‘NYAWA’ sesebuah rumah terletak pada ruang tamu. Ruang tamu kediaman menarik pastinya akan membangkitkan mood dan suasana ketika berehat atau bersantai seisi keluarga.
Banyak faktor yang memainkan peranan penting menghasilkan ruang tamu lebih luas dan menarik. Paling utama ialah elemen asas rekaan iaitu penggunaan garisan, warna, bentuk rekaan, ruang dan skala yang perlu diambil kira untuk menjadikan ruang tamu dalam keadaan optimal.

Tidak tahu bagaimana? Di sini kami kongsikan tips mudah daripada pereka hiasan dalaman, Mohamad Adil Hakim Mohamad Jamal (gambar) untuk dekorasi ruang tamu kediaman yang lebih praktikal dan luas berpandukan elemen asas rekaan.
Pemilihan warna: Penggunaan warna-warna cerah seperti warna-warna tanah atau pastel lebih sesuai untuk menghasilkan saiz ruang tampak lebih luas dan besar.
Namun, jika ada menggemari warna gelap, ia masih boleh digunakan di sebahagian dinding. Caranya adalah menggunakan warna gelap pada satu dinding sahaja sebagai titik fokus supaya tidak menenggelamkan mood atau suasana ruang. Idea ini juga sesuai digunakan untuk menarik perhatian agar tertumpu kepada dinding utama tersebut.
Susun atur perabot: Saiz dan jumlah perabot yang digunakan haruslah sesuai dengan konsep. Perabot seharusnya tidak menarik terlalu banyak perhatian tetapi cukup sekadar melengkapi dan bertepatan dengan konsep yang diingini.
Elakkan membeli perabot bersaiz besar yang membuatkan ruang peredaran jalan menjadi sempit. Gunakan perabot mengikut saiz ruang bagi mengelakkan ruang negatif iaitu ruang yang tiada fungsi. Sekiranya ada bajet lebih, anda boleh membuat perabot mengikut saiz ruang dan mempunyai dwifungsi seperti laci tersembunyi atau ruang simpanan.

Ilusi cermin: Penggunaan cermin mewujudkan illusi pandangan mata secara fizikal. Cermin dapat meluaskan sebahagian ruang dengan memantulkan cahaya ke dalam sesuatu ruang, malah mampu mewujudkan kedalaman di ruangan yang sempit seperti laluan. Boleh juga dijadikan sebagai perhiasan dinding. Cermin boleh digunakan sama ada secara menyeluruh atau sedikit tetapi harus ditempat yang betul agar fungsinya dapat dimaksimumkan.

Sekiranya kediaman anda memiliki ketinggian siling yang minimal, penggunaan cermin berskala penuh di dinding sangat digalakkan.
Elakkan menggunakan cermin susunan cermin kecil dalam kuantiti yg banyak atau cermin berprofil kerana ianya mungkin akan myebabkan pantulan imej yang tidak sekata dan tidak kemas.

Hiasan tambahan: Menjadi satu trend ketika ini menghias rumah dengan pokok-pokok hijau dan bunga. Selain menambahkan seri, ia juga berperanan dari sudut psikologi untuk memberikan ketenangan kepada minda.
Tumbuhan dalam rumah dapat menghidupkan suasana yang tertutup, meningkatkan pengaliran udara dan menghilangkan kebisingan. Oleh itu, dekorasi pokok juga perlu mengikut saiz dan warna.
Pokok-pokok yang hijau sesuai diletak di ruang tamu dengan mengambil kira faktor kemasukan cahaya di ruang tamu.
Elakkan pokok berdaun terlalu besar dan terlalu banyak.
Bunga juga boleh diletakkan di tengah-tengah ruang bagi mendapatkan effect yang lebih menarik. Guna hanya satu atau dua jenis sahaja bunga dalam sesuatu ruang. Oleh itu, ruang tamu akan kelihatan lebih kemas dan luas.

Keperluan bajet: Ini antara faktor penting yang selalu difikirkan sebelum anda membuat ubah suai ruangan kan? Sebenarnya bajet bergantung kepada keluasan dan keadaan ruang tamu.
Sekiranya ubah suai hanya memerlukan perubahan warna dan beberapa tambahan barang-barang dekorasi, ia mungkin tidak memakan kos yang tinggi.
Tetapi jika memerlukan perubahan konsep keseluruhan bermula dari pemilihan kemasan lantai, warna dinding, perabot, rekaan siling dan lain-lain memerlukan kos sedikit tinggi. Anggaran dekorasi boleh bermula serendah RM500.
Dengan mengikuti tips dekorasi berpandukan elemen asas rekaan ini pasti akan memberikan perubahan drastik kepada ruang tamu anda. Bukan sahaja akan menjadi lebih luas malah akan menampakkan ciri-ciri elegan bagaikan ditatarias oleh pakar pereka dalaman. Selamat mencuba!










