terbabit terbabas di Kilometer 298.8 Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban, Kajang, dekat sini, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada 5.45 pagi apabila Perodua Bezza dipandu seorang lelaki bersama dua penumpang itu dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke kanan jalan.
Katanya, kenderaan itu kemudian melanggar penghadang besi di sebelah kanan jalan sebelum berpusing.
“Selepas itu, sebuah kereta putih yang datang dari arah belakang melanggar Perodua Bezza berkenaan sebelum meninggalkan lokasi.
“Penumpang wanita tempatan berusia 27 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, pemandu dan penumpang iaitu dua lelaki tempatan masing-masing berusia 20 tahun 22 tahun cedera.
Jelasnya, kedua-dua mangsa sedang menerima rawatan masing-masing di Zon Merah dan Zon Kuning Hospital Serdang.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Ahmad Zahrein Muhd Suod di talian 017-3818422 bagi membantu siasatan,” katanya.
Beliau turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya memandu secara berhemah, mematuhi peraturan dan sentiasa berhati-hati ketika berada di jalan raya.- UTUSAN










