Kegilaan peminat durian terhadap Raja Buah di Malaysia menjadi lebih ketara apabila tiba musim durian. Durian atau nama saintifiknya Durio zibethinus hidup subur di negara ini yang beriklim Khatulistiwa.
Durian yang kini merupakan salah satu sumber pendapatan eksport utama negara dengan jumlah 22,161 tan metrik bernilai lebih RM95 juta pada tahun 2019.
Bagi tempoh sepanjang 2002 hingga 2011 dan 2011 hingga 2019 eksport durian telah berkembang hingga mencecah RM172 juta setelah ia berjaya menembusi pasaran China pada 2011.
Ini menunjukkan nilai eksport telah meningkat sebanyak 150 peratus berbanding RM38.1 juta pada 2011 berbanding RM95.4 tahun lalu.
Peningkatan yang memberangsangkan ini menandakan durian Malaysia adalah merupakan makanan eksotik dengan kualiti premium yang dapat diterima oleh masyarakat luar Malaysia.
Antara durian yang popular di Malaysia adalah seperti D2 (Dato’ Nina), D24, D145 (Beserah), D197 (Musang King), D168 (Hajjah Hasmah atau Mas Muar) serta pelbagai lagi klon-klon yang lain.
Populariti durian ini kadangkala di luar jangkaan dan sentiasa mendapat permintaan daripada peminatnya tersendiri meskipun di luar musim. Keinginan peminat dan penggemar raja buah ini lazimnya berkait rapat dengan keunikan jenis atau klon tertentu.

Genetik tanaman durian adalah bersifat heterozigot, menunjukkan generasi F1 berkemampuan menghasilkan kepelbagaian ciri (fenotip) walaupun hanya melalui pendebungaan sendiri.
Ini bermakna pokok durian yang ditanam melalui biji benih, kebiasaan berbeza ciri daripada pokok asalnya.
Walau bagaimanapun, terdapat keberangkalian sangat kecil boleh berlaku yang terhasil daripada biji benih ini sama ada mampu mengeluarkan buah yang lebih berkualiti berbanding induknya.
Pokok ini merupakan genotip atau aksesi baharu yang bepotensi dikomersialkan. Baka baharu ini juga sering disebut sebagai Pilihan Petani (farmers’ selection), seperti durian D168 dan D197.
Kajian baik baka durian telah lama dijalankan di negara ini sejak tahun 1970-an dan penyelidikan mengenai penghasilan klon durian diperhebatkan selepas Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) ditubuhkan.
Menurut Pengarah Pusat Penyelidikan Hortikultur MARDI, Dr. Johari Sarip, agensi tersebut berjaya melancarkan tiga hibrid durian iaitu MDUR 78, MDUR 79 dan MDUR 88 yang mempunyai keistimewaan tersendiri. Ia dibangunkan daripada kacukan di antara induk terpilih iaitu D24 dan D10. MARDI kini sedang promosi dan menyebarluaskan penanaman klon-klon tersebut.
Beliau turut mendedahkan, MARDI sedang meneruskan penyelidikan bagi mengeluarkan hibrid baharu durian menerusi kaedah pembaikbakaan konvensional yang turut dibantu pendekatan molekul. Kacukan silang di antara beberapa induk yang mempunyai ciri terpilih dilaksanakan bagi menghasilkan populasi hibrid yang superior atau lebih baik daripada induk asal bagi memenuhi cita rasa semasa pengguna.
Mengenai kualiti buah yang menjadi pilihan pengguna, Dr. Johari berkata, ia bergantung kepada beberapa faktor antaranya budaya dan individu yang menilai. Kebanyakan pengguna memilih durian yang mempunyai citarasa pahit, lemak dan manis yang seimbang seperti MDUR 88, disamping warna isi dan aroma tertentu menjadi pilihan.

Tidak kurang pula penggemar durian berpendapat Musang King adalah yang terbaik kerana ramai yang pernah merasainya akan berkata demikian dan dipopularkan dari mulut ke mulut oleh penggemar durian tersebut.
Ada juga yang mengatakan klon durian terbaik adalah yang berisi tebal dan rasa manis tetapi itu pendapat masyarakat Melayu sedangkan kaum Cina lebih sukakan durian yang mempunyai rasa pahit.
Selain itu, warna isi juga memberikan peranan penting. Isi durian berwarna kuning lebih digemari berbanding putih. Ketebalan isi serta keseimbangan rasa lemak, manis dan pahit antara faktor penentu kualitinya. Namun bagi penyelidik, beberapa ciri lain bagi durian juga harus diambilkira seperti mempunyai ketahanan terhadap serangan penyakit.
Dalam pada itu, menurut Dr. Johari Sarip kerja -kerja menentukan ketulenan sesuatu klon durian tidak mudah dilakukan. Beliau berkata pemilihan klon durian tempatan boleh ditentukan berdasarkan Garis Panduan Ujian (Testing Guidelines / TG ) bagi menguji kelainan, keseragaman dan kestabilan (Distinctness, Uniformity and Stability / DUST) klon berkenaan.
Beliau berkata, TG tersebut dibangunkan oleh Kesatuan Antarabangsa Bagi Perlindungan Tanaman Varieti Baharu (UPOV) di Geneva Switzerland pada 2013. “Menerusi pencirian ini, terdapat 54 ciri-ciri ditentukan dalam pelbagai peringkat sepanjang satu kitaran pertumbuhan,” ujarnya.
Pencirian klon durian melalui pendekatan molekul seperti kaedah penggunaan capjari dan penanda molekul juga mampu membezakan di antara pelbagai klon durian dan mengesahkan ketulenan sesuatu klon.
TIGA HIBRID DURIAN
MDUR 78
» Hasil kacukan D10 x D24.
» Isi manis berlemak dan sedikit pahit.
» Saiz buah sederhana dengan kulit yang tebal.
MDUR 79
» Hasil kacukan D24 x D10.
» Isi manis dan berlemak.
» Saiz buah sederhana dengan kulit yang nipis.
MDUR 88
» Kacukan D24 x D10.
» Saiz ulas yang besar dengan isi tebal.
» Isinya berwarnakan kuningan keemasan.
» Manis berlemak.
» Tahan penyakit kanker batang.
» Sesuai ditanam bersama klon D99, D145, D168 atau D24 sebagai pokok klon pendebunga.











