Pengkajian akademik terhadap penulisan Fi Zilal Al-Quran karangan Sayyid Qutb perlu membuka minda dengan teliti dan menimbang dengan sebaik mungkin antara kritikan dan jawapan terhadap kritikan dibincang oleh para pengkaji.
Banyak kajian berkaitan pemikiran Sayyid Qutb ditulis. Ada yang menulis sejarah hidup, menulis berkaitan legasi kesusasteraan, kealiman, ledakan pemikiran, maqasid syariah dalam pemikiran Sayyid Qutb, kaedah dakwah, ideologi dalam politik dan agama.
Tidak kurang juga penulisan kritikan terhadap karya Sayyid Qutb seperti keburukan dalam karya Sayyid Qutb dan perhatian terhadap kesalahan Fi Zilal Al-Quran. Namun begitu yang menariknya tafsir Fi Zilal Al-Quran ia telah diterjemah ke dalam bahasa Melayu secara sempurna 30 juzuk oleh seorang tokoh ulama Al-Marhum Datuk Yusuf Zaki. Ia dianggap terjemahan terbaik kerana penterjemahnya adalah seorang yang alim dalam ilmu bahasa Arab.
Perkara ini terbukti kerana hasil terjemahan tersebut dijadikan pula sumber rujukan kepada Tafsir Pedoman Muttaqin.
Sayyid Qutb Ibrahim Husein al-Syazuli dilahirkan di Asiyut, Mesir pada 9 Oktober 1906. Peringkat permulaan pendidikannya ialah menghafal Al-Quran dan kemudian mengikuti pengajian di Madrasah Mualimin di Kaherah.
Beliau menyambung pengajian ke peringkat sijil di Dar al-Ulum dan berjaya menyempurnakan pengajian pada 1933. Seterusnya beliau menyertai bahagian pendidikan dan pengurusan di Kementerian Pendidikan.
Dalam pemikiran, Sayyid Qutb terkesan dengan beberapa pemikiran. Pada mulanya beliau terkesan dengan kesusasteraan seorang tokoh sastera ketika itu iaitu Abbas Aqqad. Kemudian beralih kepada kesusasteraan Islam.
Dalam politik pada mulanya beliau terkesan dengan parti Wafd dalam tempoh beberapa tahun dan pada 1950 beliau beralih kepada kumpulan Ikhwan Muslimin sehingga akhir hayatnya dengan dihukum gantung iaitu pada tahun 1966. Dari sudut kekeluargaan, Sheikh Ali Tantawi menyatakan rasa terkejut dengan keadaan Sayyid Qutb yang tidak mendirikan rumah tangga. Sedangkan dalami sudut penulisan, Sayyid Qutb amat tajam dan hebat serta boleh mempengaruhi pembaca tetapi fizikalnya adalah insan yang lemah. Lisannya amat tajam tetapi perasaannya amat halus.
FI Zilal al-Quran
Perkara ajaib tentang penulisan tafsir Fi Zilal Al-Quran ialah banyak penulisannya berlaku ketika Sayyid Qutb dalam penjara. Beliau dipenjara pada 1954 selama 15 tahun.
Pada tahun 1964, Presiden Iraq, Abdul Salam Arif memohon kepada rakan sejawatnya Presiden Mesir, Jamal Abdul Nasir untuk membebaskan Sayyiq Qutb. Selepas lapan bulan dibebaskan, beliau ditangkap kali kedua sehinggalah akhir hayatnya pada tahun 1966.
Realiti kehidupan Sayyid Qutb adalah sentiasa di bawah naungan al-Quran. Beliau selalu merujuk kepada al-Quran meskipun sibuk dengan tugasnya. Amat mengambil berat tentang makna dan kehendak al-Quran. Ini bermakna sebelum menghasilkan Tafsir Fi Zilal Al-Quran beliau mengecapi makna al-Quran dengan menulis karya berkaitan gambaran kesenian dalam al-Quran.
Beliau juga cuba membuat persediaan sebelum mulakan pentafsiran dengan satu projek yang dinamakan Maktabah al-Quran. Projek tersebut menyediakan beberapa tajuk sesuai dan penulisan berkaitan, namun projek itu tidak lengkap.
Sayyid Qutb turut menulis satu kitab berkaitan pemandangan kiamat sebagaimana digambarkan dalam Al-Quran.
Beliau menyatakan: “Al-Quran adalah kitab mukjizat yang cantik. Kitab yang paling bernilai dalam koleksi maktabah Arab secara keseluruhannya. Tidak dapat ditandingi laras bahasanya dan tidak boleh ditolak kekuatannya.”
Di akhir kitab tersebut beliau menyatakan niatnya membicarakan tafsir Al-Quran dengan harapan menzahirkan kecantikan seni Al-Quran tanpa dipengaruhi takwilan kusut dan berbelit demi menjaga matlamat agama.
Mengenai tajuk tafsirnya Fi Zilal Al-Quran: “Beliau berkata, tajuk tidak begitu penting kerana hakikatnya aku hidup dan mendapati dalam sanubari hatiku berada di bawah naungan al-Quran.
“Aku merasa amat tenang dan selesa di bawah naungan al-Quran sehingga aku merasakan sesekali ia menghubungkan aku dengan langit. Tingkapnya bercahaya terbuka kepadaku sedangkan dua kakiku bertapak di bumi.
“Ketika itulah ia menolongku dalam memperoleh lintasan dalam bab akidah, lintasan dalam jiwa dan juga kehidupan. Cukuplah aku mengecapi sendiri perkara tersebut dan tidak dicatat”.
Bila dipelawa menulis dalam majalah bulanan al-Muslimun terlintas dalam fikirannya tajuk Fi Zilal Al-Quran. Kaedah penulisan Fi Zilal Al-Quran mempunyai beberapa pandangan.
Ada yang berpendapat ia adalah sebahagian tafsir Al-Quran. Ada juga berpendapat ia menghuraikan prinsip Islam secara umum yang ada dalam Al-Quran. Dan ada juga yang berpendapat ia adalah huraian perlembagaan ilahi dalam kehidupan, masyarakat dan keterangan berkaitan hikmah perlembagaan tersebut.
Sayyid Qutb pula menyatakan: “Aku tidak mengira semua perkara tersebut, yang penting ialah aku mencatat lintasan pemikiran dan aku hidup di bawah naungan al-Quran. Aku cuba sedaya upaya mengeluarkan kecantikan seni yang ajaib dalam kitab mukjizat ini di samping menyelaras antara pentafsiran dan gambaran seni”.
Pada mulanya Tafsir Fi Zilal Al-Quran ialah penulisan artikel dalam majalah al-Muslimun diterbitkan secara bulanan. Kolum dikhususkan kepada beliau diberi nama Fi Zilal Al-Quran. Majalah ini diterbitkan pada akhir 1950.
Kemudian maktabah Dar Ihya al-Kutub al-Arabiy membuat perjanjian dengan Sayyid Qutb untuk menerbitkan artikel di bawah kolum Fi Zilal Al-Quran secara tetap setiap bulan.
Perkara ini berjalan sehingga tahun 1954 di mana beliau berjaya menyiapkan sehingga juzuk lapan.
Semasa dipenjara al-Harbiy 1954, Sayyid Qutb menyiapkan tiga juzuk iaitu sehingga juzuk 11. Sayyid Qutb diuji dengan keuzuran dalam penjara dan penulisan terpaksa ditunda. Selepas sembuh, Sayyid Qutb menyambung tulisan Fi Zilal Al-Quran.
Ustaz Yusuf al-Azm berkata: “Sesungguhnya hasil pengalaman yang amat menakutkan dalam penjara dan fokus yang tinggi kepada al-Quran telah menatijahkan idea Islam yang amat besar yang sebenarnya tidak mampu dibuat oleh akal seseorang. Ini semua adalah ilham daripada Allah.
“Ia juga pembukaan ilahi kepada lelaki ini untuk mendapat pandangan yang tidak dapat dilihat oleh ramai manusia. Lantas dia menulis tafsir dan takwil al-Quran dengan kefahaman yang jauh dari minda yang sempit, fikiran terbabas dan hawa nafsu yang sesat”.
Tafsir Fi Zilal Al-Quran ini diterjemahkan lebih daripada lima bahasa. Semoga kita mengambil manfaat yang baik daripadanya.










