PENGORBANAN berhenti kerja bagi menumpukan perhatian sepenuhnya kepada keluarga, nyata berbaloi apabila Nur Fadhilah Mohamad Puzi kini boleh berbangga membangunkan syarikat sendiri, Aura Dilla Empira.
Malah, dia kini juga mampu mengukir senyuman lebar apabila melihat satu persatu kejayaan menerpa diri yang membuatkan hatinya berasa tidak salah ketika membuat keputusan melepaskan jawatan sebagai seorang jururawat di sebuah hospital kerajaan, empat tahun lalu.

Biarpun pada awalnya keputusan itu dibuat kerana mahu menguruskan kesihatan suami, Mohamad Ridhuan Hasmi, Fadhilah bagaimanapun sedar sesuatu harus dilakukan jika dia mahu melihat perubahan hidup lebih baik khususnya demi keluarga.
“Saya berhenti kerja kerana ketika itu, suami sering berulang-alik ke hospital selain perlu menjalani pembedahan di bahagian lutut. Sebagai isteri perlu untuk saya memikirkan apa yang harus dilakukan bagi menampung perbelanjaan keluarga.
“Maka itu menjawab mengapa sebelum itu saya mencuba-cuba menjual produk orang lain secara sampingan demi mencari wang lebih.
“Hanya empat tahun kemudian, barulah saya memberanikan diri untuk membina empayar perniagaan sendiri di bawah jenama Nurrifa selepas merasakan cukup pengalaman dan selok-belok dunia bisnes,” katanya kepada Utusan Malaysia.
TIDAK MENANG TANGAN
Menurut wanita berusia 30 tahun ini, sebagai seseorang yang bermula dari bawah, tentu sekali dia meraih pahit manisnya bergelar usahawan sementelah itulah adat dan asam garam dalam dunia perniagaan.
“Semestinya segala usaha ini tidak datang dengan mudah. Saya bermula dari bawah dan ketika itu, kedai pun tiada. Semua urusan dan operasi perniagaan saya buat cuma di rumah kerana belum mampu untuk menyewa kedai.
“Alhamdulillah, meski begitu, sambutan daripada pengguna sangat menggalakkan sampai saya tidak menang tangan. Kini, saya bersyukur sudah memiliki ibu pejabat sendiri yang terletak di Kompleks Usahawan Terengganu, di Kuala Terengganu, Terengganu selain dibantu seramai lebih 100 orang tenaga pekerja dalam usaha menggerakkan Nurrifa,” katanya.
Berkongsi kisah, Fadhilah mengakui berasa sangat bertuah kerana percaturannya menjadi dalam bidang bisnes dan paling utama, mendapat sokongan penuh daripada suami dan keluarga.
“Saya mungkin tidak akan mencapai kejayaan pada tahap ini kini jika tanpa sokongan mereka. Suami terutamanya, sangat yakin dengan potensi saya sebagai seorang usahawan apatah lagi perniagaan ini masih dekat dengan minat saya, iaitu lapangan kesihatan,” katanya.
Menurut Fadhilah, berbekalkan ilmu produk kesihatan dimiliki, dia kemudiannya memulakan penyelidikan dan pembangunan produk pertama iaitu krim natural bayi yang diformulasi khas mengurangkan masalah batuk, selsema dan kembung kepada kanak-kanak.
Selepas krim bayi, Fadhilah kemudiannya meneroka pasaran baharu dengan menghasilkan jamu dalam bentuk pastil di bawah penjenamaan Jamu Seeri.
MANFAAT KEPADA MASYARAKAT
Gembira membantu orang lain, katanya sama ada menerusi manfaat produk atau peluang pekerjaan bagi yang mahu mencari sumber pendapatan.
“Sekiranya produk dihasilkan berkualiti, tempiasnya turut boleh membantu mereka yang ingin menjadi wakil jualan untuk mendapat pendapatan sampingan malah ada yang mampu memperoleh pendapatan melebihi lima angka,” katanya.
Fadhilah yakin jamu pastil ini mampu menempa nama dan mengorak langkah lebih jauh kerana pihaknya teliti dengan kualiti selain mendapat kelulusan pihak berwajib.
Antaranya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), logo Halal dan Mesti serta dihasilkan di kilang bertaraf Good Manufacturing Practice (GMP) dan Hazard Analysis and Critical Control Points (HACCP).
Bekas guru di sebuah sekolah Maahad Tahfiz di Kuala Terengganu ini turut menyasarkan jualan 50,000 unit sebulan pada tahun ini selain perancangan menembusi pasaran Asia Tenggara dalam tempoh dua tahun ini.
Bagi wanita ingin menyertai bidang perniagaan, beliau menyarankan mereka berhati kental dan usah putus asa.
“Sememangnya dunia perniagaan akan ada pancarobanya, tetapi asalkan kita fokus pada misi dan visi, tetapkan sasaran untuk terus ke hadapan,” katanya.
JAMU INOVASI
Raut wajah Fadhilah ceria kala bercerita mengenai jamu Seeri.

Katanya, sejak turun-temurun, kecantikan asli wanita Melayu di nusantara dipelihara melalui rahsia amalan memakan jamu. Khasiat dan kebaikannya untuk tubuh badan tidak cuma untuk kecantikan, tetapi yang paling utama adalah mencakupi aspek kesihatan secara alami.
Buat wanita moden, pemakanan jamu mungkin dianggap kolot sementelah kini begitu banyak lambakan pil-pil suplemen pelbagai jenama mengikut fungsi, bagi menggantikan amalan minum atau makan jamu yang pahitnya membuatkan tidak ramai sanggup mendisiplinkan diri.
Melihat kepada kecenderungan wanita masa kini yang memilih pil suplemen bagi menggantikan pengambilan jamu, Nur Fadhilah tampil dengan Nurrifa iaitu jamu dalam bentuk pastil atau gula-gula yang dikenali dengan nama jamu Seeri berkonsepkan ‘on the go’ di mana ia memudahkan wanita kembali mengamalkan pemakanan jamu sebagai salah satu rutin penjagaan tubuh badan.
“Keunikan jamu Seeri berbanding jamu lain di pasaran adalah kerana kami meformulasikan jamu dalam bentuk pastil. Ia sekali gus menyaksikan jenama ini sebagai pengeluar pastil herba yang pertama di Malaysia,” katanya.
Mengenai sambutan kata Fadhilah, ia amat menggalakkan berikutan rasanya tidak lagi pahit tetapi berupaya membekalkan khasiat bermanfaat tubuh badan wanita.
“Macam menguyah gula-gula berperisa lemon. Ia turut memudahkan pengguna untuk mengamalkannya secara konsisten dan boleh dimakan pada bila-bila masa,” katanya.










