“Puan mengan–dung? Duduklah”.Pelawaan seorang lelaki kepada Anita untuk duduk sewaktu dia berada dalam LRT, menyebabkan Anita bungkam. Bukan lelaki yang mempelawanya duduk itu sahaja sangka dirinya hamil 4 bulan. Rakan wanita lain juga begitu. Dalam diam, Anita tekad mahu kempiskan perutnya. “Tapi bagaimana. Jenuh dah buat sit up?,” kata Anita bermonolog.
Anita tidak bersendirian berhadapan masalah buncit. Ramai lagi wanita ‘senasib’ dengannya. Selain tidak selesa, buncit atau boroi ini, turut mencacatkan penampilan kerana bahagian berkenaan kurang indah pada pandangan mata.
Lebih memburukkan keadaan ia membawa petanda penyakit lain lebih serius iaitu obesiti dan penyakit berkaitan kardiovaskular.
Menurut Pensyarah Jabatan Nutrisi dan Diabetik, Sekolah Sains Kesihatan, Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU), Bukit Jalil, Prof. Dr. Norimah A. Karim, perut buncit atau obesity sentral adalah keadaan pengumpulan lemak tubuh berlebihan di sekeliling perut dan pinggang.

Katanya situasi itu jelas memberikan impak tidak baik kepada kesihatan.
“Perut buncit atau obesity sentral berlaku apabila pengumpulan lemak tertumpu pada bahagian perut, pinggul dan pinggang. Lemak terkumpul tingkat risiko penyakit jantung, tekanan darah tinggi atau hipertensi, rintangan insulin dan diabetes,” katanya mengulas masalah buncit dalam kalangan wanita.
Statistik mendapati wanita Malaysia mengalami masalah buncit atau prevalens obesity sentral sebanyak 64.8 peratus pada 2019.
Angka itu meningkat daripada 47.2 peratus pada 2006.
Ia bermaksud dalam 10 wanita, kira-kira tujuh orang memiliki masalah buncit.
FAKTOR
Antara faktor berlaku perut buncit ialah kurang bersenam, masalah pencernaan tidak normal dan corak pemakanan yang tidak seimbang.
Peranan wanita untuk hamil, melahirkan anak dan menyusukan bayi turut meningkatkan risiko mendapat buncit.
Lebih-lebih lagi sekiranya kehamilan kerap berlaku dan dalam tempoh selang masa yang rapat.
Dr. Norimah berkata, wanita selepas bersalin, sekiranya penambahan berat badan semasa mengandung tidak diturunkan dengan sempurna, ia boleh menyebabkan lemak berlebihan turut terus terkumpul di perut.

Bagi wanita putus haid atau menopaus, penurunan hormon estrogen mengakibatkan peningkatan pengumpulan lemak di perut.
“Begitupun, impian mendapatkan perut yang kempis dan pinggang yang ramping bukanlah sesuatu yang mustahil. Ia boleh direalisasikan menerusi senaman dan pemakanan yang betul,” katanya.
INDEKS JISIM TUBUH
Antara lain, katanya wanita perlu pastikan memiliki indeks jisim tubuh (IJT) tepat bagi mengukur tahap kelangsingan diri.
“Indeks jisim tubuh (IJT) iaitu berat badan (kg) dibahagikan dengan tinggi (m2).
“IJT sepatutnya ialah dalam lingkungan 18.5 hingga 24.9. Ia adalah julat IJT normal,” katanya.
Selain itu katanya, wanita mesti bersenam atau melakukan aktiviti fizikal untuk memastikan mendapat bentuk tubuh diingini.
“Lakukan senaman yang boleh mengempiskan perut dan merampingkan pinggang secara tetap (regularly).
“Gaya hidup juga perlu aktif.
“Jadikan riadah, seperti melakukan aktiviti fizikal, contoh berjalan 10,000 langkah setiap hari dan senaman khusus pada bahagian bermasalah iaitu pinggang dan perut sebagai amalan harian,” katanya.
Pemakanan dan gaya hidup boleh mempengaruhi fizikal individu.
Prof. Dr. Norimah berkata, wanita perlu mengamalkan pengambilan makanan seimbang secara sederhana dengan mengawal kadar makanan dan kepelbagaian pilihan sajian seharian.
“Pengambilan makanan yang berlebihan daripada diperlukan oleh tubuh menyebabkan obesiti kerana kalori tidak dibakar akan bertukar kepada lemak,” katanya.
Katanya, jika berat badan meningkat dan IJT juga meningkat, segeralah bertindak untuk mengurangkan berat badan supaya keadaan tidak menjadi lebih teruk.
“Buncit tidak terjadi secara mendadak. Dengan ukur lilit pinggang melebihi 80 sentimeter (cm), risiko kematian boleh meningkat malah ia adalah petunjuk obesity sentral,” katanya.
Pengambilan makanan seimbang secara sederhana dengan mengawal jumlah makanan dan mempelbagaikan pilihan adalah penting.
Cadangan pemakanan:
1. Makan mengikut masa iaitu sarapan pagi, tengahari dan makan malam.
2. Ikut konsep suku suku separuh iaitu Pinggan Sihat Malaysia seperti yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.
i. Isikan suku pertama pinggan dengan nasi, mi, roti, bijirin, produk bijirin atau ubi. Dicadangkan untuk mengisi suku pertama ini dengan bijirin penuh.
ii. Isikan suku kedua pinggan anda dengan ikan, ayam, daging atau kekacang.
iii. Isikan separuh lagi pinggan dengan sayur-sayuran dan tambah buah-buahan.
iv. Untuk melengkapkan pinggan, minum air kosong atau minuman tanpa gula, susu atau produk tenusu.
3. Kurangkan makanan berlemak, bergoreng dan bersantan.
4. Kurangkan makanan berkalori tinggi.
5. Kurangkan makanan manis dan masin.
6. Kurangkan minuman bergula.
7. Minum lapan gelas air kosong setiap hari.
8. Jangan makan lewat malam.
9. Masak di rumah dan kurangkan makan di luar serta elakkan membeli makanan dari luar rumah.










