MENDERITA seorang diri selepas didiagnosis kanser paru-paru, pastinya memberi tekanan maha hebat.
Marah, takut dan kemurungan saling bertingkah dalam diri, lebih-lebih lagi ramai dalam kalangan pesakit merasakan penyakit itu tidak ada penawarnya. Mereka hanya menanti maut! Itu pengalaman dilalui Koh Siang Kai, 71.

Mengimbau insiden dilalui lima tahun lalu, katanya apabila didiagnosis kanser paru-paru, dia berasa dirinya seperti dihempas ombak besar.
“Saya sangat tertekan, sedih dan marah. Saya ingat lagi saat saya duduk dalam bilik seorang diri. Saya bertanya sendiri, kenapa ini berlaku kepada saya? Saya kecewa dan putus asa untuk meneruskan hidup,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang video sempena kempen Keep Breathing, sempena Hari Kanser Sedunia.
Bercerita mengenai tanda awal didiagnosis, Siang Kai memberitahu kerap mengalami batuk dan batuk berdarah. Situasi itu mendorongnya berjumpa dengan doktor dan menjalani pemeriksaan X-ray bagi menentukan tahap kesihatan dirinya.
Ketentuan dan hakikatnya itu, akhirnya mengubah rutin dan kitaran hidupnya 360 darjah. Hanya keluarga menjadi kekuatan dirinya untuk melawan sakit.
BERNASIB BAIK
Antara dilakukan mengubati kegusaran hati ialah meluahkan perasaannya kepada ahli keluarga dan tidak terfikir mengenai kanser.
“Saya sibukkan diri dengan kerja. Syukur, saya menerima sokongan dan bantuan kuat daripada ahli keluarga. Mereka tidak pernah menggunakan perkataan ‘kanser’ apabila bersama saya,” katanya.
Jelas beliau, sokongan dan dorongan daripada ahli keluarga dan orang tersayang amat penting dalam mengubah persepsi negatif pesakit terhadap kanser paru-paru. Ia sekali gus memberi semangat baharu untuknya meneruskan hidup seperti biasa.
“Sesiapa sahaja yang baharu didiagnosis, sedarlah bahawa kita tidak bersendirian. Selain ahli keluarga, hari ini ada pelbagai pilihan rawatan tersedia. Ingatlah, selagi kita masih bernafas, selagi itu kita masih ada harapan. Jangan putus harapan. Teruskan bernafas, #KeepBreathing,” katanya.
Semangat positif dan menjalani rawatan ditetapkan pakar perubatan, membantu Siang Kai pulih. Hari ini, beliau bersyukur dapat menghabiskan masa dengan anak saudara, bertemu rakan dan berjalan di kawasan kediamannya.
Keep Breathing , anjuran bersama Rangkaian Kanser Paru-paru Malaysia (LNCM) dan Pfizer. Ia bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat berhubung kanser paru-paru termasuklah mengenali simptom awal dan menangkis stigma serta salah faham mengenai kanser paru-paru.
Hapus stigma terhadap kanser paru-paru
Pakar Bedah Perunding Kardiotorasik, Dr. Anand Sachithanandan berkata, ramai yang mengaitkan diagnosis kanser paru-paru dengan stigma mengarut dan memandang rendah mereka yang mendapat penyakit itu.

Katanya, situasi berkenaan, menambahkan beban emosi yang secara tidak langsung akan memberikan kesan buruk terhadap cara pesakit cuba mengatasi kesakitan.
“Ramai pesakit menangguhkan rawatan kerana takut terhadap penilaian orang ramai, sekali gus menyebabkan kes kanser paru-paru terus tersorok dan tidak diketahui,” katanya.
Beliau yang juga Presiden LCNM berkata, persepsi salah orang ramai ialah mengaitkan kanser paru-paru sebagai hukuman mati.
Katanya, persepsi itu turut membuatkan pesakit enggan mendapatkan rawatan atau melengah-lengahkan rawatan,” katanya.
Sementara itu, Naib Presiden LCNM, Dr. Tho Lye Mun berkata, kanser paru-paru merupakan antara kanser paling kerap berlaku di Malaysia dengan hampir 95 peratus daripada pesakit didiagnosis pada tahap tiga atau empat.
Katanya, walaupun penyakit ini muncul pada kadar yang tinggi, tahap kesedaran masih rendah dan ia menjadi penyumbang kepada kadar diagnosis tahap lewat dalam kebanyakan kes.
“Pesakit kanser sering dimomokkan dengan ketakutan terhadap rawatan seperti kimoterapi dan radioterapi. Justeru mereka lebih fokus terhadap rawatan tradisional dan terapi sampingan. Situasi ini menyebabkan mereka lewat mendapatkan rawatan,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Onkologi Klinikal memberitahu, hari ini kemajuan teknologi membolehkan pakar menemui kaedah diagnosis bersasar dengan kadar pulih lebih baik.
Pelbagai pilihan rawatan disediakan dan keupayaan untuk bebas adalah lebih tinggi jika dikesan awal.
“Antara inovasi diagnosis dan rawatan kanser paling menarik dalam kajian kanser paru-paru adalah pembangunan terapi tersasar yang baharu. Ini merupakan ubat yang ditujukan ke arah mutasi spesifik yang berlaku dalam ujian Asid deoksiribonukleik (DNA) ketumbuhan menyebabkan kanser berkembang,” katanya.
Inovasi dalam rawatan kanser paru-paru bermaksud pesakit boleh menikmati kehidupan lebih panjang dan berkualiti, walaupun penyakit mereka berada di tahap lanjut.

Sebelum ini kanser paru-paru dirawat sebagai satu penyakit yang sama.
Namun kini, pakar perubatan memecahkan kes kanser paru-paru kepada beberapa subkategori dan juga sedang membangunkan ubat-ubatan lebih efektif.
Dalam usaha mengikis stigma, kempen #KeepBreathing turut membantu pesakit menerusi program V-Care.
Sepanjang program ini, pesakit kanser paru-paru tahap lanjut boleh merancang pelan kewangan dengan lebih baik dan mendapatkan akses terhadap rawatan inovatif.
Ia mendidik masyarakat tentang kemajuan perubatan termasuklah rawatan dan ujian saringan untuk pengesanan awal dan perkongsian cerita daripada pesakit, untuk memberikan inspirasi kepada orang ramai.










