Setiap wanita mendambakan kulit wajah halus, gebu dan cantik.
Beruntung buat mereka yang di anugerahkan kulit wajah cerah dan tidak berbelang kerana ramai wanita yang berusaha untuk memiliki kulit sedemikian.
Namun tahukah anda, sebenarnya dalam dunia kecantikan sekarang ini, merealisasikan kulit wajah cantik dan berseri boleh dilakukan menerusi teknik solekan tertentu?.
Rentetan itu istilah glowing skin dan juga dolphin skin mulai wujud dan kian popular. Ramai selebriti antarabangsa sering memaparkan wajah dengan rupa mulus berkilat itu, di media sosial masing-masingl.

Jurusolek, Dr. Mukhlis Idris atau lebih dikenali sebagai Muks menjelaskan, glowing skin bermaksud kulit wajah yang sihat dari dalaman menerusi rutin penjagaan kulit dan juga kesihatan yang merangkumi diet seimbang, membuat senaman serta banyak mengamalkan minum air kosong.
Sebaliknya, istilah dolphin skin merujuk kepada individu yang ingin mencapai atau mendapatkan kulit wajah mulus secara pantas seperti dapat kita lihat pada dolphin atau bahasa Melayunya ikan lumba-lumba.
“Dolphin skin boleh dihasilkan menerusi teknik solekan yang banyak menggunakan bahan solekan seperti contohnya highlighter, atau pelembap bersifat memantul cahaya. Ia akan menyebabkan muka tampak lebih berkilat atau dipanggil sebagai glowing skin dan glass skin secara serta-merta.
“Jadinya, dolphin skin bukanlah bersifat dalaman kerana ia lebih kepada kosmetik atau solekan yang memberi fokus pada bahagian luaran wajah sahaja,” ujar Mukhlis.
Pakar kecantikan pernah meramalkan trend solekan ini menjadi popular pada 2020/2021.
Aliran solekan ini sebenarnya mula diperkenalkan jurumekap selebriti antarabangsa iaitu Mary Philips yang menyolek pelakon Zendaya bagi satu sesi fotografi.
“Jadi untuk lebih senang memahami apa itu dophin skin, ia sebenarnya trend mekap glowing skin yang menggunakan highlight atau beauty balm bagi menyerlahkan kulit nampak macam plastik, tetapi ia hanyalah secara luaran, bukan dari dalam. Ia banyak bermain dengan teknik,” katanya.
Kurang sesuai untuk individu kulit berminyak
Walaupun dolphin skin menjadi kegilaan ramai, namun ia kurang sesuai bagi pemilik kulit berminyak.
Kata Mukhlis, kalau di negara empat musim, wanitanya cantik mengenakan teknik solekan itu kerana faktor cuaca malah kebanyakan mereka memiliki kulit tidak berminyak.

“Mendapatkan dolphin skin bagi pemiliki kulit kering dan normal, lebih mudah berbanding pemilik kulit berminyak.
“Bagi saya, adalah lebih baik menggalakkan orang ramai untuk fokus kepada rutin penjagaan kulit yang betul bagi mendapatkan kulit wajah sihat dan cantik. Bonus memiliki kulit cantik ialah tidak perlu untuk meletakkan banyak bedak asas, sebaliknya hanya meletakkan sedikit sahaja higlighter,” katanya.
Beliau turut memberitahu, teknik solekan ini kurang sesuai bagi pengantin kerana ia akan menyebabkan kulit kelihatan terlalu berminyak apabila berada di atas pelamin dengan pancaran lampu.
“Tetapi kalau untuk tujuan penggambaran gambar pengantin, tiada masalah,” katanya.
TIPS KULIT CANTIK:
#1 Diet kulit sihat
» Glowing skin bermula dari dalam! Untuk mendapatkan glowing skin sekali gus kesihatan yang baik, elakkan pengambilan gula, alkohol, makanan diproses dan makanan dalam tin. Rajinkan diri memasak sendiri kerana ia lebih membantu dalam mengenali jenis makanan yang dapat meningkatkan keberkesanan pada kulit serta kesihatan.
» Asid lemak Omega-3 membantu mengurangkan keradangan, simptom jerawat dan juga meningkatkan sensitiviti kulit terhadap sinaran ulta lembayung matahari. Lebihkan makanan seperti ikan, telur, kangkung, kacang walnut atau badam dan lihatlah macam mana tubuh memberi reaksi.
#2 Amalkan ritual sayang diri
» Tenangkan diri. Anda disarankan membuat pelbagai rutin yang anda selesa dan seronok. Antaranya meluangkan masa selama 10 minit pada waktu pagi dan petang untuk rutin penjagaan kulit atau berendam dalam tab mandi! Paling penting rutin itu boleh membuatkan anda fokus pada diri sendiri dan gembira.
#3 Biarkan badan lebih aktif!
» Bersenam adalah cara terbaik untuk mengurangkan tanda-tanda penuaan. Ia membantu meningkatkan aliran darah ke kulit dan meningkatkan pergerakan oksigen serta nutrien lain bagi meminimakan keradangan di dalam badan anda.









