Wanita dan kanak-kanak antara golongan terjejas akibat banjir. Selain daripada risiko bahaya banjir, mereka turut terdedah dengan tekanan emosi.
Ia berikutan wanita tetap menjalankan fungsinya iaitu mengurus keluarga, hal barang dan dokumen untuk perpindahan.
Situasi ini menjadi lebih sukar sekiranya wanita dalam keadaan hamil dan menyusukan anak-anak kecil.
Kajian mendapati bencana memberi implikasi psikologi atau emosi. Antaranya sedih dan bimbang.
TEKANAN
Mereka berasa takut kepada hujan, air yang banyak dan takut kehilangan nyawa serta harta benda.
Mereka juga merasa bimbang peristiwa banjir ini akan berulang lagi dan melalui proses perpindahan dan tinggal di pusat banjir yang sudah pasti tidak selesa.
Selain itu, kesan psikologikal juga ialah merasa murung, trauma dan hilang semangat. Kesan psikologikal ini lebih sukar ditangani terutama kepada penghidap kemurungan kerana kehilangan orang tersayang, takut dan trauma kepada peristiwa banjir dilalui.
Dengan kehilangan nyawa dan harta kemungkinan juga wanita hilang semangat dan mengambil masa untuk kembali pulih. Emosi terganggu akan mengakibatkan trauma berlaku dalam diri individu.
Trauma ini dikenali juga dengan PTSD (Post-Traumatic Stress Disorder) iaitu kecelaruan tekanan selepas ditimpa musibah.
Menurut Garrison dalam kajiannya tentang PTSD ada membincangkan tentang simptom seperti terbayang perkara menakutkan (stressors), meracau dan sebagainya.
SIMPTOM
Salah satu simptom yang berlaku dan mengakibatkan PTSD ialah bencana alam seperti tsunami, tanah runtuh, banjir dan sebagainya.
Banjir yang melanda juga boleh membawa seseorang terkena PTSD apabila kehilangan nyawa, binatang peliharaan dan harta benda seperti kemusnahan kediaman.
Selain itu, emosi akan turut terganggu apabila mangsa banjir diarahkan berpindah dan berada di pusat pemindahan.
Di pusat pemindahan, pelbagai kerenah dan ragam manusia dapat dilihat dan diperhatikan setiap masa.
Suasana pusat pemindahan banjir yang menempatkan mangsa secara beramai-ramai pasti menimbulkan rasa tidak selesa dan mendatangkan rasa marah apabila terdapat masalah berlaku di pusat pemindahan tersebut sama ada sesama mangsa banjir mahupun sukarelawan bertugas.
PERSEDIAAN
Pengurusan bencana yang baik bermula dengan empat perkara iaitu pencegahan, persediaan, bertindak dan pemulihan.
Peringkat pencegahan dan persediaan harus dilaksanakan di peringkat awal iaitu perancangan manakala peringkat bertindak dan pemulihan dilaksanakan semua agensi, institusi, kumpulan masyarakat dan individu.
Sebagai contohnya, banjir di Pahang baru-baru ini. Saya lihat ada beberapa persediaan penduduk di tepi Sungai Pahang untuk menyelamatkan harta benda mereka agar tidak perlu pindah barang.
Mereka menyediakan sebuah rakit lebih awal agar barang boleh diletakkan di atas rakit. Ada menyediakan rakit yang boleh dihuni mereka waktu banjir sementara menunggu air surut. Bermakna mereka tidak perlu pindah ke pusat pemulihan banjir. Persediaan sebegini kreatif dan boleh difikirkan oleh pihak berkuasa.
Dari aspek menangani kesan emosi pula, rawatan psikologi Islam terhadap kecelaruan tekanan selepas ditimpa musibah perlu menumpukan kepada terapi jiwa dan spiritual.
Kelakuan kognitif, pemprosesan semula dan pengurusan tekanan mengikut kumpulan ditetapkan juga perlu.
Rawatan ini menumpukan pemulihan selepas menghadapi trauma teruk dalam diri. Ia membantu memulihkan kembali perkembangan diri menerima bencana bersifat sementara.
Rawatan ini akan lebih berjaya apabila difokuskan penumpuan kepada mangsa menghadapi trauma teruk agar dapat bangkit daripada kecelaruan tekanan dihadapinya.
———————–
Penulis ialah Pengarah, Institut Islam Hadhari, Universiti Kebangsaan Malaysia.










