ANTARA masalah yang sering membelenggu industri sawit adalah Ganoderma. Ganoderma boninense adalah kulat penyebab penyakit reput pangkal batang pokok sawit atau lebih dikenali sebagai penyakit Ganoderma, suatu penyakit umpama barah yang berbahaya kepada pokok sawit.
Penyelidikan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) memperkenalkan beberapa kaedah kawalan dan pengurusan penyakit Ganoderma dan telah diguna pakai oleh industri.
Kaedah pengurusan ini tertumpu kepada sanitasi dan kawalan Ganoderma menggunakan racun kimia seperti hexaconazole dan dazomet selain menggunakan kaedah rawatan timbunan tanah dan kaedah pembedahan bagi merawat pokok yang dijangkiti.
Selain itu, penggunaan agen biokawalan seperti kulat Trichoderma, bakteria aktinomiset, kulat mikoriza arbuscular (AMF) dan kulat endofitik turut diperkenalkan yang terbukti berkesan.
Walaupun industri mengetahui tentang kaedah kawalan jangkitan Ganoderma, pengetahuan mengenai interaksi antara G. boninense dengan pokok sawit di peringkat molekul atau sel masih kurang.
Kumpulan penyelidik di Bahagian Penyelidikan Biologi dan Kelestarian MPOB, yang diketuai oleh Dr. Shamala Sundram berjaya menghasilkan Teknologi Sistem Kultur Tisu yang dapat memudahkan penyelidikan patogenisiti G. boninense.
“Teknologi ini boleh digunakan sebagai medium untuk mengkaji patogenisiti G. boninense menggunakan ramet pokok sawit di dalam makmal, mimik patogenisiti kulat ini terhadap pokok sawit di ladang”, jelas beliau.

Tambah beliau, kelebihannya, kajian patogenisiti menggunakan sistem teknologi dengan kos rendah, ruang penyelidikan yang kecil serta memerlukan tempoh yang singkat, iaitu satu bulan berbanding lapan hingga 10 bulan menggunakan teknik konvensional.
Kajianmenerusi sistem ini adalah dalam keadaan terkawal di dalam tabung uji, tidak dipengaruhi oleh faktor luaran seperti cuaca, sifat tanah, iklim dan kontaminasi mikrogorganisma lain.
Teknologi sistem kultur tisu tidak mengunakan sebarang tekanan serta mampu mencapai 100 peratus jangkitan pada ramet pokok sawit.

Selain berguna untuk penyelidikan patogenisiti, sistem kultur tisu dapat membantu dalam penyelidikan pembangunan biopenanda dan penyaringan agen kawalan biologi.
Dengan anggaran kos sebanyak RM3,500 bagi penyelidikan sistem patogenisiti Ganoderma menggunakan Teknologi Sistem Tisu Kultur.
Pengkomersilan teknologi ini mempunyai potensi tinggi dari sudut peluang perniagaan kepada usahawan di samping menyediakan kaedah alternatif terbaik untuk menjalankan penyelidikan Ganoderma dengan lebih mendalam.
Serangan Ganoderma di Malaysia
Bancian terbaharu oleh MPOB pada 2019 melibatkan 10,292 pekebun kecil di 37,359.81 hektar (ha) ladang menunjukkan 1,528 orang pekebun kecil dengan 3,450.70 ha terkesan dengan penularan Ganoderma di ladang.
Jangkitan Ganoderma tertinggi direkodkan di Johor melibatkan 487 orang pekebun kecil dengan 1,032.97 ha, diikuti Sabah yang melibatkan 252 pekebun kecil di 930.85 ha dan 410 pekebun kecil dengan keluasan 718.49 hektar di Perak.

Serangan penyakit Ganoderma menggugat industri sawit tempatan kerana boleh mengakibatkan penurunan hasil dan akhirnya kematian pokok sawit.
Saban tahun, kerugian lebih jutaan ringgit akibat serangan penyakit ini telah direkodkan.
Serangan G. boninense pada pokok sawit boleh dikenal pasti dengan nyata apabila basidiomata atau jasad buah Ganoderma terbentuk pada akar, batang atau pelepah pokok.
Bagi pokok dewasa, simptom penyakit reput pangkal batang boleh dilihat pada perkembangan fisiologi pokok sawit yang dijangkiti berbanding dengan pokok sihat.
Pucuk daun kelihatan berwarna hijau pudar, pengeluaran pucuk daun yang berganda yang tidak mengembang.
Selain itu, dahan pelepah akan patah dan tergantung mengelilingi bahagian atas batang pokok menyebabkan pokok kelihatan tidak berdaun dan berpelepah.
Bagi pokok muda pula, jangkitan G. boninense dikenal pasti melalui keadaan kering daun, warna kekuningan pada daun dan pertumbuhan yang terbantut. Batang dan tisu akar mereput menyebabkan pokok mudah tumbang.
Justeru, pengetahuan mendalam tentang patogenisiti cendawan berkenaan dan penyelenggaraan ladang amat penting bagi mengawal penularan penyakit Ganoderma.
Pendekatan yang diambil oleh penggiat industri sawit setakat ini hanya bertumpu kepada pengawalan penyakit daripada merebak dan menjangkiti pokok sawit yang masih sihat selain menghapuskan inokulum G. boninense sebelum program penanaman semula.
Guna PCR kesan kulat penyebab reput tandan
Penyakit sawit yang tidak dikawal dengan berkesan melalui pencegahan dan rawatan boleh memberi ancaman kepada sektor perladangan.
Terdapat beberapa jenis penyakit tanaman sawit yang telah dikenal pasti kebanyakannya disebabkan oleh kulat, nematod (cacing) dan mikoplasma.
Penyakit eksotik yang menjadi ancaman utama penanaman sawit di Afrika dan Amerika Selatan adalah seperti penyakit reput batang umbut yang disebabkan oleh Phytophthora palmivora, penyakit layu vaskular yang disebabkan oleh kulat Fusarium oxysporum f. sp. Elaeidi serta beberapa penyakit lain.
Di Malaysia, penyakit reput pangkal batang yang disebabkan oleh kulat Ganoderma boninense dan penyakit reput tandan Marasmius boleh mendatangkan kesan kerugian pendapatan akibat kerosakan pokok sawit matang jika tidak dikawal.
Penyakit tersebut merupakan penyakit tandan buah sawit yang disebabkan oleh kulat cendawan daripada spesies Marasmius Palmivorus.
Penyakit ini pertama kali dilaporkan menyerang tanaman sawit di Malaysia sekitar 1920-an dan menyebabkan kerugian kepada industri sawit ketika itu.
M. palmivorus dilaporkan mempunyai keupayaan patogenik dan mampu menjangkiti bahagian tumbuhan yang masih hidup seperti buah dan tandan yang belum dituai semasa musim hujan terutamanya jika penuaian tidak dilakukan secara cekap dan berkesan.
Keadaan ladang yang lembap, musim hujan yang berpanjangan dan buah tandan sawit yang terlalu masak atau tidak dituai akan menggalakkan jangkitan penyakit reput tandan sawit yang berlaku melalui pertumbuhan miselium M. palmivorus.
Bagi memastikan kaedah kawalan adalah berkesan, punca kejadian penyakit hendaklah ditentukan dengan tepat. Kaedah pengenalpastian dengan mata kasar berdasarkan simptom memerlukan kepakaran dan tidak tepat.
Hasil kajian teliti, teknologi pengesanan kulat M. palmivorus oleh penyelidik yang diketuai oleh Bahagian Penyelidikan Biologi dan Kelestarian MPOB Dr. Maizatul Suriza Mohamed, berjaya membangunkan teknologi pengesanan penanda polymerase chain reaction (PCR) spesies-spesifik (Mar-M) berasaskan molekul asid deoksiribonukleik (DNA) untuk menciri dan mengenal pasti kulat M. palmivorus.
Penanda ini merupakan pencetus PCR dan dibangunkan menggunakan jujukan DNA kulat M. palmivorus dari kawasan penjarak transkripsi dalaman yang merupakan sebahagian daripada kumpulan gen ribosom RNA.
Kaedah PCR adalah kaedah penggandaan fragmen DNA spesifik menggunakan pencetus tertentu dan lama digunakan dalam pelbagai bidang termasuklah diagnostik penyakit tumbuhan. Kaedah ini pantas, mudah dan tepat.
Pengesan boleh dilakukan menggunakan ekstrak DNA daripada miselium kulat, jasad berbuah (cendawan) dan tisu tumbuhan seperti buah, tandan, pelepah, daun dan akar.
Teknik pengesanan menggunakan penanda PCR ini boleh dilakukan di mana-mana makmal biologi molekul yang mempunyai kelengkapan seperti mesin PCR, alat elektroforesis gel agarosa dan sistem pengimejan ultralembayung (UV).
Teknologi ini menawarkan pengesanan pantas penyakit reput tandan sawit agar strategi pengurusan dan kawalan penyakit yang tepat dan berkesan dapat dilaksanakan.
Penanda PCR ini berpotensi dikomersialkan dalam bentuk kit diagnosis dengan anggaran pulangan 43.81 peratus (RM 1.7 juta) dalam tempoh 10 tahun dengan anggaran kos pengeluaran sekotak RM2,000.









